BREAKING NEWS

Tiada Maaf Bagimu!!



KUALA LUMPUR, 5 Mac: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menyifatkan tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjaja kononnya memohon maaf atas kesilapan lalu BN sebagai 'buang tabiat'.

Sambil berkata ianya 'agak luar biasa' bagi Umno yang selama ini dilihat angkuh di puncak kuasa, tindakan itu juga membayangkan Najib tahu bahawa kuasa mereka akan berakhir pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan

"Perbuatan ini dianggap luar biasa. Bagaimana Umno selama ini dilihat gah dan angkuh di puncak kuasa, tiba-tiba roadshow ke seluruh negara memohon maaf daripada rakyat atas kesilapan lampau mereka. Umumnya rakyat melihat perbuatan ini seperti "buang tabiat".

"Seolah-olah Umno sudah tahu bahawa kuasa dan pengaruh mereka bakal berakhir dalam pilihanraya umum akan datang, lalu Umno memohon maaf kepada rakyat disetiap negeri yang mereka jelajah," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Najib semasa Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat Baling, kelmarin yang memohon maaf atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Selangor dan Kedah pada pilihan raya umum 2008.

Permohonan maaf secara terbuka itu adalah yang kedua dalam tempoh enam hari di mana kali pertama Najib yang juga perdana menteri itu bertindak demikian dalam satu program pada 26 Februari lalu di Pelabuhan Klang, Selangor.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, apa yang lebih pelik, Umno khususnya Najib juga seperti tidak percaya lagi kepada senjata propaganda mereka iaitu media arus perdana yang dikawal sepenuhnya oleh parti pemerintah itu.

"Saya melihat perkara ini sebagai pelik dan menghairankan kerana Datuk Seri Najib boleh memilih televisyen untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat dalam negara kita dan memadai dengan sekali mohon maaf.

"Tetapi, apabila tindakan mohon maaf ini dibuat berulang kali, rakyat akan tertanya-tanya sebenarnya apa yang telah berlaku pada Umno?," soal beliau.

Biarpun permohonan maaf satu sifat yang baik dalam Islam, namun kata Nasrudin, ianya tidak selesai hanya dengan kata-kata, malah perlu dibuktikan dengan perbuatan.

Jika benar permohonan maaf Najib itu ikhlas, beliau mencabar agar perdana menteri itu memulangkan kembali hak rakyat seperti contoh royalti minyak di Kelantan, kerajaan Perak yang 'dirampas' dan pampasan terhadap mangsa pengainayaan ISA.

"Jika ini (mohon maaf kerana sedar telah melakukan kepada rakyat), ertinya selama ini apa yang kita sebut bahawa Umno telah melakukan kesalahan besar kepada rakyat adalah benar.

"Saya melihat satu kewajaran untuk Umno berundur, menginsafi kesilapan lampau dan memberi laluan kepada Pakatan Rakyat pula membuktikan keupayaan mereka menggalas amanah rakyat," tegasnya.

Harakahdaily


Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon maaf atas kesilapan lalu BN tidak membawa sebarang makna melainkan ia disusuli dengan langkah-langkah pembetulan.

NONEMenurut beliau, antara keutamaan Najib kini ia menyelesaikan gejala rasuah dan salah urus dana awam, seperti yang melanda projek ternakan lembu syarikat Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Sama ada memohon maaf atau tidak, kata Saifuddin, hukuman sedia menanti pemimpin BN dan sekiranya rakyat memutuskan bahawa Pakatan Rakyat berkuasa, mereka akan bertindak ke atas pegawai-pegawai kerajaan yang korup dan menyalahgunakan kuasa.

"Kita akan heret mereka satu per satu untuk dibicarakan di mahkamah jika kita mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya akan datang," katanya pada ceramah di Sungai Petani, malam semalam.

Saifuddin mengulas kenyataan Najib semasa Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat Baling, semalam yang memohon maaf atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah pada pilihan raya umum 2008.

Permohonan maaf secara terbuka itu adalah yang kedua dalam tempoh enam hari berhubung kepincangan pentadbiran BN, khususnya Umno sehingga membawa kepada kekalahan mereka di Selangor dan Kedah.

Kali pertama, Najib mengakui kesilapan BN dan Umno itu adalah pada 26 Februari lalu di Pelabuhan Klang, Selangor.

Mengulas permohonan maaf itu, Saifuddin berkata, walaupun pengundi di Selangor, Kedah dan tiga lagi negeri lain telah "menghukum" BN pada tahun 2008, namun pilihan raya umum akan datang adalah peluang untuk menghukum Najib pula.

Ini, kerana menurut Saifuddin, Najib selepas mengambil-alih pentadbiran Putrajaya daripada Tun Abdullah Badawi yang digulingkan oleh Umno pada tahun 2009, tidak mengambil sebarang tindakan bagi memperbetulkan segala kepincangan BN.

"Kita masih belum menghukum Najib. Kita akan berbuat demikian pada pilihan raya umum akan datang ini," katanya, seambil disambut tepukan gemuruh oleh hadirin.

Malaysiakini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails