BREAKING NEWS

Umno Menjadi Pencetus 'Politik Samseng' Sejak PRU 2008




SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berpendapat politik negara ini dilihat menjurus ke arah ketegangan kaum dan agama kerana terdapat cubaan berbuat demikian sejak selepas Pilihan Raya Umum 2008.

“Ini saya kata akibat daripada parti politik yang tidak bersedia menerima kekalahan di PRU lepas (2008), maka dicetus beberapa isu yang dilihat tidak demokratik,” katanya.

Mahfuz turut melahirkan kebimbangan bahawa keganasan dilakukan sesetengah pihak boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

“Sebenarnya majoriti rakyat menolak budaya keganasan seperti ini, seperti serangan samseng di beberapa tempat di ceramah dianjur Pakatan Rakyat (PR).

“Rakyat kini sudah bijak dan tidak terperangkap keganasan politik moden ini,” katanya.

Mahfuz turut menyelar serangan politik secara peribadi yang dilihat boleh mengkucar-kacirkan keluarga seseorang pemimpin terbabit.

“Ini sangat buruk kerana serangan peribadi seperti isu salah laku seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudian dikaitkan pula dengan Azmin Ali boleh merosakkan rumah tangga pemimpin itu.

“Semua ini adalah perkembangan politik yang tidak sihat, malah Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal juga turut terkena serangan seperti ini. Sepatutnya kita kembali kepada asas politik demokrasi dan mengangkat keintelektualan dalam berpolitik,” katanya.

Mahfuz juga berharap blogger pro-Umno supaya menghentikan serangan politik seperti itu di internet.

“Saya harap mereka (blogger) berhenti berpolitik seperti ini, apatah lagi pendekatan itu bersifat fitnah dengan mengambil kesempatan atas kelebihan teknologi kini.

“Rakyat kena tolak kerana ini (serangan di internet) merbahaya dan bila keadaan ini seolah-olah diizinkan, maka akan lahirlah ketidakadilan dalam negara ini,” katanya.

Mahfuz tidak dapat meramalkan apakah situasi politik kotor dan ganas ini berpanjangan dan menyerahkan kepada rakyat dalam membendung perkara ini dari berlarutan.

“Saya tidak tahu sejauh mana perkara ini (politik kotor dan ganas) di masa hadapan. Kalau rakyat tidak dapat terima cari ini, maka ia tidak akan berpanjangan.

“Saya mengharapkan supaya rakyat tidak membiarkan politik seperti ini berlarutan kerana ini politik yang rendah moral dan rakyat kini sudah matang dalam menilai gaya berpolitik yang sihat atau pun tidak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berpendapat landskap politik negara tidak akan berubah ke arah keganasan ataupun kotor.

“Keganasan ataupun kekecohan yang berlaku ketika ini hanyalah kecil dan belum menjadi besar (serius).

“Walaupun kita melihat mutakhir ini ada kekecohan yang berlaku (perhimpunan Bersih 3.0), budaya politik samseng masih belum menjadi budaya politik negara ini,” katanya.

Katanya, budaya samseng ini bukanlah budaya rakyat negara ini kerana masyarakat di negara ini berpaksikan nilai sopan santun yang tinggi.

“Saya berharap budaya samseng dalam politik tidak membarah dan saya yakin rakyat negara ini sudah matang dalam menolak politik keganasan seperti ini,” katanya.

Mengulas mengenai isu berbaur lucah yang dikaitkan dengan  beberapa pemimpin politik tanah air ketika ini, beliau berpendapat isu seperti itu tidak perlu dibangkitkan dalam arena politik negara.

“Isu seks ini satu budaya yang tidak sihat dan amat memualkan. Saya pernah melakukan tinjauan secara rambang mengenai persepsi masyarakat terhadap isu ini dan mendapati 80 peratus daripada rakyat tidak percaya dengan isu yang dibangkitkan itu.

“Lebih baik kita berdebat dari menaikkan isu moral seperti itu. Debat menggunakan hujah yang kuat dan cara ini juga boleh mendidik rakyat terutama pengundi mengenai cara berpolitik yang sihat,” katanya.

Malah kata beliau, debat mengenai dasar sesebuah negara sudah menjadi trend di negara maju.

“Kita menuju ke arah negara maju, dan berdebat ini tradisi negara maju seperti Amerika, Jepun, dan sebagainya, itu lebih baik daripada menghidangkan rakyat dengan isu yang tidak sihat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggariskan beberapa jalan penyelesaian menangani isu itu antaranya mencontohi politik keislaman.

“Rakyat sendiri sudah boleh berfikir dan menolak budaya politik seperti ini dengan adanya perkembangan internet yang memudahkan rakyat mencari kebenaran dan saya yakin perkara ini (politik kotor dan ganas) tidak akan menjadi budaya dalam landskap politik negara,” katanya.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails