BANGKOK, 15 Mei — Keadaan keselamatan di Bangkok amat tegang dengan 10 orang terbunuh manakala 125 yang lain termasuk tiga wartawan cedera ketika keganasan berterusan sepanjang semalam.
Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan antikerajaan tercetus di beberapa kawasan di ibu negara Thailand dan berlarutan hingga lewat malam.Pertempuran kembali memuncak selepas pemimpin tentera de facto kumpulan Baju Merah cedera ditembak dan berada dalam keadaan kritikal, kata laporan Reuters.
Laporan Bernama pula menyebut, menurut jurucakap Pusat Perubatan Darurat Erawan (EEMC) di sini, kesemua mereka yang terkorban dan cedera adalah orang tempatan kecuali Nelson Rang, wartawan Kanada yang bertugas dengan TV 24 Perancis.
Yang maut dikenali sebagai Intaeny Teswong, 33; Sanea Nillueng; Piyaponp Kitiwonp; dan Prachuab Sirapant.
Mereka mati akibat terkena tembakan senapang.
Lebih banyak letupan bom dan tembakan kedengaran dari masa ke masa semalam berbanding kelmarin.
Penunjuk perasaan antikerajaan kemeja merah enggan bersurai dari satu kawasan pusat bandar seluas tiga kilometer persegi yang mereka duduki sementara kerajaan berikrar akan meneruskan operasi tentera di kawasan itu dalam usaha untuk mengurangkan bilangan penunjuk perasaan.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri Sathit Wongnongtoey berkata malam tadi cara terbaik menyelesaikan masalah ialah menghentikan tunjuk perasaan.
“Kami akan terus berjuang untuk demokrasi dan untuk empat rakan kami yang telah terkorban setakat ini,” kata Natthawut Saikua, ketua kumpulan kemeja merah.
Penunjuk perasaan itu telah membakar sebuah bas awam, dan memusnahkan dua trak meriam air tentera.
Bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dalam satu kenyataan merayu agar dicari penyelesaian damai terhadap pertikaian berkenaan.
Penunjuk perasaan itu mendesak kerajaan membubarkan Parlimen.
Kumpulan baju merah memulakan bantahan mereka di jalan raya pada 12 Mac lalu bagi mendesak kerajaan membubarkan Parlimen.
Mereka menguasai pusat bandar raya ini sejak sebulan lepas dan menyebabkan kompleks beli-belah, hotel bertaraf lima bintang dan pejabat kerajaan yang berada dalam lingkungan tiga km persegi, terpaksa ditutup.
Tunjuk perasaan itu menyebabkan 27 orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera.
Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva telah menawarkan pelan tindakan bagi mewujudkan perdamaian kebangsaan, termasuk mengadakan pilihan raya umum pada 14 November.
Pada mulanya, para pemimpin kumpulan baju merah menerima pelan perdamaian itu, tetapi mengubah pendirian untuk menentang rancangan itu dan meminta Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan Suthep Thaugsuban, supaya menyerah diri kepada polis bagi menghadapi tuduhan berkaitan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa yang meragut 25 nyawa.
Para pemimpin UDD tidak berpuas hati apabila Suthep hanya menyerah diri kepada polis tetapi tidak melaporkan diri kepada pihak berkuasa sebagai suspek dan dikenakan tuduhan.-themalaysianinsider
Post a Comment