Selepas lebih lima puluh tahun mengecap kemerdekaan dan menjadi negara berdaulat, Malaysia kini menuju zaman gelap. Ini kerana sekumpulan kecil dari rakyatnya yang beragama Islam mendakwa mereka berkuasa. Tanggapan ini terjadi kerana mereka berasa diri mereka “tuan” yang mempunyai keistimewaan berbanding rakyat yang lain.
Majoriti golongan Melayu tidak mempunyai pendirian yang serupa dengan kumpulan ini.
Mereka sarat dengan kebencian. Mereka mengigau bahawa sedang diancam kelompok yang mahu menggugat agama serta bangsa mereka.
Tindakan mereka mencermikan kekeruhan minda apabila menayang punggung bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap individu tertentu. Mereka juga mengheret simbol kepercayaan komuniti lain ketika mengancam akan bertindak terhadap komuniti itu.
Mereka mungkin bertindak seperti itu setelah tamatnya PRU13, apabila Perdana Menteri menyalahkan “Tsunami Cina” kerana BN kehilangan sokongan di kalangan pengundi.
Seperti biasa, Perdana Menteri ini tidak ada akal fikirannya sendiri. Beliau amat bergantung kepada nasihat perunding antarabangsa yang digaji kerajaan bagi membuat saranan tentang apa yang berlaku di dalam negeri.
Setakat ini semua nasihat yang diterima bersifat tidak waras. Adakah mereka bertanggungjawab di dalam isu berhubung Tsunami Cina itu, atau mungkin terhadap kenyataan kangkong yang dibuat Perdana Menteri? Ada berjuta lagi isu yang boleh ditumpukan Perdana Menteri berkisar tentang ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, tetapi mungkin perunding tersebut tidak melihat kepentingannya.
Selepas membuat kenyataan yang kurang wajar bagi menyimpulkan keputusan PRU13, lidah rasmi parti Perdana Menteri terus menyemarakkan kebencian sehingga keadaan menjadi berjerebu. Isu perkauman, ketuanan bangsa serta ancaman terhadap agama dimainkan sehingga ke tahap maksima.
Bagi menunjukkan kekuatan, penjaja kebencian ini menubuhkan beberapa pergerakan bukan kerajaan. Setiap satu menumpukan kepada usaha menyebar kebencian terhadap orang-orang bukan Melayu.
Masalah yang tidak pernah timbul diwujudkan bagi tujuan itu. Ancaman dibuat dan tindakan tidak bertamadun dilakukan bagi menakutkan kaum bukan Melayu.
Ayam disembalih dan darahnya dicalit pada foto pemimpin pembangkang bukan Melayu terutama seorang wanita yang menerbitkan klip video yang mereka tidak fahami. Mereka kemudian mengumpul wang yang ditawarkan kepada sesiapa yang bodoh sehingga sanggup menempeleng pemimpin pembangkang itu.
Igauan mereka tiada batasnya.
Dan pihak berkuasa hanya memandang tanpa berbuat apa-apa. Bukan itu saja, menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri berkata tindakan itu tidak wajar disiasat kerana tidak mengancam nyawa sesiapa.
Dalam kata lain, ungkapan ini memberi keizinan bagi tindakan seterusnya yang dirancang penjaja kebencian ini. Dan seperti biasa, Perdana Menteri membudayakan sikap berdiam diri sambil hanya melemparkan senyuman.
Umno Baru/BN tidak pernah jujur mempromosi keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional. Tambah menyedihkan ialah sikap berdiam diri yang ditunjukkan parti-parti komponen BN. Mereka hanya menyokong Umno Baru tanpa sedikitpun membantah. Mereka mengecewakan ahli hanya kerana mahu kekal di dalam kerajaan bagi mendapat jawatan.
Mereka sedar mereka bukan rakan yang mendapat layanan saksama, tetapi enggan membetulkan keadaan. Tidak hairanlah mengapa mereka kehilangan sokongan. Mereka memang mendapat balasan setimpal di dalam PRU13.
Di sebalik kemelut ini, agensi kerajaan turut terlibat di dalam menyemai bibit-bibit kebencian terhadap penganut bukan Islam.
Seorang professor separuh masak mengeluarkan fatwa melarang orang-orang Islam memasuki gereja.
Jadi, orang yang mengaku Melayu perlu mempamerkan ciri-ciri beginikah? Mereka perlu beragama Islam, bertutur di dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu?
Saya percaya ramai yang tidak memenuhi kriteria ini. Semasa Tunku Abdul Rahman menjawat jawatan presiden Umno, salah satu cawangan di Pulau Pinang mengadakan mesyuarat mereka di dalam Bahasa Tamil. Dilaporkan, seorang ahli perniagaan yang berjaya di Kedah menyertai dua parti politik, Umno dan MIC. Malah beliau pernah menghadiri mesyuarat MIC dengan berpakaian baju Melayu.
Kumpulan penjaja kebencian ini mengetepikan adat resam Melayu kerana tiada apa yang Melayunya di dalam tindakan mereka.
Pihak berkuasa perlu serius dan bertindak ke atas segala perlakuan kumpulan ini yang berkempen bagi menyemai kebencian.
Masa depan negara kian tergugat dan kebajikan masyarakat Malaysia di dalam bahaya.
Oleh Ahmad Mustapha Hassan
(Ahmad Mustapha Hassan merupakan bekas setiausaha akhbar bagi Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Beliau juga menghasilkan buku berjudul, "The Unmaking of Malaysia".)
kumpulan penjaja kebencian
kumpulan penjaja kebencian
kumpulan penjaja kebencian
Post a Comment