BREAKING NEWS

‘Wang Ehsan’ Bukti Umno 'Kencing' Rakyat



KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan penggunaan istilah ‘wang ehsan’ adalah menggambarkan sikap yang tidak bertanggungjawab Umno.

Malah apabila istilah wang ehsan digunakan maka mereka yang menerima wang tersebut boleh berbelanja mengikut kehendak serta boleh disalahguna.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, selain ia boleh disalahgunakan, wang tersebut juga tidak boleh diaudit oleh sesiapa.

"Istilah wang ehsan telah direka ciptakan oleh Umno apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS sebelum ini dan bagi saya penggunaan istilah ini adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab.

"Kita tahu wang ehsan boleh dibelanjakan sesuka hati dan tidak boleh diaudit oleh sesiapa sahaja, malah bila keadaan ini wang tersebut senang disalahgunakan oleh mereka yang menerimannya," katanya di lobi parlimen.

Salahuddin juga berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengikuti apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian Petronas sebelum ini dengan menggugurkan istilah wang ehsan kepada royalti.

"Najib perlu kembali kepada landasan yang sebenar, apabila istilah wang royalti digunakan maka setiap wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri.

"Ini akan meletakkan satu sikap kebertanggungjawaban terhadap sumber tersebut terutamanya dalam soal perbelanjaan, kita mahu apabila segala wang yang disalurkan dibelanjakan dengan betul bukannya disalahgunakan," sambung beliau lagi.

Beliau yang sebelum itu merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri berhubung penemuan baru minyak di pengairan Negeri Pahang, yang mana Najib menyatakan Pahang berkemugkinan akan mendapat RM100 juta setahun wang ehsan dari sumber tersebut.

"Saya menyeru rakyat Pahang mengambil peluang dalam soal ini kerana apabila Pakatan Rakyat memerintah, Pahang akan mendapat lebih dari yang dijanjikan oleh Najib kerana Pakatan menetapkan 20 peratus untuk bayaran royalti.

"Selain itu juga istilah wang ehsan tidak akan digunakan dan ini bagi memastikan tidak ada penyelewengan berlaku apabila wang tersebut disalurkan kepada kerajaan negeri," kata beliau lagi.

Oleh Muhammad Faizal

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails