BREAKING NEWS

Pengerusi NFC Bayar RM1.755 Juta Untuk Merasuah Pegawai SPRM Dan PDRM



PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan segera terhadap Pengerusi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail atas apa yang mereka dakwa sebagai percubaan merasuah penjawat awam melalui pihak kedua berjumlah RM1.755 juta.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, pihaknya boleh membuktikan bahawa wang tersebut dibayar Mohamad Salleh bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC."Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Mohamad Salleh sendiri," katanya pada satu sidang media khas yang diadakan di Ibu Pejabat PKR, dekat sini, Rabu.

Dalam sidang media itu, Rafizi turut mendakwa tugasan menyogok wang tersebut kepada pegawai SPRM dan PDRM telah diserahkan Mohamad Salleh kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shamsubahrin Ismail Resouces Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail.
Jumaat lalu, Shamsubahrin telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan cuba menipu Dr Mohamad Salleh melibatkan wang berjumlah RM1.755 juta.
Bagaimanapun ahli perniagaan tersebut tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.
Rafizi berkata beliau bersetuju hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 3 petang, Rabu.

Beliau akan menyerahkan dokumen untuk siasatan yang dipercayai mampu membongkarkan pelbagai penyelewengan dalam NFC.
"Saya telah bersetuju untuk mendedahkan dokumen asas yang telah dihantar secara sulit oleh seseorang yang saya tidak kenali melalu e-mel."Dokumen berbentuk buku cek itu menunjukkan senarai perbelanjaan terperinci dari akaun bank utama yang dimiliki NFC dan mengandungi 1,099 transaksi dari tarikh 5 Januari hingga 31 Disember 2009," jelasnya.Rafizi berkata, beliau yakin dengan keterangan dan dokumen yang akan diserahkan, pihak berkuasa tidak mempunyai masalah mendapatkan bukti dan mendakwa mereka yang terlibat.

"Sepatutnya perkara ini tak perlu dilengahkan. Siasatan perlu dibuat dan ditamatkan segera," tegasnya.
Kata beliau lagi, berdasarkan dokumen tersebut yang turut diedarkan kepada pihak media, orang ramai tidak perlu ragu-ragu tentang kesahihan maklumat yang diberikan memandangkan ianya maklumat terperinci dari sistem perakaunan NFC sendiri.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan rasuah Mohamad Salleh, Rafizi berkata selain dokumen asas, siasatan sendiri turut dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan.Jelasnya, kes tersebut merujuk kepada Akta SPRM 2009 Bahagian iV Perkara 16 dan 17."Kita dah semak dengan peguam, dengan orang-orang yang terlibat, sebab itulah ambil masa sedikit."Hal ini sudah jelas. Beliau (Mohamad Salleh) yang bekalkan wang suapan malah menandatangani cek itu. Dia juga yang bersetuju dengan cadangan Datuk Shamsubahrin untuk pujuk pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan," katanya sambil memaklumkam menerima dokumen tersebut kira-kira dua bulan lalu.

Mengulas lanjut, Rafizi kesal kerana pihak berkuasa masih terus gagal bertindak.
Sebaliknya, dakwanya, mereka melindungi Mohamad Salleh yang juga suami kepada Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya.
"Pihak berkuasa membuat keputusan untuk mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail atas cubaan menipu NFC sedangkan wang yang terlibat adalah dengan tujuan merasuah pegawai SPRM dan PDRM," katanya.

Rafizi juga menegaskan tindakan Mohamad Salleh melakukan cubaan rasuah, menggambarkan bahawa "prinsip tatakelola dan urustadbir yang diamalkan di NFC adalah lemah dan longgar".

"Ia menggambarkan seolah-olah kelakuan rasuah dan cubaan membeli pegawai-pegawai kerajaan adalah amalan ringan dan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak SPRM segera melakukan siasatan ke atas Mohamad Salleh dan pengurusan NFC berhubung cubaan merasuah.

NFC mencetuskan kontroversi apabila Laporan Ketua Audit Negara pada Oktober tahun lalu mendedahkan syarikat tersebut tidak terurus dan gagal membekalkan daging lembu seperti yang disasarkan.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails