Mengapa Ritual Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP Dibenarkan Di KLIA?
Posted by Unknown on 11:24 AM in Ibrahim Mat Zin KLIA MH370 Raja Bomoh VIP Umno Guna Bomoh | Comments : 0
Tahniah kepada penguatkuasa agama di atas tindakan yang mereka ambil terhadap amalan sihir yang dilakukan seorang yang mendakwa Raja Bomoh VIP bagi mencari lokasi pesawat MAS Boeing 777 yang telah hilang sejak 8 Mac lalu.
Namun, kerana amalan Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP Ibrahim Mat Zin telah dikenalpasti sebagai menyimpang dari ajaran Islam sejak 2004, mengapa beliau dibiarkan berkeliaran melakukan amalan sihirnya?
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan kenyataan tentang amalannya yang dilihat bercanggah dengan Islam pada 2004. Ia dibuat berdasarkan kajian tentang amalan seumpama itu ke atas keimanan pengikut Islam.
“Amalan yang dilakukan Ibrahim bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia mengandungi unsur syirik, khurafat dan penipuan,” jelas kenyataan Jakim sambil menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh.
Penguatkuasa agama itu berkata amalan yang dibenarkan di dalam Islam terkandung di dalam maklumat yang dimuatnaik ke laman sesawangnya.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pula telah menugaskan pegawai-pegawainya di KLIA bagi menghalang bomoh itu melakukan aksinya.
Seorang pegawai Jais dipetik sebagai berkata, penguatkuasa agama itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ibrahim sekiranya dia melakukan “amalan sihirnya” sekali lagi.
Ibrahim telah dua kali mengunjungi KLIA minggu ini. Kali pertama dia membawa bubu menangkap ikan serta teropong buluh bagi mengesan lokasi MH370.
Semalam (12 Mac) dia muncul lagi sambil melakukan aksi “mendayung” tikar di lantai KLIA sambil membawa bersamanya air zam zam, dua biji kelapa, tongkat buluh serta mendakwa mahu menghalau semangat jahat yang mengganggu para penyelamat di dalam usaha mencari pesawat itu.
Kelakuannya dimuatnaik di dalam bentuk klip video, laporan berita, dan dijadikan ‘meme’ di Internet oleh warga Malaysia yang mempersenda aksinya.
Mereka berkata laganya seakan babak di dalam filem klasik P Ramlee yang berjudul “Laksamana Do Re Mi”.
Namun, mengapa dia boleh lagi berkeliaran jika telah diumumkan mengamalkan ajaran yang menyimpang daripada Islam pada 2004?
Ibrahim mendakwa telah melakukan sihirnya di dalam beberapa kejadian berprofil tinggi seperti tragedi Highland Towers, kes Mona Fandey serta kejadian runtuhan tanah sedikit masa dahulu.
Dan kerana dia menggunakan kalimah “Allah” serta “Allahuakbar” – kalimah yang digunakan di dalam Islam – mengapa tiada tangkapan dilakukan?
Pihak berkuasa sangat bertegas di dalam penyalahgunaan kalimah tertentu di dalam ajaran yang bertentangan dengan Islam dan beberapa hari lalu telah menangkap 114 pengikut Syiah kerana amalan yang didakwa menyimpang daripada kepercayaan Islam.
Di dalam kes ini, kita tertanya-tanya jika gambar Ibrahim yang didakwa diambil ketika majlis BN-Umno merupakan sebab beliau belum lagi ditahan.
Atau juga pin 1Malaysia beserta tag nama dengan lambang kerajaan yang dipakainya yang tertera nama “Datuk Ibrahim” yang lebih merupakan prop seperti buluh magisnya serta permaidaninya.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan bekas Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin telah meminta tindakan diambil ke atas Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab dengan hal-ehwal agama, seakan tidak tahu pengumuman Jakim bahawa amalan bomoh itu dianggap menyimpang. Beliau berkata semua jenis bantuan dialu-alukan selagi ia selari dengan Islam dan tidak wajar ditolak mentah-mentah.
Mungkin sampai masanya bagi kita menumpukan perhatian terhadap nasib 239 penumpang di atas MH370 dan mengetepikan para pencari publisiti seperti Ibrahim yang hanya menyebabkan usaha mencari ditertawakan.
Oleh Hazlan Zakaria
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment