BREAKING NEWS

TPPA Bakal Menyebabkan Orang Melayu Dan Bumiputera Dilayan Seperti Warga Asing

Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohd Hazizi Abd Rahman berkata, TPPA bakal menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera dilayan seperti warga asing.
“Kedudukan istimewa Islam dan orang-orang Melayu dalam Perlembagaan akan dikira sebagai ‘trade barrier’. Penapisan filem-filem lucah boleh dikira satu bentuk sekatan perdagangan bebas begitu juga peruntukan tanah rizab,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Ismaweb.
Mohd Hazizi berkata, kerajaan boleh disaman di tribunal antarabangsa jika kerajaan memberikan layanan istimewa kepada syarikat Melayu dan Bumiputera selepas TPPA ditandatangani.
Katanya, ia pernah berlaku kepada kerajaan Afrika Selatan akibat melaksanakan dasar mengutamakan rakyat kulit hitam yang dikenali sebagai ‘Black Economic Empowerment’, yang mirip Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Katanya, Parlimen hanya memberikan kata dua- terima atau tolak- dan masa yang diberikan untuk membahaskannya hanya dua bulan untuk meneliti dokumen yang sangat teknikal tetapi keputusannya sudah dijangkakan.
“Orang Melayu akan kembali hina dan mundur kesan daripada TPPA sama seperti akibat penjajahan ratusan tahun lalu,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau mungkin memohon p ersidangan khas Parlimen bagi membentangkan butiran perjanjian itu, jika perlu.
Katanya, kerajaan yakin Ahli Parlimen BN akan menyokong TPPA bagi manfaat jangka panjang termasuk aspek pelaburan langsung asing (FDI) dan perdagangan untuk negara.

Membuat Laporan Terhadap 1MDB Bukanlah Satu Kegiatan Keganasan


Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar tindakan Putrajaya terhadap bekas ahli Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 sedangkan beliau tidak melakukan jenayah keganasan.
Bekas timbalan perdana menteri itu turut mempersoalkan sama ada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini begitu kebal sehinggakan mereka yang membuat laporan terhadap syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan itu dianggap satu keganasan.
"Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB.
"Yang terbaharu ialah penahanan Khairuddin di bawah Sosma 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB.
"Seingat saya Sosma adalah satu undang-undang yang diluluskan Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada laman Facebook miliknya.
Beliau berkata, membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa berkenaan transaksi sebuah syarikat swasta tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk keganasan.
"Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan?
"Adakah 1MDB kini menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu," katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Pagoh.
Muhyiddin sebaliknya berkata, 1MDB juga seperti syarikat lain yang masih tertakluk kepada undang-undang negara.
"Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan
dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal.
"1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara," katanya.
Susulan titah Majlis Raja-Raja menggesa Putrajaya mengambil tindakan terhadap pihak terbabit dalam isu 1MDB, Muhyiddin berkata rakyat yang khuatir perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
"Maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali," katanya.
Beliau berkata, bukan seperti tindakan yang dilakukan Putrajaya terhadap Khairuddin, pengadu seharusnya diberi perlindungan dan bukannya dihukum.
"Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya," katanya. – TMI

Ampun Tuanku !! Tolong Pecat Najib Dan Peguam Negara



Raja-Raja Melayu dipohon bertindak lebih keras dengan memecat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali susulan kontroversi berpanjangan 1MDB.
Anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata raja-raja sebagai payung negara tidak boleh membiarkan institusi awam dan pegawainya bersendirian apabila berlaku “ugutan” ketika menyiasat isu itu.
Beliau membangkitkan kes perpindahan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas polis Datuk Hamid Bahador.
“Ke bawah DYMM Raja-Raja Melayu tidak boleh membiarkan institusi raja-raja tercalar oleh institusi awam yang berdiri atas nama diraja bertindak berasaskan campur tangan kuasa politik pemimpin korup yang menerajui negara sekarang,” katanya.
Mahfuz mendakwa “pentadbiran negara sekarang tak ubah seperti mana perjalanan pentadbiran sebuah kumpulan mafia”.
“Dalam kumpulan mafia siapa lawan ketua akan ditembak tetapi dalam politik negara siapa yang mengancam Najib akan dicantas, diugut dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga berdoa supaya Allah memberikan petunjuk serta kekuatan untuk raja-raja bertindak "berani kerana benar" melindungi negara dan rakyat.
Bernama semalam melaporkan raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas dan wajar terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
Ia berkata: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan”.

'Lembu Kondo' Pun Sudah Pandai Berbicara Tentang 'Dosa'



Perbuatan menyalahgunakan teknologi maklumat untuk membuat dakwaan palsu terhadap pemimpin negara adalah perbuatan berdosa.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizal Abdul Jalil berkata, sejak akhir-akhir ini kepimpinan negara sering menjadi sasaran fitnah dan menerima tuduhan palsu di media sosial.
“Bukan sahaja Najib (Perdana Menteri) tetapi pemimpin-pemimpin lain dalam kerajaan turut menjadi mangsa fitnah dalam media sosial,” katanya.
Bercakap pada sidang media di ibu negara pada Selasa, Shahrizat menggesa orang ramai agar menggunakan media sosial dengan cara sewajarnya agar masyarakat dapat manfaat daripadanya.
“Sebenarnya, informasi di media sosial ini boleh menjadi sesuatu yang boleh memberi faedah kepada orang ramai dan kita perlu mendidik mereka,” katanya.
Shahrizat menjelaskan, penyalahgunaan teknologi maklumat seperti membuat dakwaan palsu terhadap orang lain dianggap dosa dalam Islam.
“Kita perlu mendidik diri kita sendiri dengan semua orang tidak menyalahgunakan teknologi ICT dengan tuduhan palsu dan fitnah yang merupakan satu dosa dan menyalahi undang-undang,” katanya.
Shahrizat membuat kenyataan demikian selepas gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Israel, Benyamin Netanyahu tersebar di alam maya.
Gambar yang tersebar itu telah mendapat kritikan keras daripada pengguna media sosial yang masih terhadap pencerobohan tentera Israel terhadap Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqadis, baru-baru ini.
Najib bagaimanapun menafikan pernah mengadakan pertemuan dengan Netanyahu dan menyatakan hanya terserempak antara satu sama lain ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), di New York.

Najib Salahguna Undang-Undang Untuk Melindungi Dirinya



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyalahgunakan undang-undang untuk melindungi dirinya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin mengenai 'kuasa di atas kuasa undang-undang'.

"Sesiapa yang cuba menghalang dirinya akan dikenakan tindakan; disoal, disimpan, dimasukkan ke dalam tahanan dan sebagainya," katanya dalam sesi soal jawab Bicara Negarawan Sabah di Dewan Yayasan Lau Gek Poh, Tawau, hari ini.

Dalam sesi soal jawab tersebut, beliau juga menjawab soalan hadirin mengenai undi tidak percaya terhadap Najib.

"Saya minta semua ahli-ahli Umno di Sabah ini mendesak wakil rakyat mereka supaya menyokong undi tidak percaya.

"Kalau mereka tidak sokong, tentukan mereka tidak akan jadi calon, dan tentukan mereka kalau jadi calon, akan dikalahkan," katanya sambil disambut sorakan hadirin.
Semalam, Dr Mahathir memberitahu bahawa Malaysia kini berada pada zaman yang menakutkan.

Katanya, keadaan itu akan kekal sekiranya Najib masih diberi tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.-SH

Raja-Raja Melayu Mahu Kerajaan Menyelesaikan Secepat Mungkin Siasatan Berkaitan 1MDB


Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu.



Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara hari ini.
Ia berkata: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.
"Akibatnya rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia."
Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.
Ia juga dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
"Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara.
"Demi memastikan kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang," menurut kenyataan itu.
Untuk itu, menurut kenyataan itu, badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.
Raja-Raja juga mahukan para pemimpin sentiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
"Raja-Raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing," menurut kenyataan itu lagi.
Baginda sekalian mengingatkan hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur.
Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.
"Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam harmoni," kata kenyataan itu.
- Bernama

TPPA: Satu Lagi Malapetaka Untuk Rakyat Malaysia





KUALA LUMPUR: Malaysia dan 11 negara lain mencapai persetujuan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di semua negara anggota.

Laporan Reuters Isnin yang dipetik sebagai berkata, perkara itu dipersetujui semua Menteri-Menteri Perdagangan negara Pasifik yang menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri TPPA di Atlanta, Amerika Syarikat, bermula Rabu lalu.

Menurut laporan itu, wakil kesemua negara itu, termasuk dari Malaysia dijangka akan mengumumkan butiran dan perincian perjanjian pada Isnin di Atlanta. Selain dari Malaysia, negara anggota yang telibat dalam rundingan TPPA ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

TPPA yang merangkumi perdagangan bebas melibatkan 40 peratus ekonomi dunia itu hanya akan berkuatkuasa selepas Parlimen kesemua negara yang terbabit dalam rundingan itu meluluskannya.

Antara perkara yang dirundingkan di Atlanta adalah berkenaan industri automotif Jepun, tempoh minimum paten pengeluar ubatan dan sekatan pertanian.

TPPA dirunding selama lima tahun oleh Amerika Syarikat dan Jepun dengan sasaran untuk menghapuskan sekatan perdagangan dengan 10 negara lain yang terlibat.

Teks perincian penuh sepanjang 30 bab dilaporkan hanya akan diterbitkan dalam masa 30 hari.

Mesyuarat di Atlanta tersebut adalah yang kedua tahun ini dan melibatkan Menteri-Menteri Perdagangan kesemua negara rundingan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Parlimen akan membuat keputusan sama ada akan menandatangani perjanjian ini atau tidak.

"Hasil kajian ini akan didedahkan kepada umum serta dibahaskan di Parlimen.

"Parlimen akan membuat keputusan sama ada akan menandatangani perjanjian ini atau tidak," katanya.

Mustapa turut menegaskan pendirian Malaysia mengenai TPPA adalah berdasarkan Perlembagaan negara, dasar-dasar penting membabitkan Bumiputera, perusahaan kecil dan sederhana serta kepentingan kerajaan-kerajaan negeri.

"Kerajaan sedar bahawa TPPA mempunyai kos dan faedah. Inilah sebabnya kenapa aspek analisis kos dan faedahnya dilakukan," katanya.
Mustapa turut menggesa rakyat agar bersikap terbuka berhubung TPPA.

Kajian analisis kos faedah oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) juga akan dikemaskini berdasarkan persetujuan yang telah dicapai.

Hari Paling Malang Bagi Kebebasan Bersuara Di Malaysia



PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan bahawa Akta Hasutan 1948 adalah sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim berkata, Perlembagaan dirangka dengan tujuan untuk memastikan undang-undang yang sedia ada terus sah dan boleh dikuatkuasakan.
“Seksyen 4 (1) Akta Hasutan tidak melanggar perimeter Artikel 10 (2) dan 10 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tentang kebebasan bersuara,” kata Arifin yang membaca keputusan penghakiman.
Hakim-hakim lain dalam panel itu ialah Presiden Mahkmah Rayuan, Tan Sri Hakim Md Raus Sharif, Hakim Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hakim Abdull Hamid Embong serta Tan Sri Suriyadi Halim Omar.
Mahkamah dengan itu menolak permohonan Prof Madya Dr Azmi Sharom yang mencabar kesahihan akta itu dan mengarahkan kes Azmi bicarakan di Mahkamah Seksyen.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya (UM) itu telah didakwa dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2 September 2014 atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Azmi didakwa membuat kenyataan itu dalam artikel bertajuk “Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told” yang dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos 2014.
Pada 17 September, Azmi memfailkan permohonan mencabar Akta Hasutan 1948 kerana mendakwa Seksyen 4 tidak mengikut Perlembagaan dan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara.

Muktamar PAS Kecoh: Perwakilan Guna Doa 'Serang' Mat Sabu

Kumpulan Unit Amal PAS cuba merampas mikrofon ketika Dr Azhari mendoakan bagi 'kesejahteraan' PAS pada muktamar tahunan parti itu di Batu Pahat pada Jumaat. 


   
BATU PAHAT: Gara-gara menggunakan doa sebagai medan untuk 'mengutuk' Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan beberapa individu lain, perwakilan Wilayah Persekutuan, dibidas kerana mempersendakan agama.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, perwakilan Kedah, Ridzwan Abu Bakar bertindak merampas mikrofon ketika sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini.

Ridzwan menuntut Pengerusi Tetap PAS, Datuk Abu Kassim Abdullah supaya membuat keputusan berhubung tindakan wakil Wilayah Persekutuan, Dr Azhari Ariffin.

"Harap Pengerusi Tetap buat ruling mengikut peraturan muktamar tentang sikap perwakilan Wilayah Persekutuan yang menggunakan doa sebagai saluran untuk menyerang orang.

"Adakah ini adab dalam berdoa? Adakah ini dibenarkan dalam Islam kerana gunakan doa untuk serang orang lain. Pentas muktamar sepatutnya digunakan untuk membahas perkara dasar parti," katanya.

Terdahulu Azhari mengambil masa hampir 30 minit iaitu melebihi tempoh yang dibenarkan untuk setiap pembahas berucap.

Sejak awal ucapannya, Azhari mengajak peserta muktamar untuk menadah tangan berdoa supaya Allah memberi petunjuk kepada Mohamad.

Turut menjadi mangsa 'serangan' Azhari ialah dua wakil rakyat PAS Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) kerana membelakangkan parti apabila menyokong pencalonan tunggal Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri mesar Selangor.

Azhari turut menyifatkan Saari dan Hasnul sebagai ejen perosak dalam PAS apabila menggelarkan mereka umpama 'nila'.

Walaupun beberapa kali cuba dihalang Pengerusi Tetap supaya menamatkan doa yang semakin meleret-leret, Azhari bagaimanapun enggan mengendahkannya.

Akhirnya drama itu diredakan Pengerusi Tetap apabila memaklumkan bahawa isu yang dibangkitkan Azhari akan dijawab kepimpinan PAS Pusat pada sesi penggulungan esok (Sabtu).

PAS Mencadangkan Nama Azmin Ali Selepas Pertemuan Datuk Seri Abdul Hadi Awang Dan Sultan Selangor




PAS memutuskan untuk menawarkan dua nama sebagai calon Menteri Besar selepas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemu Sultan Selangor pada 31 Julai lalu.

"Pada hari raya keempat, beliau menghadap Sultan.

"Maka presiden parti memutuskan bahawa satu nama alternatif perlu dicadangkan dengan mengambil kira sebarang kemungkinan melibatkan Istana dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," kata Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat.

Beliau berkata, Hadi mempunyai hubungan baik dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Jelas Suhaizan, berdasarkan pertimbangan tersebut PAS memutuskan untuk menamakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai calon alternatif selain Wan Azizah.

"PAS boleh mencadangkan nama di kalangan ahlinya sebagai calon alternatif tetapi ia melanggar prinsip setiakawan dalam Pakatan Rakyat, keputusan itu bukan dari PAS," katanya.

Suhaizan berkata PAS tidak membuat pusingan 'U' apabila menyatakan sokongan terhadap Wan Azizah dan menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi hanya mengambil jalan alternatif.
"Rancangan awal adalah untuk menerima Khalid sebagai Menteri Besar, berdasarkan keupayaan beliau mentadbir Selangor.

"Berita mengenai kelemahan politiknya, pada pendapat PAS, merupakan masalah dalaman parti yang boleh diselesaikan partinya sendiri," kata Suhaizan.

Beliau berkata, mengekalkan Khalid dan memperbaiki prestasi politiknya adalah jauh lebih selamat berbanding meminta beliau berundur.

Jelasnya, kepimpinan Pusat Pakatan Rakyat boleh memberi cadangan, kritikan kepada PKR menerusi Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

"Namun, jalan yang diambil PAS tidak difikirkan terlebih dahulu.

"Masalah yang dihadapi Khalid menyebabkan beliau dipecat daripada parti. Kini, Khalid bukan lagi ahli PKR atau Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berkata, kesetiaan PAS hanya kepada PKR dan DAP serta bukannya bersama Khalid dan rancangan terbaharu untuk PAS adalah menolak Khalid sebagai menteri besar.

"Jadi, PAS mengambil pendekatan terbaharu dengan menolak Khalid. Inilah yang saya maksudkan dengan kedinamikan PAS dalam membuat keputusan," katanya.

Krisis MB Selangor: Dedah Siapa PAS Sebenarnya





WALAUPUN Pakatan Rakyat (PR) hampir berpecah di Selangor, tapi Umno Selangor masih tidak dapat mengambil kesempatan.

Ini tidak lain, tidak bukan kerana Umno terlalu lemah di Selangor.

Yang menarik ialah kata-kata Tan Sri Muhyiddin Yassin yang krisis MB Selangor boleh menjadi pengajaran kepada BN sejurus pendirian Pas diketahui semalam.

Meskipun diapi-api Utusan sejak seminggu yang lepas, Pas dan presidennya Abdul Hadi Awang membuat pendirian memberikan pilihan kepada PR dan Sultan Selangor untuk memilih antara Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Azmin Ali sebagai calon yang sesuai untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Pendirian bijak itu tersebut mengejutkan lawan Pas iaitu Umno, dan juga mengkagumkan rakannya DAP dan PKR.

Dakwaaan Pas menolak Dr Wan Azizah kerana beliau seorang wanita seperti yang didakwa pelbagai pihak termasuk PKR terbukti fitnah semata-mata dengan pendirian Pas semalam.

Dakwaan bahawa Pas berniat bekerjasama dengan Umno juga jauh meleset.

Geng yang menuduh Pas tidak pandai berpolitik dan tidak tahu bertahaluf juga tak benar.

Meskipun dihentam kiri kanan oleh rakan-rakan di Pakatan kerana hanya ingin bermesyuarat pada 17 Ogos, Pas tetap dengan komitmen bersama PR.

Pas tidak bersikap seperti pihak-pihak lain yang suka “force the issue” (memaksa sesuatu isu) apabila ada perbezaan pendapat.

Kerana ingin mencapai konsensus atas terma sendiri, mereka suka menggunakan frasa-frasa seperti “24 jam yang kritikal”, “peluang terakhir”, “tindakan segera” dan “buktikan sekarang” untuk memaksa rakan-rakan untuk membuat keputusan. Tindakan-tindakan sedemikian langsung tidak membantu dalam menguatkan talian persahabatan.

Ada pula yang suka “buat dulu”, lepas itu maklum. Mereka tidak berminat bertanya sama ada rakan lain suka makan nasi mahupun bubur, yang mereka nak sampaikan ialah “dah jadi bubur, kau telanlah sahaja.” Mereka bukan sahaja bersikap begitu pada rakan, malah pada pihak istana.

Terdapat juga golongan yang amat gopoh sehingga sanggup melangkau ke hadapan dahulu dalam keputusan mereka tanpa memikirkan perasaan dan perkiraan pemimpin sendiri. Ini menunjukkan mereka sudah kurang berkeyakinan atau termakan fitnah bahawa parti mereka sendiri tidak berupaya menyelesaikan kemelut ini dengan baik.

Pas menjaga perasaan semua pihak – rakan-rakannya dan juga pihak istana. Pas pastikan hati Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terguris dengan memastikan nama Dr Wan Azizah adalah antara calon yang disokong Pas, meskipun istana menolak permintaan pertama beliau untuk mengadap.

Pas menjaga hati istana dengan membiarkan lebih satu pilihan untuk dipilih menggantikan Khalid. Pas tidak mahu istana terasa Pakatan ada sikap “forcing the issue” – di mana kena mati-mati terima calon yang dicadang Pakatan. Bagi Pas, istana ialah satu institusi yang perlu dihormati dalam kerangka demokrasi negara.

Akan tetapi, selepas mesyuarat di sebuah hotel di Subang Jaya semalam, PR tetap memutuskan untuk menghantar nama Dr Wan Azizah seorang sahaja untuk diperkenan istana. Jika istana menolak, Pas bolehlah bagi tahu nanti – “I have told you so.” Kalau terjadi pembubaran Dun pada masa itu, ingatlah ia bukan salah Pas lagi.

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar menyifatkan apa yang berlaku di Selangor sebagai ‘luar tabie’. Bahasa melambangkan watak, jadi penulis tidak perlu mengulas lanjut mengenai perwatakan beliau.

Tapi Noh Omar sedar tak, yang lebih luar biasa di Selangor ialah ketidakmampuan Umno Selangor untuk melakukan apa-apa untuk mengocak situasi dan mengambil kesempatan politik yang begitu meruncing di antara parti-parti komponen PR.

Dengan berbekalkan 12 kerusi Dun, yang Umno boleh buat hanyalah bermain batu api. Tapi itu pun tidak menjadi, apabila exco Selangor daripada Pas Sallehin Mukhyi membuat pendirian tegas akan keluar daripada kerajaan Khalid jika ada Adun Umno yang dilantik menjadi exco.

Kenyataan Sallehin adalah satu langkah cermat menutup segala lubang untuk Umno melakukan sabotaj. Ia adalah langkah “checkmate” kepada Umno Selangor, cuma rakan-rakan Pakatan tidak faham kerana dibutai oleh kemarahan kepada Khalid yang baru memecat exco-exco daripada DAP dan PKR.

Perkara yang paling besar untuk disedari Umno-BN di dalam episod di Selangor ini ialah jangan pandang lemah pada kredibiliti dan komitmen Pas, dan jangan lagi cuba menangguk di air keruh setiap kali berlaku perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Pas.

Barangkali itulah pengajaran yang dimaksudkan oleh Muhyiddin – bagaimana tertekan sekalipun, jangan harap Pas mengkhianati sahabat mereka. Sejarah membuktikannya. Dan pada 17 Ogos 2014, Pas membuktikannya sekali lagi.

Oleh Timmy Say

Panas!! Mahathir Dakwa Prestasi Najib Lebih Buruk Berbanding Pak Lah

Tun Mahathir Mohamad mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana telah merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara. Mahathir berkata, beliau tiada pilihan selain menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.
 

Tun Mahathir Mohamad menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Mahathir berkata, beliau tidak sangka pencapaian Najib dalam pilihan raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah dan “dasar dan tindakannya juga tidak lebih berkesan” berbanding pendahulunya itu.

“Harapan saya Datuk Seri Najib akan mengambil ikhtiar dari prestasinya yang buruk dalam pilihan raya umum ke-13,” katanya.

“Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Datuk Seri Najib.”

Justeru, menulis dalam blognya hari ini,

“Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur,” katanya.

Mahathir antaranya mengkritik tindakan Najib “melayan tuntutan musuh” dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bersikap rendah diri kepada negara jiran serta memberikan layanan tidak saksama terhadap kaum dan parti yang menyelamatkan kerajaan.

Lebih sayangkan negara

Bekas perdana menteri juga mengkritik penggunaan wang kerajaan untuk mempengaruhi sokongan dalam pilihan raya, pengabaian industri tempatan, pertambahan cuti dan kenaikan gaji minimum.

“Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

“Semua ini disebabkan penyokong kerajaan tidak pernah menegur pemimpin,” katanya yang sebelum itu yang antaranya menceritakan kisah dongeng terkenal “kisah maharaja bogel”.

Mahathir berkata beliau rela menerima akibatnya akibat menegur pemimpin nombor satu negara itu.

“Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.

“Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya,” katanya.
 

Terima Kasih Dan Tabik Spring Untuk Gerakan Simpul Mati Oleh YB Saari Sungib Dan YB Tuan Haji Hasnul Baharuddin



Jawatankuasa PAS Pusat hari ini menamakan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ini juga bermakna PAS telah menarik balik sokongannya terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diberikan sebelum ini. Kini Khalid Ibrahim sudah tiada lagi legitimasi untuk terus kekal sebagai menteri besar.

PAS hari ini memutuskan untuk kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dan bersetuju dengan pilihan PKR untuk melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail diangkat menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

"PAS tidak akan menuntut jawatan menteri besar Selangor. PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam mencadangkan nama calon menteri besar Selangor.

"Sehubungan dengan itu, PAS sebulat suara pada hari ini bersetuju untuk mengangkat dua nama bagi menggantikan Khalid. Nama yang dicadangkan oleh PAS ialah Dr Wan Azizah dan Azmin," kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di Ibu Pejabat PAS hari ini.


***Terima Kasih Dan Tabik Spring Untuk Gerakan Simpul Mati Oleh YB Saari Sungib Dan YB Tuan Haji Hasnul Baharuddin.


#AsalkanBukanUmno

Tahukah Anda?? MB Khalid Adalah MB Haram



Apabila dirujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar vs Zambry adalah jelas menunjukkan bahawa MB Khalid adalah bersalah.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, dalam penghakiman mahkamah persekutuan beliau berkata: "... Oleh itu, bukti kehilangan keyakinan dalam MB boleh dikumpulkan daripada sumber-sumber luar lain yang diberikan ... mereka betul ditubuhkan. Sumber itu, kita berfikir, perlu merangkumi kemasukan oleh MB sendiri dan / atau representasi yang dibuat oleh ahli-ahli LA bahawa MB tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli-ahli LA.

"Perayu tidak boleh terus mentadbir setelah hilang sokongan majoriti. Untuk membenarkan dia berbuat demikian akan melanggar prinsip asas demokrasi.

"... Adapun soalan ketiga jawapan kita adalah bahawa jika MB enggan mengemukakan peletakan jawatan majlis eksekutif di bawah akta XVI (6) MB dan ahli-ahli majlis eksekutif perlu mengosongkan pejabat masing-masing."

Melangkah berasaskan duluan kehakiman dan merenung decisis (Latin untuk "berdiri dengan perkara-perkara yang membuat keputusan"), ini bermakna kedudukan Khalid kini akan disifatkan telah terbatal.

Khalid telah memecat lima ahli majlis eksekutif negeri (Exco) DAP dan PKR tetapi menangguhkan satu (ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail) yang berada di luar negara yang kemudian meletak jawatan. Kini baki Ahli Exco semuanya dari PAS.

Sultan juga telah mengarahkan Khalid tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman mengenai kedudukan MB sehingga dia kembali pada 27 Ogos.

Dengan PAS bersedia untuk menyatakan pendiriannya hari ini, 17 Ogos semasa mesyuarat AJK PAS PUSAT,  kini bukan sahaja masa depan Selangor yang kelihatan untuk dipertaruhkan tetapi juga seluruh PAKATAN RAKYAT.

Tahukah Anda?? Khalid Ibrahim Mengamalkan Politik 'Busuk Sampai Ke Usus'



Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda negeri itu. Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan akan diambil setelah beliau mendapat nasihat dan perkenan Sultan Selangor.

Persoalannya, di atas dasar apakah DUN Selangor perlu dibubarkan?? Kedudukan terkini DUN Selangor yang memiliki 56 kerusi ialah PAS dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi, PKR (13), BN (12) dan Bebas (1). Sedangkan 30 Adun Selangor termasuk dua Adun PAS iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) telah membuat akuan bersumpah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Ternyata Khalid Ibrahim yang berpolitik secara 'busuk sampai ke usus' dan dengan dibantu oleh perkakas-perkakas Parti Najis Umno cuba mempermainkan suara majoriti DUN Selangor. Biarpun kita terpaksa menghadapi PRN jika DUN Selangor dibubarkan. Percayalah!! rakyat Selangor yang bijaksana tetap akan menolak Umno/BN yang sinonim dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianat kepada bangsa Melayu.

Persepsi buruk seperti rasuah dan salah guna kuasa merupakan elemen yang telah menjejaskan UMNO dan BN sehinggakan parti pemerintah itu telah mendapat amaran yang begitu kuat dari dari rakyat dan telah hampir tersungkur didalam PRU yang lepas.

Mujurlah Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) telah menyelamatkan keadaan dan BN mampu lagi memerintah kerajaan pusat walaupun dengan majoriti yang tipis.

Kenyataan Paling Berani Dari Wakil Rakyat PAS DUN Morib

 
ADUN PAS Morib, Tuan Haji Hasnul Bin Baharuddin



Tindakan PAS sengaja melambat2 kan usaha melantik Menteri Besar adalah satu kesilapan yang besar dan pendapat ini dikongsi bersama kebanyakan AJK PAS Pusat.

Itulah sebabnya Presiden tidak memanggil mesyuarat AJK PAS Pusat yang mempunyai kuasa eksekutif. 10/8 di tunda ke 13/8 ke 17/8.

Alasan untuk bargain dan tidak bersetuju dgn Dr Wan Azizah adalah tidak munasabah. Kita pakatan rakyat boleh duduk berbincang sehingga rentung dan hantar satu nama. Kalau sultan tolak kita hantar nama lain dan seterusnya. Tapi kita terus amik sikap sambil lewa.

Sehingga imej kita rosak di mata pengundi2 Pakatan Rakyat terutama bangsa Cina. Pesuruhjaya Selangor tidak memanggil mesyuarat dan ambil tindakan proaktif dan serahkan 100 peratus ke pusat. Kita yang duduk di Selangor tentu lebih faham dan seharusnya bertanggungjawab. Saya yang menyokong pakatan rakyat akan di hadap ke tindakan disiplin.

Macam mana exco yg bersekongkol dengan mb bebas dan memecat semua exco pakatan rakyat yang lain. Kalau tidak kerana tindakan saya hari ini, semua ahli majlis PKR dan DAP pun akan di pecat oleh Khalid Ibrahim dan disokong oleh EXCO2 PAS yang wala' dengan pimpinan kononnya. Siapa yang khianat sebenarnya. Pejabat MB sudah telefon bekas2 ahli majlis yang sudi untuk setia dengan Khalid Ibrahim.

Exco2 pakatan rakyat dipecat dan dihalau keluar bersama dengan 30 staf2 dan ada yang tunggu masa hendak bersalin. TSKI juga seorang yang suka meninggalkan solat. Majlis syura ulamak tahu tak maklumat ini?

EXCO yang duduk berjam2 dengan TSKI boleh mengesahkan perkara ini. Kenapa nak pertahankan tski sampai setengah mati?

Saya mengambil tindakan ini untuk menyelamatkan pas dari terus hanyut dengan tindakan2 yang merugikan.

Kita kata masih bersama PR tapi perbuatan kita menghancurkan PR.

Saya sudah bersedia untuk terima apa juga akibatnya dari tindakan saya.

-Hasnul b Baharuddin.

MB Khalid Yang Bongkak Sedang Menggali Kuburnya Sendiri


 
Sikap kuku besi dan bongkak Menteri Besar Bebas Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan tindakannya tidak mengendahkan Pakatan Rakyat telah mengejutkan banyak pihak.

Kedua-dua penyokong setia dan ahli Pakatan yang mengundi Khalid tidak percaya bagaimana beliau boleh menjadi begitu semberono, dalam keadaan terdesaknya untuk berpaut kepada kuasa.

Khalid telah direkodkan berkata "tidak ada perkara seperti (kerajaan negeri) Pakatan Rakyat"! Ini suatu sikap tidak bersyukur, selepas diberi peluang oleh gabungan pembangkang persekutuan untuk mentadbir Selangor sejak tahun 2008.

Walaupun adalah benar bahawa Pakatan bukannya sebuah gabungan berdaftar, tidak dapat dinafikan bahawa gabungan PKR, DAP dan PAS telah memerintah negeri itu sejak kemenangan bersejarah mereka pada pilihan raya umum ke-12.

Kini jelas bahawa Khalid mengharapkan 12 orang Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN)-Umno dan 15 dari PAS, dan seekor atau dua ‘katak’ untuk terus berkuasa di bawah apa yang disifatkan sebagai kerajaan perpaduan.

Perpaduan? Kerajaan seperti ini tidak mewakili rakyat Malaysia atau Malaysia yang berbilang agama.

Tidak syak lagi bahawa Khalid akan bekerjasama dengan Umno untuk mencuba kekal berkuasa.

Bagaimana lagi untuk menjelaskan tindak balas pantas timbalan presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa 12 wakil rakyat Umno beliau akan memberi sokongan tanpa syarat kepada Khalid untuk kekal sebagai ketua eksekutif Selangor.

Adakah anda percaya bahawa Umno akan menyokong Khalid secara percuma?

Dalam hal ini, apa yang dikata Ahli Parlimen PAS-Shah Alam, Khalid Samad semalam adalah masuk akal.

Malaysiakini memetik Samad sebagai berkata bahawa "dengan mengambil lebih banyak masa untuk membuat keputusan, PAS memberi tali yang cukup panjang bagi Khalid Ibrahim untuk 'menggantung dirinya (dari segi politik)'.

"Pada mulanya timbul persoalan mengapa Khalid perlu dipecat daripada jawatannya, tetapi tindakannya baru-baru ini telah membuatkan hatta mereka yang mengundi beliau dalam pemilihan parti PKR dan dalam pilihan raya umum sekalipun, tidak percaya.

"Beliau bukan seorang yang setia kepada Pakatan Rakyat, dan hakikat bahawa (Muhyiddin) memberi sokongan tanpa syarat kepadanya membuatkan perkara ini lebih meragukan.

"Jadi, walaupun mereka (PKR dan DAP) tidak berpuas hati dan cuba menekan PAS untuk membuat keputusan lebih awal, saya percaya perkembangan baru-baru ini akan membantu kami dalam membuat keputusan yang tepat," jelas Khalid dalam sebuah sidang akhbar.

Malaysiakini melaporkan bahawa Khalid Samad meminta maaf kerana jawatankuasa kerja pusat PAS (CWC) hanya akan bermesyuarat mengenai krisis ini pada 17 Ogos, tetapi menyeru mereka untuk "merenung kebijaksanaan dari pepatah Inggeris, "berikan mereka tali yang cukup panjang untuk menggantung diri mereka sendiri".

PAS secara tentatifnya menyokong Khalid sebagai MB, sementara menunggu mesyuarat CWC itu dijalankan.

PKR dan DAP telah mencadangkan presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Khalid sebagai MB.

Khalid Samad yang turut merupakan seorang ahli CWC itu, berkata PAS mahu kan masa bagi memastikan bahawa mereka jelas tentang sebab-sebab mengapa Khalid perlu dipecat, sebelum beliau digantikan.

Beliau berkata parti itu mahu mengelakkan situasi di mana "seorang pemimpin yang (dilihat) popular dipaksa meletakkan jawatannya".

Ketika diminta mengulas mengenai kehadiran ahli jawatankuasa eksekutif negeri PAS di mesyuarat exco negeri semalam di sebalik adanya gesaan dari DAP dan PKR untuk memboikotnya, Khalid Samad berkata ia dilakukan untuk mengekalkan kesinambungan kerajaan.

Beliau berkata yang PAS berpendapat bahawa kerajaan sekarang perlu dikekalkan walaupun sedang lumpuh, dan tindakan menarik balik sokongan terhadap Khalid sebelum penggantinya dipersetujui boleh membawa kepada pilihan raya negeri, kerana ia menyebabkan tiada siapa memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

"Jadi apa yang kita lakukan ialah menunggu sehingga mesyuarat 17 Ogos, selepas itu mudah-mudahan kami akan menemui kata sepakat.

"Apabila kami mendapat kata sepakat, kami boleh mengambil tindakan yang perlu untuk menunjukkan bahawa Khalid tidak mempunyai sokongan majoriti, dan ianya dimiliki orang lain," beliau dipetik sebagai berkata.

Malaysian Insider melaporkan bahawa PAS tidak akan membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno Selangor di bawah Khalid, dengan memetik seorang pemimpin kanan PAS menjelang mesyuarat CWC parti Islam itu.

Beliau juga menolak sebarang kemungkinan bahawa mesyuarat penting hujung minggu itu akan melihat pemimpin-pemimpin PAS menggesa supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan, walaupun sekiranya ahli-ahlinya ingin menyebelahi MB Selangor itu.

Apa yang semakin jelas kini ialah tempoh Khalid sebagai MB semakin tiba di penghujungnya.

Tindakannya memecat PKR dan DAP dari exco negeri adalah tidak beretika. Beliau kini sedang mempertimbangkan untuk memecat ahli majlis perbandaran yang memiliki keahlian dalam kedua-dua parti itu.

Untuk memanjangkan lagi metafora "tali" Khalid, Khalid juga boleh dilihat sebagai sedang menggali "kubur” politik beliau dengan lebih mendalam.

Najib “Cakap Tak Serupa Bikin”



Blogger pro-Barisan Nasional Syed Akhbat Ali menulis di dalam blog Out-Syed The Box, kehilangan Perdana Menteri itu dari tanahair telah memasuki hari ketiga belas, satu tempoh yang lama bagi sebuah negara ditinggalkan tanpa peneraju.

Kehilangan PM ini menunjukkan masalah yang sering dikaitkan dengan kepimpinan Najib, gemar mendiamkan diri di dalam pelbagai isu, hilang secara misteri dan bersikap “cakap tak serupa bikin” di mana beliau gemar bermewah-mewah sedangkan rakyat dituntut berjimat cermat.

Najib sendiri tidak menafikan bahawa banyak wang diperuntukkan bagi kunjungannya yang diiiringi para pegawai, yang didakwa bagi kepentingan negara.

Malah perbelanjaan bagi isterinya yang tidak berstatus pemimpin kerajaan sering dilakukan kerana Perdana Menteri “menyayanginya” dan “risaukan keselamatannya”, mengikut penjelasan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 
Pengarang Asia Sentinel John Berthelsen di dalam artikelnya berkata, selepas sidang akhbar di Belanda berhubung nahas MH17 pada 1 Ogos, Najib sibuk dengan urusan peribadi.

“Selepas sidang akhbar, menurut sumber dari Malaysia, perdana menteri dan Rosmah terbang ke Paris. Mereka diiringi jutawan Taek Jho Low dan bekas perdana menteri Qatar...”

Berthelsen berkata kumpulan itu dipercayai mengunjungi Sardinia, di Itali sebelum ke Cannes di Peranchis, sebelum kembali ke Sardinia dengan sekumpulan ahli perniagaan Malaysia berbangsa Cina.

Usaha Asia Sentinel mendapatkan lokasi tepat Najib tidak berhasil kerana Jabatan Perdana Menteri dan setiausaha akhbarnya enggan memberi maklumbalas.

Jadi wajarkah Perdana Menteri kita makan angin di lokasi percutian mewah sedangkan rakyat Malaysia disaran berbelanja secara berhemah atau mengubah gaya hidup ketika berdepan kos sara hidup yang tinggi?

Kita perlu soal samada kunjungan ini dibiayai wang rakyat? Atau jika tidak, siapa yang membiayainya? Adakah sesuai bagi percutian Perdana Menteri dibayar pihak-pihak tertentu yang mungkin mempunyai agenda mereka?

Kita harap ia bukan menggunakan wang kerajaan.

Percutian Najib bersama isteri juga dilakukan ketika negara masih berduka akibat tragedi berkembar MH370 dan MH17 dalam bulan Mac dan Julai tahun ini.

Menurut Berthelsen, lawatan itu mungkin telah dirancang terlebih dahulu tetapi ia masih boleh dibatalkan kerana insiden yang menimpa negara.

Inilah sikap “cakap tak serupa bikin” yang sering dipamer Perdana Menteri. Jika beliau boleh membatalkan majlis rumah terbuka rasmi kerana menghormati mangsa kedua-dua nahas penerbangan itu, mengapa beliau tidak membatalkan percutiannya?

Najib bukan sahaja gemar mendiamkan diri malah sering menghilangkan dirinya  di dalam percutian misteri. Adakah beliau  berterusan membelanjakan wang di kala  rakyat Malaysia sedang berkabung atau berdepan kos sara hidup yang makin meningkat?

Perlantikannya sebagai Perdana Menteri menjadikan beliau bertanggungjwab kepada kita, rakyat Malaysia, dan bukan sebaliknya.

TERKINI!! ADUN Bukit Besi Isytihar Keluar Umno

Adun Bukit Besi, Roslee Daud


Kuala Terengganu: Seorang lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu mengumumkan keluar Umno, menjadikan jumlahnya tiga orang setakat pagi Selasa.

Terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Roslee Daud mengisytiharkan berbuat demikian, hanya beberapa jam selepas dua pemimpin negeri itu mengumumkan keluar parti.

Roslee mengikut jejak Datuk Seri Ahmad Said yang juga Adun Kijal dan Adun Ajil, Ghazali Taib yang mengambil keputusan menjadi wakil rakyat Bebas.

Dengan perkembangan terbaharu ini, BN kini menguasai 14 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, begitu juga PAS sebanyak 14 kerusi, satu mewakili Parti Keadilan Rakyat  (PKR) dan  Bebas (3).

Terdahulu pada petang Isnin, Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, manakala penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Adun Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, malam Isnin

Tindakan Ahmad, Ghazali dan Roslee keluar meninggalkan Umno ini bermakna kedudukan kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) boleh tumbang seandainya mereka memilih untuk menyokong Pakatan Rakyat sebagai wakil Bebas.

Dan jika ini berlaku, Ahmad Razif hanya sempat menyandang jawatan menteri besar untuk beberapa jam sahaja iaitu yang tersingkat dalam sejarah negeri itu.

"Tragedi 13 Mei" Melanda Negeri Terengganu



Hanya beberapa jam selepas majlis mengangkat sumpah Menteri Besar baru Terengganu, bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar Umno.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta.

Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Kijal," katanya dalam surat yang diemelkan kepada AstroAWANI lewat malam tadi.

Langkah Ahmad Said dituruti seorang lagi Adun Umno, Ghazali Taib. Surat perletakan jawatan Adun Ajil itu dari semua jawatan parti dan seterusnya keluar Umno dialamatkan kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan turut diemelkan kepada AstroAWANI.

Salinan surat Ahmad dan Ghazali turut ditujukan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

Ahmad Said telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin bagi membuka ruang kepada Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai Menteri Besar baru.

Ahmad Razif mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi.
Dengan perkembangan terbaru ini, BN dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu dengan PAS menguasai 14 kerusi dan PKR (1).

Baki dua lagi kerusi disandang Ahmad dan Ghazali yang mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber memaklumkan Adun Kemasik dan Adun Bukit Besi juga gagal dihubungi mengakibatkan desas desus bertiup kencang bahawa mereka juga mungkin mengikuti jejak Ahmad dan Ghazali.

Perkembangan terbaru ini meletakkan kerajaan BN negeri seperti di hujung tanduk.

Jika dua Adun Bebas Terengganu ini menjadi ‘mesra Pakatan Rakyat’, besar kemungkinan episod yang  berlaku di Perak pada Februari 2009 berulang di Terengganu.

Dengan kes duluan yang berlaku di Perak yang mengakibatkan kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri apabila dua Adun PKR dan satu Adun DAP  menjadi ‘mesra BN’, apakah kita akan melihat perubahan kerajaan negeri dalam masa terdekat?

Ramai yang terkejut dengan keputusan bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said bertindak keluar dari parti keramat UMNO disaat seluruh negara tertumpu kepada majlis angkat sumpah perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru iaitu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman malam tadi.

Apa tidaknya, Mat Said yang dilihat tidak muncul ketika majlis angkat sumpah Ahmad Razif dihadapan Sultan Mizan Zainal Abdidin di Istana Syarqiyyah, Chendering tiba-tiba umum keluar UMNO. Turut bersama beliau ialah ADUN Ajil, Ghazali Taib.

Tindakan Mat Said dan Ghazali ini memberi tamparan yang cukup hebat kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Dikala UMNO sedang menyambut perayaan ulangtahunnya yang ke-68 semalam, tiba-tiba "Tragedi 13 Mei" melanda negeri Terengganu.

Kedudukan kerusi DUN kini sama iaitu 15-15 akibat tindakan Mat Said menjadi ADUN Bebas. Malah, seandainya mereka berdua bertindak serupa seperti dua ADUN PKR yang lompat parti dan menjadi ADUN Bebas di Perak dulu iaitu Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi.

Jika dulu, Menteri Besar Perak, Ir.Nizar Jamaluddin digulingkan dan Dr.Zambry Kadir diangkat menjadi Menteri Besar yang baru dalam satu krisis politik yang paling dasyat di Malaysia kini apakah ia mungkin berlaku pula di Terengganu?.

Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Nizar dijatuhkan dengan taktik "lompat parti" dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP.

Kini, di Terengganu tragedi yang sama mungkin berlaku bila dua ADUN BN tiba-tiba mengisytiharkan diri mereka ADUN Bebas. Sesuatu yang menakutkan buat PM Najib Tun Razak sebenarnya.

Di Perak dulu, Najib adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang dikatakan terlibat dengan konspirasi itu. Kini, Najib juga yang memperkenankan pertukaran MB Mat Said kepada Ahmad Razif.

Tindakan ini akhirnya memakan diri, bila Mat Said begitu bijak mengambil peluang keemasan untuk mengajar pihak yang menganiaya dirinya. Sesuatu yang memang sudah dijangka, Mat Said pasti akan bersama Pakatan Rakyat dalam masa terdekat ini.

Jika ini berlaku maka Ahmad Razif mungkin akan bergelar Menteri Besar yang paling pendek memegang jawatan tersebut di Malaysia sejak sekian lama.

Jika dulu, rakyat Perak merasai keperitan kuasa kerajaan negeri bertukar daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional. Kini, ia seolah-olah berbalik kepada UMNO pabila Kerajaan Negeri Terengganu pula kemungkinan besar akan bertukar dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Apapun, kesilapan pertukaran Menteri Besar ini harus dijadikan ikhtibar kepada pemimpin UMNO.

Dikala rakyat mahu melihat perubahan jawatan peringkat kabinet tiba-tiba MB Terengganu ditukarkan. Kini, "nasi sudah menjadi bubur" dan apakah Mat Said akan berundur dengan tawaran lumayan atau meneruskan hasratnya. Sama-sama kita nantikan episod seterusnya adegan panas ini.
Related Posts with Thumbnails