GEORGE TOWN, 22 Feb — Hakim Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya menetapkan 22 Mac bagi membuat keputusan permohonan memindahkan perbicaraan kes khalwat hakim syarie dan pasangannya ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Nik Bukhari Hashimy membuat keputusan itu setelah menimbangkan bahawa pihak pendakwaan perlu meneliti bantahan bertulis daripada pihak pembelaan yang baru difailkan hari ini kerana menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes itu.
Pada prosiding lepas pihak pendakwaan, yang diwakili Ketua Pendakwa Syariah Zulhairi Aziz, membuat permohonan supaya perbicaraan kes khalwat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang Adam Tumiran, 43, dan pasangannya Nurul Izani Md Isa, 34, dipindahkan dari Mahkamah Rendah Syariah ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang Adam Tumiran dan pasangannya Nurul Izani Md Isa melangkah keluar dari Mahkamah Rendah Syariah,Pulau Pinang.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang Adam Tumiran dan pasangannya Nurul Izani Md Isa melangkah keluar dari Mahkamah Rendah Syariah,Pulau Pinang.
Adam dan Nurul Izani, yang bertugas sebagai penasihat kewangan di Kuala Lumpur, dituduh melakukan kesalahan itu pada 5 Dis 2010 pukul 2.05 pagi di rumah nombor 18B, Kuarters Kerajaan Negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.
Adam dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang manakala Nurul Izani dituduh mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama.
Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah juga membenarkan jaminan kedua-dua tertuduh dilanjutkan. Adam dan Nurul Izani diwakili peguam bela Munawir Abdul Aziz. — Bernama
..............................................................
KUALA LUMPUR: Seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita di kuarters kerajaan di Georgetown, Ahad lalu.
Menurut sumber, hakim terbabit yang berusia 40-an ditangkap ketika bersama pasangannya kira-kira jam 2 pagi.
“Sewaktu kejadian, isteri dan anaknya tiada di rumah kerana dikatakan ke ibu kota.
“Pasangan itu ditangkap penguat kuasa agama hasil maklumat diperoleh,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Hakim terbabit dikatakan berkhidmat di Mahkamah Tinggi Syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung sejak lebih setahun lalu.
Sebelum ini, beliau bertugas di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Putrajaya.
Kes berkenaan bagaimanapun masih di peringkat siasatan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan hakim terbabit belum didakwa, sebaliknya dia dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam selama seminggu.
Sumber itu berkata, kes berkenaan agak sulit kerana mempunyai unsur ugutan daripada tertuduh terhadap pegawai penyiasat.
Namun, katanya, pihak penyiasat sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
“Pada masa ini hakim terbabit diberi jaminan penguat kuasa. Tempoh jaminan akan berakhir Isnin depan dan pada hari berkenaan, kes dijangka disebut di mahkamah syariah.
“Beliau sebelum ini dikatakan mengugut pegawai siasatan dan penguat kuasa dengan mengancam untuk mengambil tindakan jika mereka meneruskan kes berkenaan kerana beliau mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan pihak atasan,” katanya.-hmetro
Post a Comment