BREAKING NEWS

Kenapa Najib Terlalu Takut Rakyat Akan Menukar Kerajaan ??




 
Dalam sebuah majlis penyerahan geran hak milik tanah di Kuantan pada Khamis, 10 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat agar tidak bertindak sewenang-wenangnya menukar kerajaan yang ada pada hari ini.

Ini kerana, katanya, kerajaan yang ada pada hari ini telah terbukti mampu melaksanakan perubahan dan pembangunan yang dikehendaki oleh rakyat.

"Sebab kalau kita nak tukar,  boleh jadi apa yang kita harapkan itu tidak boleh ditunaikan, bukan nak tukar semata-mata kerana nak tukar tapi mesti tahu apa kesudahannya," kata beliau dalam ucapannya.

Apa yang diperkatakan Perdana Menteri itu tiada apa yang peliknya jika beliau berucap ketika kempen pilihanraya sedang berjalan atau ketika dekat tarikh pilihanraya diadakan. Memang difahami ianya sebahagian daripada bentuk kempen pilihanraya tetapi ketika ini bukan musim pilihanraya dan pilihanraya akan datang pula masih lambat lagi.

Kita baru saja mengadakan pilihanraya umum ke 13 pada 5 Mei lalu dengan BN memenangi 133 kerusi manakala PR memenangi 89 kerusi. Begitu pun dari segi undi popular, BN hanya meraih 47 peratus berbanding PR sebanyak 51 peratus.

Kenapa tiba-tiba beliau bercakap tentang pertukaran kerajaan sedangkan pilihanraya umum lalu tidak sampai setahun pun baru berlalu?

Pilihanraya umum yang seterusnya iaitu PRU 14 pula akan diadakan kira-kira empat tahun lagi dengan tempoh hayatnya hingga 2018?

Kenapa begitu awal Perdana Menteri mengingatkan rakyat tentang pertukaran kerajaan? Adakah ini menandakan beliau mengakui kerajaan pimpinannya sekarang makin lemah dan ditolak rakyat?

Sebenarnya itulah antara persoalan yang bermain dibenak rakyat apabila membaca kenyataan Perdana Menteri itu. Di media sosial juga ramai yang melontarkan kehairanan yang sama dengan sesetengahnya beranggapan seolah-olah dengan pelbagai isu yang gagal ditangani seperti berkaitan politik, rasuah, kenaikan harga barang, kehilangan pesawat MH370 dan pelbagai lagi, sudah mulai menghenyak prestasi kerajaan ke tahap paling bahaya ketika ini.

Apakah juga ini menandakan berdasarkan pelbagai maklumat risikan yang diterimanya, Perdana Menteri sudah tahu mengenai kemungkinan BN akan kalah nanti, lalu cuba memberi ingatan awal kepada rakyat?

Berdasarkan keputusan pilihanraya lalu jelas menampakkan keinginan rakyat untuk berubah. Selain UMNO dan BN hanya menang di kawasan kampung, luar bandar dan Felda, PR pula menonjol di kawasan bandar, separa bandar dan generasi muda dan keadaannya berterusan sehingga kini.

Menjelang PRU 14 nanti, bukan saja pengundi bandar dan separa bandar makin membesar berikutan berlakunya penghijrahan dan pembangunan, jumlah pengundi muda juga meningkat daripada 3 juta dalam pilihanraya lalu kepada lebih 5 juta dalam pilihanraya akan datang.

Dalam masa yang sama, pengundi kampung, luar bandar dan Felda pula makin berkurangan kerana keuzuran serta kematian. Berlaku juga penghijrahan generasi muda kampung atau yang baru berkahwin dan mendapat kerja ke kawasan bandar dan separa bandar berdekatan kampung kelahiran mereka. Di tambah dengan kadar penembusan internet yang kian meningkat, undi BN jelas makin berkurangan.

Apakah semua ini sebenarnya makin membimbangkan Datuk Seri Najib?

Jika benar beliau bimbang dengan pertukaran kerajaan, Datuk Seri Najib tidak seharusnya sekadar mengingatkan rakyat agar jangan menukar kerajaan saja. Beliau dan kerajaan haruslah memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat dengan mengutamakan amalan pentadbiran yang cekap, amanah, ikhlas, tidak boros, tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, jangan menekan kehidupan rakyat dengan pelbagai kenaikan dan menambahkan beban sara hidup mereka serta pelbagai lagi.

Apa yang rakyat lihat ketika ini ialah ialah seolah-olah tiada keinsafan daripada pimpinan kerajaan walaupun keputusan pilihanraya makin merudum sejak 2008. Gaya hidup elit, bermewah, boros, memperlekeh rakyat dengan hujah remeh dan menyakitkan hati, nampaknya masih tidak berubah. Sepertinya daripada kemenangan 140 kerusi pada 2008, kemudian merosot lagi kepada 133 pada 2013 tidak memberi apa-apa pengajaran kepada BN dan pimpinannya dari segi mengubah gaya hidup dan menampilkan kualiti kepimpinan yang meyakinkan.

Memang ketika ini, terlihat rakyat inginkan perubahan. Iltizam mereka makin tinggi ke arah itu kerana percaya hanya dengan perubahan kerajaan saja mampu menampilkan kualiti kerajaan dan pemimpin yang lebih baik dan benar-benar membela rakyat.

Walaupun agak awal Perdana Menteri cuba mengingatkan agar jangan menukar kerajaan, ia hanya umpama "mencurah air ke dalam keladi" jika tidak disertai dengan perubahan dan perbezaan yang benar-benar dapat dirasai rakyat terbanyak.

Jika sekadar melaungkan perubahan tetapi terus juga dengan pembaziran, pemborosan, rasuah di sana-sini,  pemimpin berbelanja mewah dan mengutamakan diri sendiri, pertukaran kerajaan tetap merupakan jawapan terbaik bagi rakyat.

Bahkan tidak mustahil makin diingatkan agar jangan menukar kerajaan, lagi tinggi iltizam rakyat ke arah itu.

Oleh Shahbudin Husin

1 comment :

  1. kuasa adalah menutup salahlaku dan kejahatan..maka mana-mana pemerintah yang banyak dosa akan berusaha untuk kekal berkuasa dengan apa cara sekalipun bagi mengelak daripada kesalahan dan dosa diketahui dan dibongkar...ini telah berlaku dari semasa kesemasa dalam sejarah dunia....bagi pemimpin UMNO ini adalah perkara utama perlu dilakukan kerana itu bagi UMNO fitnah, kezaliman dan kejahatan adalah perkara biasa dan mereka tidak teragakagak melakukannya.....

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails