BREAKING NEWS

Pembunuhan Sosilawati: Peguam bergelar Datuk, adik dan enam pekerja ditahan


BANTING: Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 September membabitkan lima orang.

Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan, manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.


Beliau berkata hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit seluas 1.6 hektar itu, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44; serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos ketika berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.
Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.

Mengenai motif kejadian, beliau berkata ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urusniaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati.


Pada sidang akhbar itu, Mohd Bakri juga mengesahkan kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis Kuala Lumpur menyiasat kes itu kerana kesemua mereka dilihat pada kali terakhir meninggalkan pejabat Sosilawati di Kuala Lumpur.

Mengenai keluarga mangsa, beliau berkata mereka sudah dimaklumkan dan polis menjelaskan kepada mereka bahawa pengesahan lanjut daripada pihak forensik
dan Jabatan Kimia diperlukan untuk mengesahkan sepenuhnya kematian kesemua mangsa.

"Apa yang saya boleh sahkan sekarang, pengakuan suspek menjurus ke arah
itu," katanya.

Mengenai tahap siasatan, beliau berkata pihaknya tidak dapat menyatakan
daripada segi peratusan namun kesemua perkara hanya dapat disahkan dan disempurnakan selepas polis menerima laporan forensik dan kimia.

"Laporan forensik dan kimia akan mengambil masa, dan keluarga mangsa dan media akan dimaklumkan sebaik sahaja kami menerima kesemua laporan lanjut mengenai perkara ini," jelas beliau.

Mohd Bakri meminta semua pihak agar bersabar kerana pasukan forensik masih di peringkat awal mengumpul bukti di tempat kejadian dan hanya mengesahkan sudah menjumpai sebilah pisau di tempat kejadian.

Beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat tulang ditemui di tempat kejadian.

Ditanya bagaimana mereka dibunuh, beliau berkata perkara itu masih di peringkat awal dan tidak boleh mengulas lanjut kerana boleh menganggu siasatan.

Dalam sidang media itu, Mohd Bakri berkata, suspek juga membuat pengakuan bahawa mereka terbabit dalam beberapa kejadian sama.

"Mereka mengaku ada menggunakan modus operandi yang sama dan kami kini menyiasat sekurang-kurangnya kehilangan empat orang yang dilaporkan sejak
setahun yang lalu," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada mereka terbabit dalam kejadian itu tanpa bukti forensik yang kukuh.

Beliau berkata, kesemua suspek berumur antara 19 dan 41 tahun, dua daripada
mereka adalah wanita dan mereka kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala
Lumpur.

Difahamkan polis sudah memperoleh kebenaran untuk menahan reman selama
tujuh hari untuk membantu siasatan kes itu.

Ketika diminta menjelaskan keadaan di tempat kejadian, Mohd Bakri berkata ia
dikelilingi tembok, terdapat pokok kelapa sawit, serta beberapa kandang kambing
serta bangsal lembu.

"Orang luar tidak akan dapat lihat sekiranya apa-apa berlaku di sebalik
tembok itu," jelas beliau.

Mohd Bakri juga mengesahkan polis turut menyiasat 'Datuk' itu mengikut Akta
Pengubahan Wang Haram.

"Kita ada mendapat beberapa maklumat bahawa beliau memiliki beberapa hartanah secara tidah sah dan kita mahu menyiasat perkara itu," tegas beliau.-Bernama

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails