BREAKING NEWS

Insiden Penculikan Di Sabah Berulang Lagi! Mampukah Esscom Menjaga Keamanan?



Satu lagi episod tebusan berlaku di Semporna – kawasan yang seharusnya selamat kerana diawasi Esscom, penguatkuasa keselamatan timur Sabah.

Menurut laporan, lima ke enam lelaki bersenjata datang pada sebelah malam di Singamata Reef Resort Semporna, Sabah pada 2 April dan menawan dua wanita – seorang pelancong dari China dikenali sebagai Gao Huayun dari Shanghai dan seorang pekerja resort berbangsa Filipina.

Lima puluh anggota keselamatan Malaysia termasuk polis dan tentera tiba di resort dalam tempoh beberapa minit bagi mengawal tempat kejadian, selepas episod berkenaan tamat.

Dilaporkan bahawa terdapat 61 pengunjung di resort berkenaan terdiri dari 59 warga China, yang bertindak meninggalkan tempat itu selepas kejadian.




Foto yang diedarkan menggambarkan pelancong mencangkung di lantai ruang makan dan anggota keselamatan bersenjata dengan pakaian kalis peluru mengawal perimeter selepas pengganas meninggalkan tempat kejadian.

Ini merupakan saat yang sukar bagi Malaysia, yang masih dihantui kemarahan warga China berikutan kehilangan 153 warganya yang menjadi penumpang pesawat MH370.

Tahun ini sepatutnya dikenali sebagai tahun persahabatan Malaysia-China. Namun, berdasarkan senario sekarang, ia bakal berdepan cabaran hebat.

Tidak syak lagi pelancong China yang mengunjungi resort berkenaan bakal berfikir berjuta kali sebelum menjejakkan kaki mereka ke Malaysia.

Insiden 2 April ini merupakan satu lagi peristiwa yang berlaku di Semporna. Pada November tahun lalu, pemberontak Sulu menembak pelancong Taiwan dan menawan rakannya di pulau Pom-Pom. Wanita tersebut kemudian diselamatkan anggota keselamatan Filipina di kepulauan Sulu.

Persoalannya, apa yang dilakukan Esscom yang ditubuhkan pada awal 2013.

Selepas episod di Pom-Pom, menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertahankan peranan Esscom yang terus ditempelak.

Beliau berkata, “Esscom menangani ancaman yang lebih besar, seperti pencerobohan Lahad Datu. Keselamatan pulau Pom-Pom berada di tangan pihak polis”.

Kejadian di Pom-Pom tidak bermakna Esscom lemah kerana kejadian itu dianggap terasing, kata Hishamuddin.

Jadi bagaimana? Ia kini berlaku lagi dan mungkin akan berulang, sekiranya tiada langkah konkrit diambil.

Esscom merupakan pasukan keselamatan yang menjaga kawasan seluas 1,400 km di pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau. Ia ditubuhkan bagi mengukuhkan keselamatan selepas pencerobohan Lahad Datu oleh kumpulan pengganas di perairan Sabah.

Ia merupakan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Polis dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

Esscom tampak hebat di atas kertas tetapi sebenarnya tidak mampu membendung kehadiran pengganas yang hadir ke pantai Sabah bagi mencari wang tebusan.

Di mana komando dengan mesingan ketika sekumpulan lelaki sampai dengan bot mereka? Mereka sedang tidurkah?

Nyata sekali, objektif Esscom tidak akan tercapai akibat kelemahannya. Kerajaan perlu memberikan jawapan kepada rakyat.

Tragedi dan jenayah memang akan terjadi. Tetapi bagaimana kita menanganinya. Tidakkah kita belajar daripada pengalaman lampau?

Kita berharap agar ada penyelesaian konkrit bagi masalah ini. Jangan hanya alasan sahaja yang diberi.

Oleh V Shuman

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails