BREAKING NEWS

'YAYASAN TAQWA' Diuruskan Oleh Orang-Orang Yang 'TIDAK BERTAQWA'



KUALA LUMPUR, 8 Feb - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menuntut penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung pengaliran wang agensi pungutan zakat Yayasan Taqwa yang menurut mereka berlakunya kecurigaan. Pengarah Task Force Zakat DPPM, Kamaruzzaman Mohamad menggesa menteri berkaitan hal ehwal agama Islam itu memberikan penjelasan berhubung pengaliran sejumlah RM800,000 wang daripada Yayasan Taqwa yang tidak direkodkan dalam Laporan Tahunan 2010 dan menjelaskan berkenaan perbelanjaan pengurusan badan berkenaan yang mencecah sehingga RM2juta.


"Berdasarkan Laporan Tahun 2010, pendapatan Yayasan Taqwa berjumlah RM7.78 juta, dan perbelanjaan yang direkodkan adalah RM6.98 juta, manakala baki RM800,000 tidak direkodkan dalam laporan tahunan berkenaan. Kemana wang tersebut disalurkan?" soal Kamaruzzaman ketika sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

"Mengikut kadar peratusan zakat kepada Asnaf menunjukkan agihan sejumlah RM4.98 juta atau 64 peratus, dan baki RM2 juta atau 36 peratus daripada keseluruhan duit zakat digunakan untuk pengurusan, jumlah itu agak tinggi untuk seorang Pengurus Besar, dan 17 kakitangan yayasan terbabit," tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Kuala Lumpur ini.


Menurutnya lagi, mengapa pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) hanya memperuntukan sejumlah 64 peratus untuk bantuan zakat kepada Asnaf, sedangkan masih ramai lagi Asnaf yang memerlukan bantuan tersebut.

Pihaknya juga mempersoalkan "mengapa laporan lengkap Yayasan Taqwa tidak disertakan di dalam laporan tahunan MAIWP?"

Sehubungan itu, Kamaruzzaman menggesa satu badan bebas dilantik bagi mengaudit perjalanan kewangan Yayasan Taqwa secara menyeluruh kerana laporan sedia ada tidak menyatakan dengan terperinci setiap pergerakan keluar masuk wang zakat yang diuruskan yayasan berkenaan.

Kamaruzzaman menegaskan, sekiranya Jamil Khir tidak memberikan penjelasan dalam masa terdekat, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat berkenaan penyalahgunaan wang zakat oleh yayasan berkenaan.

Yayasan Taqwa merupakan sebuah syarikat yang dipengerusikan oleh Jamil Khir dan berfungsi untuk mengagihkan bantuan zakat kepada pihak yang memerlukan.

Yayasan berkenaan telah ditubuhkan pada 20 November 1990, dan berdaftar secara rasmi di bawah Akta Syarikat.

DPPM sebelum ini telah membuat pendedahan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang yayasan tersebut untuk kegunaan politik dengan menerbitkan  buku bertajuk "PAS bukan parti Islam" di Jerai, Kedah, namun Jamil Khir telah menafikan tuduhan tersebut.

Oleh: Mohd Farhan Darwis

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails