BREAKING NEWS

PDRM Terus Dijadikan Aparat Oleh Rejim Bacul



Masalah fundamental negara ketika ini adalah sistem perlaksaanan Kerajaan Pemerintah yang berhadapan dengan wabak ketirisan, pemberian komisyen dan salahguna kuasa. Masyarakat tidak pernah lupa akan pembayaran komisyen RM 500 juta lebih kepada syarikat PERIMEKAR dan pembunuhan kejam Altantuya Sharibuu berhubung pembelian kapal selam Scorpene.

Atas kepedulian dan rasa bertanggungjawab cintakan tanahair, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan SUARAM akan menganjurkan siri Ceramah Perdana Le Tour De Scorpene Zon Selatan pada 04 November 2012 bertempat di Perkarangan Pejabat Parti Keadilan Rakyat Cabang Pasir Gudang, Jalan Betik 1, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor.

SAMM Johor menjangkakan akan berlaku tindakan provokasi murahan dari pihak tidak bertanggungjawab ekoran daripada sikap UMNO yang mencetuskan provokasi pada program Pakatan Rakyat pada 27 Oktober 2012 di Bandar Seri Alam, Masai, Johor yang dengan sengaja memasang lagu-lagu dengan speaker yang kuat bertujuan untuk mengganggu penyokong-penyokong Pakatan Rakyat dari mendengar ucapan dan amanat Pimpinan Pakatan Rakyat pada malam tersebut.

Maka, SAMM Johor turut mengharapkan pasukan keselamatan, Polis DiRaja Malaysia untuk menjalankan tugas dengan penuh professional tanpa ada pilih kasih. Atau sekadar terus mencalar imej dan nama pasukan. Alangkah sedih nama pasukan Polis DiRaja Malaysia itu dipermain oleh Rejim Pemerintah yang kian resah melihat asakan bertali arus Pakatan Rakyat. Polis DiRaja Malaysia tidak harus membenarkan imej mereka ditunggang dan dijadikan aparat Rejim Bacul seperti yang berlaku semasa program Pakatan Rakyat di Bandar Seri Alam, Masai tempohari.

Apa yang berlaku di Bandar Seri Alam tempohari adalah merupakan sesuatu yang amat mendukacitakan dan mencalar teruk imej pasukan Polis DiRaja Malaysia. Sejarah mencatatkan bagaimana anggota pasukan PDRM berlalu meninggalkan kawasan program Pakatan Rakyat tanpa mengambil peralatan kamera rakaman ekoran daripada tekanan dan ketidakupayaan pasukan PDRM dalam menjalankan tugas dengan penuh etika dan professionalisme apabila melibatkan Rejim UMNO/BN dan sekutunya. Ini menunjukkan krisis identiti yang maha dahsyat apabila PDRM tidak lagi mampu memisahkan antara garis perlaksanaan penguatkuasaan undang-undang dengan menjadi aparat parti UMNO/BN. Sehinggakan SAMM terpaksa menyelamatkan kamera rakaman tersebut daripada menjadi mangsa kemarahan orang ramai.

Malah, tambah mendukacitakan apabila PDRM bertindak menahan beberapa aktivis DAP sedangkan seharusnya PDRM bertindak terhadap kelompok yang melakukan provokasi tersebut sedari awal program ataupun sebaik selesai program tersebut. Tindakan menahan beberapa aktivis DAP menunjukkan bahawa terdapat amalan “double standard” dalam penguatkuasaan undang-undang. Anak muda terus di didik dengan idea bahawa mereka bebas melakukan apa sahaja walaupun ia merupakan kesalahan selagi mana mereka berlindung di bawah payung UMNO/BN hinggakan pasukan PDRM turut tidak mampu mengambil sebarang tindakan. Adakah ini mesej dan harapan pasukan PDRM dalam membina modal insan negara ini?

Program Jelajah “Le Tour De Scorpene” akan menjadi ukuran benchmark sama ada pasukan PDRM Kontijen Johor secara umum dan pasukan PDRM Daerah Pasir Gudang akan bertindak berlandaskan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang atau terus bersekongkol dengan rejim UMNO/BN dalam melakukan perkara-perkara yang tidak beretika serta memangsakan segelintir anak muda yang tidak mengerti apa-apa demi memuaskan nafsu tamak kuasa & kebaculan pemimpin mereka.

SAMM Johor turut menasihatkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Datuk Seri Khaled Nordin untuk tidak memperkudakan anak-anak muda bagi menimbulkan provokasi. Bersikaplah sebagai seorang pemain politik yang berpengalaman, apatah lagi YB Datuk Seri merupakan seorang Menteri. Sikap dan tindakan keterlaluan pengikut-pengikut YB Datuk Seri yang kerap menimbulkan provokasi setiap kali program Pakatan Rakyat di Pasir Gudang telah menunjukkan tahap ketakutan melampau terhadap kemaraan Pakatan Rakyat di Parlimen Pasir Gudang. SAMM Johor berikrar sekiranya berlakunya sebarang provokasi murahan sepanjang program kami berlangsung, kami akan terus bekerjasama erat dengan parti-parti Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan YB Datuk Seri dalam Pilihanraya Umum akan datang. SAMM Johor tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan progresif dan agresif dalam menyebar maklumat dan menghasut rakyat Pasir Gudang untuk menolak Khaled Nordin dari terus menjadi wakil mereka.

Khaled Nordin harus menasihati ahli-ahli UMNO, PERKASA dan pengikut-pengikut beliau untuk tidak melakukan sebarang tindakan provokasi. Hormati keluhuran Perlembagaan yang membenarkan hak bersuara dan berhimpun. Hujah lawan hujah. Mari kita bermain di pentas politik yang matang, bukan bertindak mengikut emosi untuk menutup ketakutan yang maha dahsyat itu.

SAMM Johor bersama-sama pasukan Unit Amal, AMK, DPP dan DAPsy akan memperkemaskan dan memperketatkan kawalan keselamatan pada malam tersebut. Persediaan telah pun kami ambil bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara tidak diingini. Namun begitu, sekali lagi kami memohon pasukan Polis DiRaja Malaysia untuk bertindak profesional bagi mengelakkan berlaku tragedi tidak diingini. Adalah baik sekiranya kita dapat menghindar perkara-perkara tidak diingini kerana amat sukar untuk mengawal kemarahan orang ramai yang hadir ke program itu nanti sekiranya berlaku provokasi dari pihak tidak bertanggungjawab. SAMM Johor turut menyeru setiap hadirin yang akan hadir ke program ini nanti untuk tidak melayani dan termakan dengan cubaan-cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk menggagalkan program penerangan ini.

SAMM Johor dengan ini menjemput sekalian rakyat Negeri Johor untuk bersama-sama hadir dalam program yang julung kali diadakan ini. Mendengar apa cerita sebenar skandal pembelian kapal selam Scorpene dari panel Pasukan Scorpene SUARAM. Apa misteri disebalik pembunuhan Altantuya. Mengapa ratusan juta dibayar kepada PERIMEKAR sebagai komisyen. Segala persoalan mengenai skandal Pembelian Kapal Selam Scorpene ini akan terjawab di Jelajah “Le Tour De Scorpene” Zon Selatan, Ahad, 4 November 2012, 9 malam di Jalan Betik 1, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor.

Ceramah Perdana Jelajah “Le Tour De Scorpene” Zon Selatan turut menampilkan Yang Berbahagia Saudara Chua Jui Meng, Pengerusi PKR Negeri Johor, Saudara Che’gu Bard, Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama-sama dengan tiga tokoh politik anak muda yang sedang meningkat naik di Johor iaitu Saudara Suhaizan Kayat ( Ketua Dewan Pemuda PAS Johor), Saudara Tan Hong Pin ( Ketua Pemuda DAP Johor) dan Saudara Nor Hizwan Ahmad ( Penyelaras Parlimen PKR Muar) yang akan bergandingan sepentas dengan barisan Peguam Pasukan Scorpene SUARAM bagi membongkar misteri di sebalik pembelian Kapal Selam Scorpene.

Semua rakyat yang cintakan tanah air dijemput hadir.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Johor

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails