Kuala Lumpur - Aktivis-aktivis mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dalam kempen mereka menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mendakwa mereka telah diserang oleh sekumpulan individu, yang menurut mereka kumpulan samseng, awal pagi tadi.
Aktivis itu yang berkhemah di Dataran Merdeka buat hari keenam hari ini, diserang sekitar 2.45 pagi tadi.
Mesej mengenai serangan itu disebarkan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang ketika dihubungi awal pagi ini mengesahkan mereka diserang dan beberapa aktivis dimasukkan ke hospital.
"Ya, kami semua diserang 60 gengster, tidak tahu siapa (mereka) dan mereka merobohkan semua khemah kami. Kami disepak, diterajang, ditumbuk dan dihalau dari Dataran. Tapi kami masih tetap di sini. Seorang sedang dapat rawatan kecederaan telah dihantar ke Hospital KL.
"Masa itu kami dalam 40 orang. Yang cedera ringan dalam lima orang sebab dipukul. Seorang dibawa ke hospital," katanya lagi.
Rakaman serangan dan kekecohan ketika insiden turut dimuatkan dalam YouTube:
Salah satu mesej Twitter menyebut individu kumpulan memberi amaran akan datang selepas ini.
Berpakaian serba hitam, samseng-samseng itu turut merobohkan khemah, memukul mahasiwa dan orang ramai yang menyokong perkhemahan dengan menumpu sasaran terhadap mereka yang membawa kamera dan perakam video.
Mahasiswa dan orang ramai berkumpul menceritakan detik-detik cemas, namun semangat mereka tidak luntur.
Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki terpaksa dihantar menaiki ambulans ke hospital manakala beberapa orang termasuk mahasiswa, ditendang, ditampar dan ditumbuk.
“Saya sedang tidur dalam khemah sebelum terjaga apabila muka saya ditendang dari luar,” kata penuntut sarjana Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Ruqayyah Abdul Rahman yang berpurdah itu kepada Keadilan Daily, awal pagi ini.
Beliau yang turut kehilangan telefon bimbit akibat insiden itu berkata demikian ketika berkongsi detik cemas itu bersama mahasiswa dan orang ramai.
Kebanyakan mereka kesal kerana kumpulan samseng itu dibiar bermaharaja lela walaupun balai polis bergerak terletak hanya 10 meter dari lokasi perkhemahan.
Seorang saksi lain kesal kerana polis enggan memberi bantuan walaupun beliau merayu bantuan tetapi anggota pihak berkuasa itu memberi alasan ‘bimbang keselamatan mereka terancam’.
Khemah mahasiswa yang dirosakkan kumpulan samseng
Dalam kejadian itu, samseng turut melontar kata-kata kesat dan mencampakkan cermin mata aktivis sosial, Fahmi Reza manakala rakannya, Boon Kia Meng, seorang pensyarah institusi pengajian tinggi swasta, ditumbuk.
“Sebaik saja keluar khemah akibat kekecohan itu, saya hanya duduk tanpa membalas cercaan mereka. Sebaliknya, mereka ambil dan campak cermin mata saya. Kia Meng di sebelah pula ditumbuk,” katanya.
Kamera Nurul Haniza Mohamad, 24, pula rosak selepas ia dirampas ketika dikerumuni lima atau enam samseng.
“Mereka tarik baju dan beg saya. Ada seorang tunjal kepala saya sambil menghambur kata-kata kesat,” katanya yang berasal dari Batu Arang, Selangor.
Kebiadapan samseng tidak mematahkan semangat mahasiswa untuk terus berkhemah sehingga 28 April ini
Seorang ahli Unit Amal PAS Batu, Mohd Kassim Abdullah, 24, pula ditampar dua kali, malah disiram air oleh sekumpulan samseng berkenaan.
Sungguhpun berdepan kekasaran samseng itu, semua mahasiswa dan kumpulan penyokong tetap bersemangat, malah membuat ketetapan untuk terus kekal berada di situ.
Malah, beberapa mesej mengaitkan insiden itu dengan parti politik tertentu memandangkan seorang dua penyerang ada memperkenalkan diri mereka sebagai anggota sayap pemuda sebuah parti.
"Kami tidak akan tunduk kepada keganasan. Dataran Merdeka milik rakyat," tulis akaun occupydataran.
Aktivis mahasiswa berkhemah di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu selepas mengadakan demonstrasi meminta kerajaan memansuhkan pinjaman PTPTN.
muka dah kenal....nnt akan cari sorang demi sorang...nak tunjuk samseng sangat....bak kata zizan dlm kl gangster...macam sial diaorang ni
ReplyDelete