Pasukan Khas Di Tubuh Siasat Isu Khutbah Jumaat
Posted by Unknown on 3:36 PM in | Comments : 0
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat isu kejadian khatib yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada nama Ketua Menteri Lim Guan Eng, dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.
Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata polis negeri telah menerima dua laporan mengenai isu itu iaitu yang pertama dibuat di Balai Polis Butterworth dan satu lagi di Balai Polis Tasek Gelugor dalam daerah Seberang Perai Utara.
"Satu pasukan khas polis telah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian tersebut dan sehingga kini 15 orang saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan,"katanya kepada pemberita di sini Ahad.
Beliau berkata polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 4 A, Akta Hasutan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Pihak polis berharap siasatan terhadap isu tersebut akan dapat selesaikan minggu depan dan beberapa personaliti yang terlibat dengan kejadian tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata kejadian pertama dipercayai berlaku pada bulan Jun di Masjid Jamek Padang Menora, sewaktu khutbah sembahyang Jumaat oleh seorang Khatib jemputan.
Katanya, dalam kejadian terbaru yang dipercayai berlaku pada 20 Ogos di Masjid Kubang Buaya, Butterworth, Khatib yang sama telah membacakan doa seperti berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku, Kau Selamatkanlah Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang."
"Beberapa kenyataan saksi yang telah dirakamkan oleh pihak polis telah mengesahkan kejadian itu memang berlaku dan kami terus dengan siasatan selanjutnya," katanya.
Selain itu, Ayub berkata beliau ingin memperingatkan kepada semua pihak supaya jangan menggunakan platform yang ada seperti ini untuk memecah-belahkan rakyat atau memecahkan perpaduan yang ada sekarang.
"Peranan yang sepatut dimainkan oleh masjid adalah untuk mengurangkan gejala sosial dan menyatu-padukan rakyat," katanya.
Khamis lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat yang dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid di sekitar Permatang Pauh dan Jelutong. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment