BREAKING NEWS

Rakyat Wajib Bangkit Melawan Kezaliman Umno/BN



Bangkit menentang kezaliman, penipuan dan kedurjanaan tidak memerlukan kepada sebarang fatwa.

Bangkit dan menentang penguasa yang zalim, rasuah dan melakukan penyelewengan dalam setiap sudut pentadbiran dalam sesebuah negara tidak perlu kepada fatwa malah menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Islam, termasuk non-Muslim.

Apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan arahan supaya semua ahli parti dan penyokongnya untuk keluar beramai-ramai bagi membanjiri Dataran Merdeka pada perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu, arahan ini adalah satu kewajipan.

Adalah menjadi satu kewajipan bagi ulama’ dan umara’ menyeru ke arah amal makruf nahi mungkar dan menjadi kewajipan bagi setiap individu Muslim dan rakyat Malaysia untuk mengikuti arahan ini.

Maka apabila Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menuduh Nik Aziz sudah nyanyuk kerana mengeluarkan ‘fatwa’ agar orang ramai membanjiri Dataran Merdeka maka tuduhan itu sudah jauh tersasar.

Dalam satu program Perkasa, ‘Raja Didaulat, Kasih DiJunjung’ di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur Ahad lalu, Ibrahim antara lain berkata,

“Fatwa dikeluarkan beliau (Nik Aziz) untuk rakyat sertai Bersih, pemimpin ini dah nyanyuk. Beliau keluar masuk hospital mungkin tidak baca akhbar.

Astafirullah al Adzim, kenapa Ibrahim Ali sanggup menuduh seorang ulama’ yang disegani dan yang mempunyai tahap ilmu duniawi dan ukhrawi yang tinggi sedemikian rupa?

Islam jelas melarang keras pengikutnya menyokong atau membantu orang yang zalim malahan condong kepada orang-orang zalim pun tidak boleh.

Islam larang sokong orang zalim

Allah berfirman dalam ayat 113 Surah Hud bermaksud, “Dan janganlah kamu condong kepada orang-orang yang berlaku zalim (jika berlaku demikian) api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderongan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, terbitan Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri).

Mengikut Imam Ja’far As-Shadiq, imam keenam dari jalur keturunan Rasulullah SAW, dalam khutbahnya melarang kita bukan sahaja berkawan malahan berjalan-jalan dengan orang-orang zalim juga ditegah dengan keras.

Bernama online milik Umno-Barisan Nasional juga cuba memainkan isu ini dan sedaya upaya cuba menyalahkan Menteri Besar Kelantan itu kerana memberi wang peribadi kepada peserta Bersih 3.0.

Kelmarin Bernama melaporkan bahawa Nik Aziz mengakui mengeluarkan wang poket sendiri untuk membantu para peserta Bersih 3.0 dari Kelantan sebagai satu bentuk sumbangan peribadi beliau.

Semalam, portal online itu juga melaporkan bahawa Nik Aziz menegaskan beliau sama sekali tidak berasa bersalah kerana membiayai beberapa penyokong untuk menghadiri perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang.

Laporan Bernama itu memetik Nik Aziz menambah, beliau sendiri menggalakkan orang ramai menghadiri perhimpunan itu yang dianggap wajib dihadiri oleh rakyat bagi menunjuk perasaan terhadap sesuatu yang tidak memuaskan hati mereka.

Kenyataan Nik Aziz ini juga bukannya ‘fatwa’ seperti mana yang didakwa oleh Ibrahim Ali tetapi merupakan satu kewajipan, lebih-lebih lagi bagi seseorang yang mengaku dirinya Muslim.

Polis belasah peserta Bersih

Tetapi apabila anak-anak muda para peserta demonstrasi Bersih dipukul, disepak dan dibelasah oleh anggota polis yang kejam itu, Ibrahim Ali tidak pula mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan mereka.

Perhimpunan itu yang bermula sejak awal pagi berjalan secara aman sehinggalah jam sekitar lewat 3.00 petang secara tiba-tiba pasukan polis dengan bantuan trak FRU melepaskan gas pemedih mata dan water cannon hingga menyebabkan para peserta bertempiran lari untuk mencari tempat perlindungan.

Tindakan polis yang lengkap bersenjata ini memulakan provokasi terhadap rakyat yang menuntut dijalankan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil adalah sangat dikesali dan menyerlah sikap polis yang kasar dan tidak bertamadun.

Tidakan polis ini dianggap sebagai satu kekejaman dan kezaliman pihak penguasa terhadap rakyatnya yang tidak mempunyai apa-apa senjata melainkan tulang empat kerat.

Tidak mustahil akan muncul lagi perhimpunan yang akan datang dalam masa terdekat, Bersih 4.0, 5.0 dan seterusnya sekiranya kerajaan yang memerintah masih berdegil dan tidak mahu melakukan sebarang perubahan.

Oleh: Zainal Abidin Nor

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails