Saya mengikuti perbalahan tentang sejarah negara yang sedang hebat diperkatakan oleh banyak pihak dan individu. Majlis Professor Negara (MPN) menyatakan yang negara kita tidak pernah dijajah, tetapi hanya merupakan negara ‘protectorate’ Inggeris sahaja.
Saya pun pernah bersekolah sikit-sikit dan boleh lah membaca dan menulis sikit-sikit serta faham sikit-sikit isu yang sedang hebat diperkatakan oleh mana-mana pihak termasuk isu sejarah yang luas diperbincang dan diperkatakan oleh orang ramai sekarang ini.
Bagi saya isu tentang samada negara kita pernah dijajah atau tidak ini merupakan isu sensitif yang tidak tertera kerana setelah kita mempunyai kerajaan tadbiran rakyat sendiri kita belum lagi ada sejarah yang kekal untuk dibaca oleh generasi kita.
Kalau kita tidak ada sejarah kita bolehlah di samakan seperti haiwan di hutan. Saya amat kesal dengan kenyataan wakil MPN Zainal Keling yang menyatakan negara kita tidak pernah dijajah dan perkara ini timbul hanya setelah kita mencapai kemerdekaan lebih dari setengah abad.
Jika apa yang diperkatakan oleh Zainal Keling itu maka saya kesal dengan Che’ gu saya yang bernama Miss Lim semasa saya darjah 5 dahulu kerana memberitahu saya dan murid sedarjah dengan saya yang kita menyambut hari kemerdekaan pada setiap 31 Ogos kerana memperingati saat negara kita terlepas dari penjajahan kuasa asing ke atas negara kita.
Saya juga menyampah dengan Joginder Singh kerana dalam buku beliau yang menjadi buku teks sejarah semasa itu menyatakan dengan jelas yang Malaya terlepas dari penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 1957. Hendak berhujah dengan Joginder Singh pula masalahnya beliau sudah meninggal dunia. Atau pun saya persalahkan Kementerian Pelajaran semasa itu yang memilih buku sejarah karangan Joginder Singh ini sebagai buku teks semasa itu.
Kenapa baru sekarang ada yang memberitahu yang kita adalah seperti negara Thai yang tidak pernah dijajah. Kenapa semua pensyarah dan semua rakyat mengatakan yang kita tidak pernah dijajah oleh sesiapa?
Kenapa buku-buku sejarah dan sejarawan kita menulis cerita dongeng yang mengatakann kita bukan negara yang pernah dijajah? Betul kah cerita Tun Razak pernah menjadi ahli ‘force 136’ untuk mencapai kemerdekaan. Bila datang cerita mutakhir dari Zainal Keling ini ingin pula saya bertanya benar kah Tun Razak menyertai ‘force 136’ dan wujud kah sebenarnya 'kumpulan 136' itu?
Nasib baiklah saya sudah masuk umur 60 tahun. Kalaulah saya baru berumur 10 tahun mungkin saya tidak percaya wujudnya seorang pemimpin kita yang bernama Tunku Abd Rahman Putra seperti yang ditulis oleh penulis buku sejarah negara kerana buku sejarah sekarang itu semuanya tidak betul.
Jika semuanya tidak betul maka segala isi kandungann buku-buku sejarah yang ada sekarang adalah cerita fiction lama sahaja.
Yang peliknya Mahathir yang tidak kering mulut mengingatkan kita yang bangsa Melayu kini lesu ialah kerana akibat dijajah oleh Inggeris dan penjajah lain selama lebih dari 400 tahun, kini bersetuju dengan pandangan Prof Zainal yang kita tidak dijajah. Beliau seterusnya kenyataan PAS akhir ini untuk mengkritik UMNO itu ialah semata-mata untuk menafikan dan memperkecilkan Tunku Abd Rahman. dengan menafikan UMNO sebagai pejuang kemerdekaan.
Di sini lah kelihatan percanggahan politik dan pemikiran Dr Mahathir di dalam satu nafasnya sendiri. Sedarkah Dr Mahathir jika beliau mengakui yang negara tidak pernah dijajah ianya adalah kata-kata yang menidakkan UMNO (TUNKU) sebagai pejuang kemerdekaan. Jadi elok kita bertanya, cakap Dr Mahathir yang mana yang hendak kita pakai sekarang?
PAS hanya menyatakan bahawa perjuangan kemerdekaan itu bermula sebelum UMNO itu wujud dan UMNO hanya menyudahkan perjuangan yang belum diselesaikan oleh perjuangan sebelum itu. Ini bermakna PAS sendiri menyenaraikan yang UMNO juga adalah pejuang kemerdekaan.
Tetapi apa yang dikesalkan oleh PAS ialah UMNO mengambil semua kredit perjuangan kemerdekaan itu sendiri dan tidak mahu mengakui ada banyak pihak lain yang telah bersusah payah untuk melepaskan negara dari cengkaman Inggeris penjajah itu.
Sekarang yang amat penting untuk UMNO lakukan sekarang ialah untuk menentukan sikap secara formal; 1) samada kita pernah dijajah atau pun tidak 2) Samada mengakui yang sebelum UMNO wujud ada atau pun tidak pihak-pihak yang telah berjuang untuk memerdekakan negara.
UMNO mesti tegas untuk menentukan sikap dan pendirian, terutamanya TS Muhyiddin yang kenyataannya cuba menafikan peranan pihak lain yang telah lama bertindak melepaskan negara dari jajahan Inggeris.
Jika UMNO mempunyai maruah sebagai parti orang Melayu parti ini mesti menentukan sikapnya secara jelas dan formal supaya rakyat dapat menilai samada parti ini masih relevan atau pun sebaliknya.
Rakyat tidak mahu lagi mereka di ‘kelentong’ dengan kata-kata yang berbelit-belit semata-mata kerana keperluan politik mereka yang hanya menagih kuasa tetapi tidak mahu bertanggungjawab mempertahankan maruah politik mereka.
Tidak habis-habis membelit.
SUMBER
Post a Comment