BREAKING NEWS

BIAR BETUL!! Biadapnya Pemuda DAP

KENYATAAN AKHBAR

ZULKIFLI BIN NOORDIN

Khamis 15 Sya'ban 1430 / 06 Ogos 2009

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Kebangsaan Parti DAPSY YB Loke Siew Fook, merangkap Ahli Parlimen Rasah yang disiarkan dilaman blog http://sjsandteam.wordpress.com yang mengutuk keras Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Pengerusi Malaysian Chinese Muslim Associattion (MACMA) mengenai isu anak luar nikah mendiang Teoh Beng Hock.

Disaat umat Islam menyambut hari mulia Nisfu Sya'ban, Ketua Pemuda DAP ini memilih untuk berkonfrontasi dan menyerang seorang tokoh pendakwah Islam. Dr. Mohd. Ridhuan Tee dalam tulisannya mempertikaikan langkah menghalalkan "anak luar nikah" yang didakwa kepunyaan mendiang Teoh Beng Hock dengan tunangnya.

Saya tidak pasti apakah menjadi dasar DAP menghalalkan perhubungan luar nikah dan "menghalalkan" anak luar nikah. Kita memang bersimpati dengan nasib yang menimpa mendiang Teoh, malahan ahli PAS dan juga PKR yang beragama Islam antara kumpulan yang banyak terlibat dalam demo atau bantahan terhadap kematian mendiang Teoh. Saya sendiri antara Ahli Parlimen beragama Islam yang paling awal yang mendesak supaya siasatan segera dibuat atas kematian mendiang Teoh. Malahan Naib Presiden PAS YB Dato' Seri Nizar sehingga sanggup bersama menyalakan lilin dalam "candlelite vigil" memperingati mendiang Teoh.

Tetapi isu menghalalkan anak luar nikah adalah satu isu lain. Ramai dikalangan masyarakat Cina yang ditemui menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan itu, kerana seolah-olah memberi gambaran masyarakat Cina yang ramainya penganut agama Buddha dan Kristian meredhai perbuatan mengadakan seks dan mengandung sebelum berkahwin.

Pemuda DAP sepatutnya tidak bertindak menurut emosi dan kelabu dengan isu dihadapan kita. Dalam isu kematian mendiang Teoh, kita semua bersetuju satu siasatan telus dan adil perlu dibuat untuk mencari sebab-musabab kematiannya. Malahan satu inkues perundangan sudah pun dimulakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, dengan Suruhanjaya DiRaja akan ditubuhkan sebaik sahaja inkues tersebut selesai dijalankan. Tetapi dalam isu beliau menjalin hubungan seks sebelum berkahwin dan mengandungkan tunangnya, itu satu isu yang lain.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berhak untuk menyatakan pendapatnya. Beliau adalah seorang berbangsa Cina, sudah tentu beliau juga tahu adat resam dan budaya masyarakat Cina.

Apakah Pemuda DAP tidak boleh menerima perbezaan pendapat? Apakah kita semua mesti sentiasa menari gendang yang dipalu oleh DAP? Sesiapa yang tidak bersetuju dengan DAP menjadi musuh yang mesti dikutuk dan diserang?

Apa yang kesal laman tersebut menyiarkan komen yang menggunakan bahasa kesat, cabul, mencarut dan biadap terhadap Dr. Mohd. Ridhuan. Apa yang lebih biadap dan kurang ajar ialah mereka juga menyerang agama Islam, bangsa Melayu dan mereka yang convert atau memeluk agama Islam. (Untuk membaca lebih terperinci sila layari laman web tersebut). Berikut adalah contoh bahasa yang diguna saperti:

"Who is this bastard of a Mohd. Ridhuan"

(siapa anak haram Mohd. Ridhuan ini);

"What sort of fucking Dr. r u"

(Dr pu... apa awak ni);

"Has everything be reduced to your fucking religion (iaitu Islam)"
(Apakah semua mesti menurut agama (iaitu Islam) pu... awak itu);

"R your parents still alive mohd ? If they r not, their bones must be rattling in their graves,if they r they must be hiding in shame to know that a son they brought into the world is now considered a bastard by every non muslim n also by real muslims"

(Apakah ibubapa kamu masih hidup Muhammad? Kalau sudah mati, sudah tentu tulang mereka berantakan didalam kubor, kalau masih hidup, tentu mereka bersembunyi dengan penuh malu yang anak lelaki yang mereka lahirkan dianggap anak haram oleh setiap bukan Islam dan Muslim);

"They would b happier now if they had flushed u down the toilet when u were born".

(Sudah tentu mereka (iaitu ibubapa Dr. Ridhuan) akan bergembira kini jika mereka mengepam awak (Dr. Ridhuan) kedalam lubang tandas semasa dilahirkan);

"U have tainted your family with your stupidity for monetary gain. Your conversion was not through conviction, it was with an ulterior motive".

(Awak telah mencemar nama keluarga awak kerana kebodohan mendapatkan habuan duniawi. Kemasukan awak kepada Islam bukan kerana keyakinan, tetapi kerana niat tidak baik);

"As for your children they won’t be carrying your name. They will be ahmad bin abdullah or something akin to that. 2 generations down they will be saying “I don’t know who the fuck my grandfather is. He was an arsehole who brought shame to the family”. They will be like bastards who can’t trace a family history".

(Bagi anak-anak awak pula, mereka tidak akan mewarisi nama awak. Mereka akan menjadi ahmad bin abdullah atau yang sewaktu dengannya. Dua generasi lepas itu mereka akan berkata, "saya tidak tahu siapa pu... datuk saya. Beliau adalah pu... yang telah memalukan keluarga". Mereka akan menjadi saperti anak haram yang tidak dapat mengesan salasilah keluarga mereka).


"If u can be the president of the chinese muslim association I shudder to think what the other chinese muslims r like………? Thieves, robbers, criminals or some other unsavoury characters".

(Kalau awak (Dr. Ridhuan) boleh menjadi presiden Persatuan Muslim Cina, saya tidak tahu apa jenis cina muslim yang ada......?Pencuri, perompak, penjenayah atau penyangak).

Adalah jelas laman web yang menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda Kebangsaan DAPSY ini bertindak melampau, kurang ajar, biadap dan keterlaluan. Penyiaran yang dibuat:

1. menyerang peribadi seorang pendakwah Cina beragama Islam yang sangat dihormati iaitu Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dengan menggunakan bahasa lucah, kesat, biadap dan melampau;

2. menghina agama Islam dengan bahasa kesat, lucah, biadap dan melampau;

3. menghina ibu bapa, keluarga dan anak-anak Dr. Mohd. Ridhuan Tee dengan bahasa kesat, lucah, biadap dan melampau;

4. menghina agama Islam dan mereka yang memilihIslam seolah-olah keturunan semua mereka yang memeluk Islam saperti anak haram yang tidak mengenal salasilah dan keturunan keluarganya;

5. menghina kaum Cina yang memilih memeluk Islam sebagai pencuri, penjenayah, perompak dan penyangak.

Saya mengutuk dengan kutukan yang paling keras dan dengan bahasa yang paling tegas terhadap laman web tersebut. Apakah mereka berasa saperti cengkadak naik ke junjong; sudah tidak mengerti adab susila dan kesopanan ketimuran? Apakah mereka merasakan mereka golongan yang hebat dan "untouchables", sehingga orang lain tidak boleh berbeza pendapat dengan mereka.

Tindakan laman web tersebut sudah pasti akan menimbulkan kemarahan umat Islam dan akan mencetuskan ketegangan agama.

Saya dengan ini mendesak:

1. Ketua Pemuda DAPSY YB Loke Siew Foke dan Pemuda DAP meminta maaf kepada Dr. Mohd. Ridhuan Tee khususnya dan umat Islam umumnya;

2. pengendali laman web www.sjsandteam.wordpress hendaklah meminta maaf secara terbuka kepada Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah khususnya dan umat Islam umumnya;

3. penulisan dan komen bertajuk"Ridhuan Tee must apologize to Teoh Beng Hock's family" hendaklah ditarik balik;

4. Pihak polis hendaklah menyiasat segera kenyataan tersebut serta pengendali web berkenaan menurut peruntukkan undang-undang sedia ada saperti Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Kesiksaan;

5. Jika didapati ada kes, pihak Peguam Negara hendaklah dengan segera mengenakan pendakwaan jenayah terhadap mereka yang berkaitan;

6. Suruhanjaya Multimedia dan pihak berkuasa yang berkaitan hendaklah membatalkan laman web tersebut;

Sekian wassalam.

ZULKIFLI BIN NOORDIN

Khamis

15 Sya'ban 1430 / 06 Ogos 2009

Nasib Melayu di bumi Melayu
Oleh : Dr. Mohd Ridhuan Tee

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.

Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?

Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?

Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.

Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.

Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?

Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.

Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.

Logik

Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?

Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.

Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.

Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.

Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.

Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

06 August 2009

1 comment :

  1. aku sedang mencari perkara sebenar

    http://edyesdotcom.blogspot.com/2009/08/kenyataan-loke-siew-fook.html

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails