BREAKING NEWS

Persaingan sengit di PRK Sibu

ANALISIS, 15 Mei — Berdasarkan pengalaman masa lalu Perdana Menteri jarang turun berkempen dalam pilihan raya kecil masa-masa lalu. Bagaimanapun kelainan dapat dilihat ketika di Hulu Selangor bulan lalu.
Separuh kedua tempoh berkempen menyaksikan Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri turun hampir setiap hari.
Suasana hampir sama disaksikan di Sibu. Najib tiba untuk berkempan di Pahlawan Rajang dan kemudian di Capetown Sibu malam ini sebelum kembali ke ibu negara.
Wartawan The Malaysian Insider, Adib Zalkapli melaporkan kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat melihat persaingan kali ini sebagai sesuatu yang amat sengit untuk dihadapi.
Kempen rasmi akan berakhir 12 tengah malam ini.
Najib ketika menghadiri festival Tua Peh Kong di Sibu baru-baru ini.
 
 
Penasihat DAP Lim Kit Siang berpendapat BN masih berada di depan dengan menjangkakan akan memenangi persaingan dengan memiliki kelebihan antara 49 hingga 50 peratus. “Bagaimanapun menjelang hari pengundian, kami berharap dapat mencapai peluang 50-50,” kata Lim yang juga anggota Dewan Rakyat.
Lim berkata, DAP memerlukan 80 peratus sokongan pengundi Cina untuk menang kali ini.
Malah menurut Lim, DAP juga memerlukan peningkatan 10 peratus sokongan kalangan pengundi Iban dan Melayu/Melanau.
Dalam pilihan raya umum 2008, DAP hanya memperoleh 30 peratus undi masyarakat Iban dan 20 peratus daripada pengundi Melayu/Melanau, tetapi memperoleh lebih 60 peratus sokongan pengundi Cina.
Semalam, DAP mengalih tumpuan kempen dengan memfokus ke atas kawasan-kawasan Iban. Ia menghantar pemimpin-pemimpin berprofil tinggi untuk mendapatkan sokongan minit-minit terakhir.
Antara lain mereka meninjau sokongan di kawasan rumah panjang yang lazimnya dilihat sebagai kubu kuat BN.
Laporan Bernama menyebut kawasan Parlimen Sibu mempunyai 110 rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri Bawang Assan dan 29 di kerusi Dewan Undangan Negeri Nangka. Bagaimanapun, kawasan Dewan Undangan Negeri Pelawan, yang turut terletak dalam Sibu, tidak mempunyai sebarang rumah panjang dan majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Cina.
Secara tradisi, rumah panjang merupakan kubu BN, tetapi kebelakangan ini, orang kuat DAP dan PKR seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkunjung ke beberapa buah daripadanya.
Sebanyak 12,050 anggota masyarakat Iban yang merupakan pemilih berdaftar di Sibu dianggap sebagai “simpanan tetap” BN dalam setiap pilihan raya.
Ini terbukti apabila tidak banyak rumah panjang yang dihiasi dengan bendera atau lambang DAP, tetapi semuanya memasang bendera BN dan poster calon parti gabungan itu.
Pengundi Iban
Bagaimanapun, pembangkang tetap cuba memancing pengundi Iban di kawasan itu dengan memainkan isu berkaitan tanah Hak Adat Pribumi (NCR).
“Menukar kerajaan adalah sesuatu yang agak keterlaluan bagi kami,” kata bekas angota Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Johnny Weis Engkamat, 60, yang juga anak jati Bawang Assan.
Beliau berkata secara umumnya, rakyat masih mahu kerajaan sedia ada terus berkuasa kerana ia telah menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan masyarakat.
Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) William Mawan berkata langkah menimbulkan isu NCR kini tidak lagi dapat memancing sokongan pengundi.
“Kami tahu kerajaan persekutuan sedang mengambil langkah bagi menyelesaikan isu ini. Ia telah menjadikan program pembangunan tanah NCR sebagai sebahagian daripada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Sarawak,” katanya.
Tinjauan The Malaysian Insider menunjukkan DAP menerima suntikan dengan kembalinya Guan Eng, yang merupakan daya tarikan utama di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina di kawasan bandar atas kapasiti beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
Pada setiap persinggahan Lim kelihatan menerima sokongan daripada hadirin apabila beliau mengkritik rakan sejawatannya dari Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Kempen Pakatan Rakyat yang menurunkan wakil DAP juga melihat kehadiran Anwar buat kali kedua menjelang hari pengundian esok. Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, menyampaikan ceramahnya di empat lokasi malam tadi.
Malam ini, Anwar akan menyertai pemimpin-pemimpin DAP yang lain dalam perhimpunan umum terbesar sebelum mengakhiri kempen 12 tengah malam.
Dalam pada itu, parti komponen kedua terbesar dalam BN Sarawak, SUPP terus bertungkus-lumus untuk memenangi pengundi Cina.
Pemimpin-pemimpin SUPP menganggarkan parti itu hanya memperoleh sekitar 40 peratus undi kalangan masyarakat Cina pada pilihan raya umum 2008 meskipun menang kerusi Sibu.
Pengundi Cina terdiri daripada 67 peratus daripda 54,695 pengundi manakala Melayu/Melanau pula 10.5 peratus dan Bumiputera Sarawak pula 22 peratus.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) bersama Lim Kit Siang (kiri) dan Karpal Singh di Sibu.
Dalam kempen terakhir mereka, SUPP menggunakan kerjasama DAP dengan PAS sebagai isu untuk menarik sokongan pengundi-pengundi Cina dengan mendakwa kedua-dua pari itu menyokong negara Islam, dalam usaha menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka. BN juga ada menaikkan papan-papan iklan kempen dengan merayu komuniti Cina menyokong perikatan itu atas alasan menjadi harapan mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew agar ia memperoleh sokongan majoriti masyarakat Cina.
Malah, iklan itu juga membawa wajah sepupu Hoi Chew yang juga calon BN, Robert Lau Hui Yew dengan mesej dalam usaha mendapatkan sokongan dengan menyebut bahawa kekecewaan besar bekas wakil rakyat lima penggal itu ialah tidak memperoleh sokongan besar pengundi Cina.
Pengundi-pengundi Cina juga diminta menyokong Hui Yew yang berhadapan dengan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng untuk meneruskan wawasan Hoi Chew, bekas timbalan menteri pengangkutan bagi masyarakat Cina di Sibu.
Seorang pemimpin BN tempatan mengakui, SUPP sekali lagi akan menang di Sibu dengan sokongan pengundi Iban dan Melayu/Melanau.
“Pertemuan ini masih satu persaingan sengit tetapi peluang untuk mengekalkan sokongan pengundi Melayu dan Iban masih tinggi,” kata pemimpin BN itu.
The Malaysian Insider difahamkan BN hanya memberi fokus untuk mengekalkan sokongan yang ia terima dua tahun lalu bagi mempertahankan kerusi ini.
Kemenangan esok dilihat petunjuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan diadakan dalam waktu terdekat manakala Pakatan Rakyat semakin kemerosotan kerusi Parlimen. Semalam, PKR kehilangan satu lagi kerusi Dewan Rakyat ekoran tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju keluar parti.-themalaysianinsider

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails