BREAKING NEWS

Isu khutbah: Kerajaan PR Pulau Pinang mengulangi ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong


GEORGE TOWN, 22 Ogos — Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang hari ini mengulangi ikrar setia kepada Yang di-Pertuan Agong ketika ia berusaha untuk menangani kontroversi mendakwa nama Tuanku Mizan Zainal Abidin digugurkan dan digantikan dengan nama Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Umno menyenaraikan enam masjid yang didakwa menggunakan nama Ketua Menteri, yang khutbah keduanya disampaikan oleh khatib-khatib jemputan sejak Februari lalu walaupun laporan awal menyebut ia disampaikan dua Jumaat lalu.

PR sekali lagi menafikan dakwaan itu hari ini.
Mesyuarat tergempar PR Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Lim hari ini meluluskan resolusi 10 perkara berhubung isu tersebut.
Antara lain yang menghadiri mesyuarat hari ini ialah Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu Rosidi Hussain.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman berkata, resolusi yang dicapai mengiktiraf Yang di-Pertuan Agong sebagai pemimpin teragong negara ini.
Resolusi itu juga menggariskan pengiktirafan Islam sebagai agama rasmi negara dengan agama lain boleh diamalkan selaras dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persektuuan.
Mansor berkata, resolusi itu juga menggesa Umno agar mengambil tindakan tegas terhadap khatib dan imam yang didapati menggunakan nama Lim dalam khutbah-khutbah dimaksudkan oleh mereka.
“Kerajaan negeri mahu Umno berhenti daripada memainkan politik perkauman yang mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat pelbagai agama di negeri ini,” kata beliau.
Beliau juga mempertahankan bahawa nama Lim tidak pernah digunakan untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong sebagaimana didakwa oleh Umno Pulau Pinang dan sebagaimana didakwa oleh akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia kelmarin.
Kata beliau, PR juga berharap rakyat Pulau Pinang tidak terpengaruh dengan muslihat digunakan Umno dalam mengalih pandangan daripada usaha kerajaan negeri membantu rakyat emas atau menambah peruntukan untuk aktiviti agama Islam di negeri itu.
Kelmarin, Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Abdul Malik Kassim berkata jabatan hal ehwal agama Islam tidak pernah menerima ataupun mengeluarkan arahan agar nama Lim digunakan dalam khutbah Jumaat.
Bagaimanapun beliau mengakui beberapa khatib ada menyebutkan nama Lim dalam konteks mendapat hidayah Allah agar beliau menerima Islam.
Dalam mesyuarat tersebut Abdul Malik telah menjelaskan teks khutbah yang disediakan oleh MAINPP dan JAIPP.
Usul-usul lain yang diputuskan dalam mesyuarat tergempar ini ialah:
— Melafazkan ikrar taat setia kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
— Mengulangi sokongan ke atas dasar kerajaan negeri Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri mengharamkan judi bola yang pada awalnya diluluskan oleh Umno.
 — Menyokong pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh Ketua Menteri sebanyak RM400 kepada semua ahli pentadbiran kerajaan negeri, MPPP, MPSP dan agensi kerajaan negeri yang dibuat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia.
— Mengutuk amalan politik kotor dan jahat Umno dan media massa yang dikuasai ini yang memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah kedua solat Jumaat yang merupakan satu fitnah jahat yang dilakukan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
— Menafikan dengan keras dakwaan Umno kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh JAIPP tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong serta kerajaan negeri, JAIPP atau Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri.-themalaysianinsider

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails