BREAKING NEWS

Keluarga Datuk Sosilawati diminta terima hakikat



Rumah Sosilawati dikunjungi sanak-saudara dan rakan-rakan yang ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah 17 September 2010. — Foto Bernama
GOMBAK, 18 Sept — Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Jailani Ngah hari ini meminta semua pihak terutamanya keluarga mangsa pembunuhan kejam yang berlaku baru-baru ini supaya menerima hakikat kehilangan orang kesayangan walaupun sukar. “Saya akui memang sukar untuk menerima hakikat kehilangan orang tersayang.
“Kadang-kala kita mahu melihat keajaiban berlaku tetapi hakikatnya ia sudah ketentuan yang ditetapkan jadi kita perlu menerimanya,” katanya ketika berucap selepas majlis bacaan Yasin dan doa selamat di rumah jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya di Taman Harmonis di sini malam ini.
Beliau yang hadir mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga meminta supaya kes pembunuhan yang berlaku tidak dijadikan isu politik demi menjaga ketenteraman awam.
“Saya minta supaya ia tidak dijadikan isu politik.
“Saya percaya ramai yang terasa dengan kejadian yang berlaku tetapi ia tidak sewajarnya dijadikan satu isu politik dan saya juga berharap supaya mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan.
“Selain itu, saya yakin mereka yang terlibat dalam kes ini pasti tidak akan dapat lari,” katanya lagi.
Sosilawati, 47, dilaporkan hilang ketika urus niaga tanah di Banting pada 30 Ogos lalu selepas kali terakhir dilihat pada majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dua hari sebelum itu.
Turut hilang bersama beliau ialah peguam dari Tetuan Kamaruddin & Partners dari Putrajaya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan pemandu peribadi Sosilawati Kamaruddin Shansuddin, 44.
Kehilangan mereka hampir terungkai apabila polis menahan lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar “Datuk” baru-baru ini.
Empat daripada mereka mengaku telah membunuh kesemua mangsa, sebelum membakar mangsa dan abu mereka dibuang dalam Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Kira-kira 500 orang terdiri daripada keluarga, kawan Sosilawati dan jiran hadir ke majlis tersebut yang dipimpin oleh imam Surau Al-Khairiah Mohd Nor Syarun.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Sementara itu, anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, mengucap terima kasih kepada semua pihak kerana banyak memberikan sokongan kepada keluarga mereka.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana  telah banyak memberikan sokongan kepada kami sekeluarga semenjak kejadian ini berlaku.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada polis kerana telah menjalankan tugas dan menyelesaikan perkara ini,” katanya.
The Malaysia Insider difahamkan kesemua keluarga mangsa hadir tetapi tidak dibenarkan untuk menemui mereka.
Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata laporan lengkap siasatan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara minggu hadapan.
Beliau juga berkata keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa pembunuhan kejam itu yang dijumpai di sekitar tempat kejadian, hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya empat hari lagi.
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails