Sempena Lawatan Najib Esok,UIA Tarik Balik Penggantungan Tugas Aziz Bari..
Posted by Unknown on 12:00 AM in Najib | Comments : 0
KUALA LUMPUR, 24 Okt — Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah menarik balik arahan gantung tugas yang dikenakan ke atas pensyarah undang-undangnya Prof Abdul Aziz Bari hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh unit perundangan menerusi satu surat yang difakskan sekitar pukul 6.30 petang tadi, kata peguam beliau Dr Zulqarnain Lukman kepada The Malaysian Insider.
“Surat diterima petang sekitar 6.30 petang, selepas kami hantar respons kepada surat tujuk sebab petang tadi, ia ditandatangani oleh pegawai unit perundangan... UIA arah Prof Abdul Aziz Bari lapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang,” kata Zulqarnain.
Bagaimanapun kata beliau, surat petang ini menyebut bahawa siasatan akan dijalankan tetapi hanya penggantungan tugas ditarik balik.
Dalam laporan petang tadi, The Malaysian Insider memetik Zulqarnain berkata UIA memaklumkan akan mengumumkan keputusan hasil siasatannya ke atas Aziz esok.
Zulqarnain memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai unit perundangan hari ini bahawa siasatan pihaknya sudah selesai dan akan meneliti penjelasan Aziz yang diserahkan petang tadi.
“Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pegawai dari unit perundangan UIA, mereka akan meneliti penjelasan Prof Aziz dan akan memberikan jawapan... keputusan mereka sama ada akan mengambil tindakan susulan, meneruskan tindakan, berhenti di sini (setakat surat tunjuk sebab) atau sebaliknya,” kata Zulqarnain.
Beliau menghantar surat penjelasan Aziz, menjawab surat tunjuk sebab UIA, kira-kira 3 petang tadi.
Zulqarnain berkata dalam responsnya, Aziz telah menjelaskan bahawa kenyataan beliau mengenai titah Sultan Selangor adalah satu bentuk kebebasan dalam memberi pandangan, yang sama sekali tidak bertentangan denagn Artikel 15(3) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti dan juga Seksyen 3(2) Akta Hasutan.
“Asasnya penjelasan kami kepada UIA adalah begitu, apa yang dikatakan oleh Prof Aziz ialah ia kebebasan bersuara, tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara... Seksyen 3(2) Akta Hasutan sendiri memberi pengecualian,” katanya.
Pengurusan UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Aziz berhubung kenyataan pensyarah undang-undang itu ekoran titah Sultan Selangor berkaitan isu Gereja Methodist Damansara Utama dan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.
UIA telah memberi masa selama seminggu sehingga 4 petang esok kepada Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.
Surat tunjuk sebab itu juga menyebut beliau digantung perkhidmatan sehingga siasatan selesai dan dilarang memasuki kampus UIA.
Jumaat lalu, Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata Aziz perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor.
Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIA untuk dibicarakan.
Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.
Dalam pada itu, Zulqarnain juga berkata pihak polis mengambil komputer bimbit antara pukul 4.30 dan 6.30 petang tadi.
“Polis datang dan ambil komputer bimbit Prof Aziz. Komputer itu sebenarnya milik UIA dan diberikan kepada setiap pensyarah bagi menjalankan kerja mereka.
“Polis juga membawa Prof Aziz ke pejabatnya di universiti (dengan kebenaran UIA) dan mengambil gambar pejabatnya,” kata Zulqarnaian sambil berkata, ia dijalankan untuk melengkapkan siasatan mereka dan mengemukakan kertas siasatan ketua Unit Pendakwaan Selangor.
SUMBER
Tarik Balik Penggantungan Atau Berdepan Demo Besar
Solidariti Mahasiswa Malaysia telah berjaya menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik kepada Timbalan Rektor UIA tempoh hari. SMM juga ingin mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada mahasiswa yang bersolidariti menuntut kebebasan akademik di UIA tempoh hari.
Tidak lupa juga ucapan tahniah dan terima kasih kepada Timbalan Rektor UIA yang berani turun dan menerima memorandum daripada SMM.
KAMI mengecam kenyataan rektor UIA Prof Zaleha yang mengatakan tujuan penggantungan adalah untuk siasatan dijalankan dengan baik.
Apa yang sepatutnya dan betul untuk dilakukan ialah siasat dahulu barulah diberi hukuman/tindakan sekiranya bersalah.
Kami menggesa rektor UIA supaya tarik balik penggantungan dengan kadar segera, minta maaf kepada Prof Aziz Bari atau akan berdepan dengan demonstrasi yang lebih besar daripada semalam dalam jangka masa yang terdekat ini.
Siasatan harus dilakukan dengan adil dan telus tanpa sebarang campur tangan ahli politik. Kami percaya ada tangan-tangan ghaib yang cuba menganiaya Prof Aziz Bari memandangkan kenyataan-kenyataan Aziz Bari diliihat sering tidak memihak kepada parti pemerintah.
Kami juga mencabar pihak UIA atau mana-mana pihak sekalipun, sekiranya apa yang dikatakan oleh Prof Aziz Bari bahawa sultan tidak boleh dikritik adalah salah, maka tampilkan seorang ahli akademik untuk berbahas dengan beliau.
SMM percaya bahawa hujah harus dibalas dengan hujah dan bukannya dibalas dengan tindakan zalim.
Kami ingin menegaskan bahawa demonstrasi semalam adalah anjuran penuh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan tidak ada kaitan dengan mana-mana ahli politik atau parti politik.
Ia adalah inisiatif sendiri sekumpulan mahasiswa yang berpegang teguh dengan prinsip kebebasan berakademik.
Ada juga pihak yang meremehkan usaha mahasiswa berdemonstrasi semalam. KAMI beri peringatan supaya jangan remehkan usaha mahasiswa. Kalau tak mahu ikut berjuang tak mengapa, tapi jangan remehkan mereka yang berjuang. Ia adalah satu tindakan bodoh.
SMM akan mengadakan beberapa siri ceramah, kempen dan roadshow untuk menimbulkan kesedaran masyarakat mengenai prinsip kebebasan berakademik.
Oleh: Haziq Abdullah Abdul Aziz
Penulis adalah presiden, kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen, Pimpinan Front Solidariti Mahasiswa Malaysia
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment