BREAKING NEWS

Tentera Israel Tahan Kapal Rachel Corrie Dan Ubah Haluan Ke Ashdod



PETALING JAYA: Perdana Global Peace Organization (PGPO) memaklumkan kapal Rachel Corrie yang sedang dalam perjalanan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza kini ditahan Tentera Pertahanan Israel (IDF).
Bagaimanapun Penasihat PGPO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, maklumat berkenaan masih belum disahkan oleh pihak berkaitan.
"Kita dapat info yang belum disahkan bahawa Rachel Corrie telah ditahan oleh IDF daripada meneruskan perjalanan ke Gaza," katanya melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online.
Difahamkan Rachel Corrie dipintas oleh kapal pasukan tentera laut Israel ketika hanya beberapa kilometer lagi menghampiri Semenanjung Gaza.
Sebelum ini Mukhriz mengesahkan terdapat tiga buah kapal yang dipercayai milik tentera laut Israel mengekori Rachel Corrie sejak kira-kira pukul 3 pagi waktu di Gaza.
Dalam maklumat terkini menerusi laman Twitter, PGPO yang menaja kapal bantuan misi ke Gaza itu menyatakan bahawa semua sukarelawan yang berada dalam kapal berkenaan dilaporkan selamat.
Sementara itu menurut laporan agensi berita AFP, Rachel Corrie tidak mengendahkan arahan tentera laut Israel supaya kapal itu mengubah haluan menuju ke Pelabuhan Ashdod.
"Kami memberitahu beberpa kali kepada penganjur dalam kapal itu supaya menuju ke Pelabuhan Ashdod kerana wujud sekatan untuk masuk ke Semenanjung Gaza, tetapi mereka tetap ingkar," kata seorang jurucakap tentera Israel.
Kapal Rachel Corrie milik Malaysia membawa 1,500 tan pelbagai bantuan termasuk makanan, perubatan dan bahan binaan kepada penduduk Gaza dalam misi tersebut.
Rakyat Malaysia yang berada di atas kapal kargo tersebut ialah Matthias Chang, Sukarelawan PGPO Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu. Turut berada dalam kapal berkenaan Ahli Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, Wartawan TV3 Halim Mohd dan jurukamera, Mohd Jufri Judin.-mstar

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails