BREAKING NEWS

Pegawai SPRM Adalah Individu Terakhir Melihat Teoh Beng Hock Hidup??



SHAH ALAM: Seorang individu dalam gambar diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lobi aras 4, Bangunan Plaza Masalam di sini, yang dicam saksi sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai orang terakhir yang melihat Teoh Beng Hock masih hidup.

Perkara itu didedahkan peguam Tan Hock Chuan, mewakili Kerajaan Malaysia, ketika menyoal pengawal keselamatan Plaza Masalam, Abdul Rahman Rahim, 51, dalam inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh di Mahkamah Koroner di sini, semalam.

Ketika dikemukakan empat gambar diambil daripada rakaman CCTV, saksi keenam itu berkata beliau tidak tahu nama semua individu berkenaan tetapi mengenali mereka sebagai pegawai SPRM kerana selalu melihat wajah mereka.



Gambar rakaman itu diambil antara jam 4 dan 8 pagi, 16 Julai lalu, ketika Abdul Rahman bertugas di kaunter lobi berkenaan yang turut menempatkan lif sebagai pintu masuk utama untuk ke pejabat SPRM di tingkat 14, bangunan sama.



Tan kemudian memberitahu mahkamah pegawai SPRM dalam gambar itu antara mereka yang menyoalsiasat Teoh sebelum kematiannya, orang terakhir melihat Teoh masih hidup (pada jam 6.10 pagi) dan Timbalan Pengarah SPRM Selangor.

Menjawab soalan Tan, Abdul Rahman berkata beliau tidak melihat atau mendengar bunyi orang jatuh dari atas bangunan itu ketika bertugas pada hari berkenaan.



Saksi kelima, Wan Rosli Wan Adam, 38, yang juga pengawal keselamatan di situ, ketika dikemukakan Tan sekeping gambar diambil daripada rakaman CCTV pada jam 1.48 pagi, hari sama, berkata beliau tidak kenal tiga individu dalam gambar itu dan pasti mereka tidak bekerja di bangunan itu.


Bagaimanapun ketika dikemukakan dua gambar lain, Wan Rosli mengecam mereka sebagai pegawai SPRM.

Tan memberitahu mahkamah antara pegawai SPRM itu, mereka yang merakamkan keterangan Teoh, menyoal siasatnya dan Ketua Operasi Siasatan SPRM, selain sekeping gambar menunjukkan Teoh berjalan masuk ke lobi (lewat tengah malam).

Wan Rosli berkata, beliau bertugas di kaunter lobi berkenaan bermula jam 12.01 tengah malam sehingga 4 pagi, sebelum Abdul Rahman mengambil alih tugasnya selepas itu sehingga jam 8 pagi.

Ketika disoal peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, Wan Rosli dan Abdul Rahman mengakui tidak mencatatkan butiran semua individu termasuk pegawai SPRM serta kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang keluar masuk ke bangunan itu di dalam buku log rekod kawalan keselamatan ketika mereka bertugas kerana mengenali mereka serta mengetahui anggota SPRM bertugas 24 jam sehari.

Keadaan bertukar tegang apabila Gobind mempersoalkan mengapa catatan tidak dibuat kerana ia penting, tetapi Abdul Rahman menjawab ia tiada perlu kerana mereka yang bekerja hingga lewat malam hanyalah pegawai SPRM.

Katanya, walaupun mengenali dan pernah berbual dengan anggota SPRM, beliau tidak pernah mengambil tahu mengapa mereka bekerja hingga lewat malam dan siapa yang disiasat.

Ketika disoal Koroner Azmil Muntapha bagi mendapatkan penjelasan sama ada terdapat polisi syarikat keselamatan untuk mencatat butiran mereka yang keluar masuk bangunan itu, Abdul Rahman berkata ada tetapi mereka tidak merekodkannya antara 15 dan 16 Julai lalu kerana ramai orang memasuki bangunan itu.

Tan berkata, pihaknya tidak memperoleh buku log itu tetapi beliau dimaklumkan pegawai penyiasat mereka akan cuba mendapatkannya.

Azmil berkata, buku log itu penting untuk pengesahan sama ada terdapat catatan keluar masuk dan meminta pendakwaan mengemukakannya hari ini.

2 comments :

Related Posts with Thumbnails