BREAKING NEWS

Dunia kutuk serangan Amerika ke atas Libya

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk dan gambar pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dalam satu tunjuk perasaan antiperang di Belgrade, Serbia semalam.

BEIJING - China meluahkan kekesalan terhadap serangan yang dilakukan ke atas Libya oleh kuasa-kuasa besar dan menurut kenyataan kementerian luarnya, negara itu menentang penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.
"China telah mengetahui perkembangan terbaru di Libya dan merasakan amat kesal terhadap serangan tentera ke atas negara itu.
"Kami berharap Libya dapat memulihkan keamanan secepat mungkin dan dapat mengelak kematian ramai orang awam yang disebabkan oleh konflik senjata di sana," katanya.



Rusia turut mengeluarkan kenyataan yang serupa tetapi dalam masa yang sama mahukan gencatan senjata dilakukan secepat mungkin.
Sementara itu, India melalui kenyataan Kementerian Luarnya juga senada dengan negara China dan Rusia yang mahukan keamanan kembali dipulihkan di sana.
"India memandang serius terhadap perkara yang berlaku di Libya seperti persengketaan, keganasan dan situasi kemanusiaan yang semakin merosot.
"Amat mengecewakan apabila berlaku serangan udara, langkah yang diambil sepatutnya dapat mengurangkan dan bukannya memburukkan lagi situasi rakyat Libya," katanya
Serangan tentera ke atas Libya diketuai kuasa-kuasa barat oleh Perancis, Britain dan Amerika Syarikat. Ia dilakukan bagi menguatkuasakan resolusi zon larangan terbang yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melindungi puak penentang daripada kekejaman tentera Muammar Gaddafi.
Sementara itu, bantahan sama turut disuarakan oleh masyarakat dunia. Di Bangladesh, pertubuhan Islam Khelafat Andolon melaungkan slogan anti perang dan membantah serangan udara ke atas Libya dalam satu protes di Dhaka.
Ahli parti berhaluan kiri di Jerman, Die Linke Klaus Ernst juga mengadakan demonstrasi di Berlin yang mengutuk serangan kejam tersebut. Para aktivis Filipina pula bertindak membakar bendera AS dalam satu tunjuk perasaan di Quezon City, utara Manila.
Kemarahan sama turut dirasai di Los Angeles apabila aktivis antiperang mengadakan satu demonstrasi yang menyambut ulang tahun kelapan pencerobohan tentera AS dan sekutunya ke atas Iraq.
White House tidak terkecuali daripada menjadi lokasi demonstrasi mengutuk serangan ke atas Libya. Akibatnya, berpuluh-puluh aktivis antiperang telah ditahan polis.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails