BREAKING NEWS

Majlis Peguam Mesti Bertindak Tegas Terhadap Ahli-Ahlinya Yang Kaki Songlap


 
KUALA LUMPUR, 21 Sept – Majlis Peguam menegaskan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) tidak wajar menyalahkan badan berkanun itu berhubung isu dua peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.



 Ahli-ahli Pekida membakar kain pemidang yang mengecam Majlis Peguam Negara mengenai isu kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Ampang Ahad lalu. – Foto Bernama

Ini kerana Presidennya, K Ragunanth berkata, kedua-dua peguam yang disyaki terlibat dalam kes itu telah digantung keahlian sejak November lalu kerana terlibat dalam kes penyelewengan dan penipuan urusan jual beli tanah.
“Dalam sebuah negara yang demokratik mereka (Pekida) boleh cakap apa sahaja yang mereka mahu.
“Tapi saya ingin tegaskan bahawa kita tidak bersetuju dengan dakwaan yang dibuat mereka sebelum ini,” kata beliau pada sidang media hari ini.
Beliau berkata Pekida harus faham bidang kuasa Majlis Peguam sebelum membuat sebarang dakwaan.
“Kalau pihak polis gagal untuk menghidu kegiatan jenayah mereka, bagaimana kita boleh?
“Jangan salahkan Majlis Peguam kerana ia bukannya jalan penyelesaian tapi kita akan sentiasa bersikap terbuka dalam isu ini dan memberikan kerjasama dengan semua pihak,” katanya.
Beliau juga meminta supaya semua pihak termasuk media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes pembunuhan tersebut.
“Saya nak tegaskan bahawa bidang kuasa Majlis Peguam adalah terhad iaitu mengawal dan menyelia peguam sahaja.
“Kita tiada kuasa untuk pantau hal-hal peribadi dan kegiatan mereka di luar dan salah laku jenayah yang melibatkan peguam adalah di luar bidang kuasa tetapi kalau didapati terlibat tidakan tegas akan diambil,” katanya.
Pada Ahad lalu Pengerusi Pekida, Shahril Abdul Aziz bersama anggotanya menyalahkan Majlis Peguam yang didakwanya gagal membersihkan peguam-peguam bermasalah.
Mereka juga membakar kain rentang mengecam Majlis Peguam.
Noorhisham Mohamed, seorang pegawai bank, Sosilawati, pemandu jutawan kosmetik itu Kamaruddin Shansuddin dan peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, dipercayai dipukul sampai mati dan dibakar di Ladang Gadong dan abunya dibuang di Sungai Panchau, Banting, Selangor.
Ragunath berkata individu yang terlibat dalam kes tersebut boleh mendapatkan peguam untuk membela mereka di mahkamah nanti.
“Selagi belum terbukti bersalah di mahkamah mereka berhak untuk mendapat pembelaan.
“Sesedih mana kita, semarah mana kita, keadilan dalam kes ini perlu dicapai,” katanya.
Namun menurut Ragunath, pihaknya bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam hal-hal berkaitan salah laku peguam.
“Kita tidak mampu untuk mengetahui aset dan kekayaan peguam kerana tiada kuasa tapi kita harap boleh bekerjasama dengan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan sebagainya.
“Bagi peguam yang didapati terlibat dan didapati bersalah kita akan gantung atau lucutkan keahlian mereka.
“Kesalahan serius termasuk penyelewengan, salah laku jenayah, rasuah juga jenayah berat seperti membunuh,” katanya.
Beliau juga meminta orang awam yang ingin mendapatkan khidmat peguam boleh mendapatkan status peguam tersebut menersi laman web Majlis Peguam.
“Orang awam boleh lihat status peguam dalam laman web kita.
“Mereka boleh tahu sama ada peguam itu digantung atau sebagainya,” katanya.
Ragunath berkata pihak telah menghantar surat kepad Ketua Polis Negara Tan Sri Omar untuk membincang cara untuk memantapkan hubungan antara polis dan juga peguam.
Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga Sosilawati dan tiga yang lain.
“Bagi pihak Majlis Peguam saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Kita juga berharap mereka yang bersalah akan dibawa ke mahkamah untuk diadili dan setakat ini kita sangat berpuas hati dengan usaha dan siasatan yang dilakukan pihak polis,” katanya.
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails