BREAKING NEWS

Awas!! Najib Cuba Tipu Rakyat Kelantan



SHAH ALAM  -  Kerajaan Pusat sepatutnya telah lama menubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat petang ini.

Malah menurut Menteri Besar Kelantan, jawatankuasa khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewajarnya selesai membincang dan merunding isu berbangkit itu dalam tiga bulan lalu.

Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang baru sekarang mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran royalti.

"Jawatankuasa ini patut ditubuhkan sejak dulu lagi.

"Semasa perjanjian di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas dibuat pada 9 Mei 1975, tapi mengapa baru sekarang mahu tubuhkan?” katanya ditemui sebelum pelancaran Tabung Amanah Lebuhraya Rakyat dan majlis berbuka puasa di Kompleks Media Karangkraf di sini.

Tengah hari tadi, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.

Menurut Najib, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Jawatankuasa itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan, kata Najib.

Nik Aziz turut membidas keputusan Najib yang mahu kajian menyeluruh dilakukan dalam tempoh enam bulan yang sepatutnya mengambil jangka masa lebih pendek sekurang-kurangnya tiga bulan sahaja.

Beliau  berkata,  pihaknya belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai nama wakil Kelantan yang akan mewakili negeri itu dalam jawatankuasa khas berkenaan.

“Belum ada lagi sebarang perbincangan. Saya sendiri akan mengadap Sultan Kelantan bagi menghantar nama wakil dan hanya pada masa itu akan diumumkan nama wakil bagi negeri Kelantan,” jelas beliau.

Beliau turut bertegas yang Kelantan mempunyai hak sepenuhnya ke atas royalti minyak kerana kedudukan pelantar cari gali minyak berdekatan dengan pesisiran pantai negeri Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tuntutan itu ia dilihat masih samar-samar kerana ia sebenarnya akan ditentukan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Beliau yang baru tiba dari Makkah semalam ketika memberitahu Sinar Harian turut menyifatkan, tindakan tersebut  hanya langkah politik menjelang pilihan raya untuk meredakan perasaan rakyat Kelantan.

“Adakah Barisan Nasional (BN) menggunakannya sebagai ‘jambatan’ untuk menyeberangi pilihan raya ini dengan selamat, khususnya dalam konteks Kelantan?

“Jelas dari inti pati kenyataan Najib berkenaan, keadaan masih samar-samar. Ketika ia seakan membawa satu sinar harapan kepada rakyat Kelantan,” katanya semalam.

Husam berkata, sekarang bulan Ogos, jika pilihan raya diadakan dalam tempoh sebelum jawatankuasa itu membuat laporan dan seterusnya menunggu pertimbangan Kabinet atas rekomendasi mereka, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan.

“Ia mungkin berakhir sebagai sebuah latihan akademik semata-mata. Sehingga ia tidak dilihat tidak melayani harapan rakyat Kelantan dan pada masa yang sama, tidak pula memenuhi tuntutan itu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri turut mempersoalkan tempoh yang diambil oleh jawatankuasa itu iaitu dalam masa enam bulan.

 “Kenapa enam bulan, kenapa tidak tiga bulan, dan kenapa ia diumumkan ketika  menjelang pilihan raya dan bukannya sebelum ini?” katanya.

Meskipun mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu atas kedudukan sekurang-kurangnya tuntutan Kelantan telah memaksa Jawatankuasa ini ditubuhkan, namun Husam berkata, Kerajaan Negeri, tidak menarik balik samannya ke atas Petronas yang dijadualkan, satu dari prosidingnya akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada Oktober ini.-SH

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails