Tahniah Di atas Kejayaan BERSIH 3.0
Posted by Unknown on 11:23 AM in Abim Bersih 3.0 | Comments : 0
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengucapkan tahniah di atas kejayaan rakyat Malaysia menganjurkan perhimpunan Berrsih 3.0 semalam.
Menilai kepada jumlah kehadiran orang di samping rangkaian protes serupa yang dianjurkan di seluruh dunia, Abim beranggapan ia memberikan isyarat jelas bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa yang mahukan sistem pilihanraya yang telus serta tidak diragui integritinya diamalkan di negara yang tercinta ini.
Demikian kata Amidi Abdul Manan, Presiden Abim dalam satu kenyataannya selepas perhimpunan Bersih 3.0 semalam.
Dalam hal ini, katanya, Abim mengimbau semula pelbagai rungutan serta kekhuatiran yang diutarakan oleh rakyat berhubung dengan isu ini, seperti kewujudan nama pengundi yang meragukan (pengundi hantu), integriti saluran undi POS, akses saksama kepada media untuk semua parti politik, dan integriti serta kedudukan institusi-institusi awam selaku badan yang bebas dari pengaruh partisan mana-mana kelompok politik di samping amalan politik kotor dan rasuah yang sering diperkatakan di peringkat akar umbi.
"Semoga penganjuran perhimpunan aman ini akan menggerakkan perubahan drastic serta agresif dan komprehensif terhadap tatacara pengendalian pilihanraya yang telus serta tidak diragui integritinya.
"Sesungguhnya penglibatan serta pandangan yang dikemukakan oleh rakyat adalah bukti kematangan masyarakat sivil wujud di negara ini, dan sekaligus merupakan bench mark utama terhadap kualiti sumber daya insan yang ada di negara ini," kata beliau dalam kenyataannya.
Menurut beliau, dari konteks umat Islam selaku teras peneraju politik di negara ini, Islam menganjurkan integriti serta ketelusan merupakan esensi penting yang ditekankan dalam kehidupan seseorang Muslim.
"Islam menganjurkan setiap amalan serta pekerjaan dilaksanakan dengan jujur serta ikhlas untuk imbalan berbentuk keberkatan serta keredhaan dari Allah s.w.t.
"Keberkatan serta keredhaan dari Allah s.w.t hanya boleh dicapai seandainya teras utama ajaran Islam yang menganjurkan amanah, keikhlasan serta kejujuran diamalkan di pelbagai peringkat," tegas beliau.
Bagi beliau, kemuafakatan atau konsensus dalam Islam boleh dirangka melalui kepelbagaian pandangan dan pendapat yang diuruskan dengan hikmah serta harmoni.
Pengendalian pilihanraya yang telus serta tidak diragui integriti tatacara penganjurannya merupakan esensi penting untuk mendapatkan permuafakatan serta konsensus secara berkat serta diredhai Allah yang akan meresap jauh dalam denyut nadi serta amalan rakyat. Natijahnya, pembentukan Negara Barakah yang merangkumi esensi keberkatan dan keredhaan illahi dapat direalisasikan.
"Di akhir kalam ini, Abim ingin merakamkan ucapan tahniah atas partisipasi rakyat Malaysia dalam perhimpunan aman Bersih 3.0 ini," katanya.
KOTA BHARU, 28 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengucapkan tahniah kepada rakyat yang telah berjaya menyertai Bersih 3.0 'Duduk Bantah' berhampiran Dataran Merdeka hari ini.
Katanya, rakyat di negara ini hadir ke ibu negara untuk menyatakan sokongan tuntutan Bersih 3.0 memandangkan Bersih 1 kerajaan diam dan membisu, manakala Bersih 2.0 kerajaan buat ‘pekak badak’.
Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa terharu terhadap rakyat Malaysia yang berada di hampir seluruh dunia seperti Melbourne, Makkah, Madinah, Mesir turut menganjurkan bersih di tempat masing-masing.
“Tuntutan ini jelas membuktikan rakyat tidak ingin lagi berada di bawah pentadbiran kerajaan yang tidak adil khususnya dalam ketelusan pilihan raya yang bersih dan adil.
“Rakyat Malaysia telah cerdik, pandai dan terdiri dari golongan intelek, jadi kerajaan tidak boleh lagi berterusan melakukan ketidakadilan dalam SPR, apa lagi untuk berterusan memenangkan kerajaan Umno dan BN,” ujarnya.
Tuan Guru juga turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia pelbagai bangsa di negara ini turut berhimpun untuk menjayakan Bersih 3.0.
Katanya, mereka hadir beramai-ramai bukan atas bangsa, sebaliknya kerana inginkan kebenaran dan keadilan tertegak di negara ini.
Beliau berkata demikian ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi sebagai mengulas perkembangan tuntutan Bersih 3.0 yang ternyata telah berjaya.
Beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesal di atas tindakan kerajaan yang ‘mengasari’ peserta himpunan disembur dengan air berasid dan gas pemedih mata sehingga ada peserta yang mengalami sesak nafas.
Katanya, sekiranya Tunku Abdul Rahman Putera Al-haj masih hidup, sudah tentu allahyarham akan menyokong tuntutan Bersih kerana menyedari ketidakadilan banyak berlaku dalam SPR.
“Lagipun sebelum ini allahyarham turut menyokong perjuangan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), kerana menyedari perjuangan Umno kini sudah menyimpang dari perjuangan sebenar,” ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment