BREAKING NEWS

Benarkah Najib Tidak Hargai Peranan Pemuda Umno??


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diingatkan supaya tidak sentiasa melupakan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam barisan kabinetnya.

Ketua Pemuda Umno Selangor Suhaimi Mohd Ghazali hari ini menyuarakan hasrat itu supaya Najib dapat mengambil berat permintaan itu kerana ia pernah disuarakan sebelum ini.

"Jawapan yang diberikan Najib (adalah) mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa kita ( Pemuda Umno) berkhidmat dalam parti dahulu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, tambahnya, akar umbi pergerakan itu tetap akur dengan keputusan rombakan terbaru itu kerana "apa-apa kuasa adalah di tangan Najib".

Selepas rombakan terbaru kabinet Najib kelmarin - yang menyaksikan Khairy sekali lagi tidak terpilih mengganggotai jemaah menteri - terdapat suara bantahan beberapa pemimpin pergerakan itu.

Selepas Najib mengambil alih teraju kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau telah dua kali merombak kabinetnya. Khairy bagaimanapun terlepas peluang dalam kesemua rombakan itu.

Dalam tradisi Umno, ketua Pemudanya sentiasa diberi jawatan dalam kabinet termasuk Najib sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sementara itu, Naib Pemuda Umno Perak Ali Zainal Abidin pula berpendapat Khairy yang juga ahli parlimen Rembau sepatutnya diberikan jawatan sekurang-kurang sebagai timbalan.

Menurutnya, jika Khairy tidak memegang apa-apa jawatan dalam kabinet, secara tidak langsung semangat anggota pergerakan itu akan menjadi lemah, sekali gus menjejaskan gerak kerja BN untuk pilihan raya umum akan datang.

"Nanti susah hendak tarik orang muda untuk menyokong BN sebab ketua sendiri pun tidak ada jawatan," katanya.

Sehubungan dengan itu, Ali juga menzahirkan perasaan dukacitanya dengan tindakan "pelik" perdana menteri yang melanggar kebiasaan memperuntukkan kerusi kabinet untuk ketua Pemuda Umno.

"(Peranan) Pemuda (seperti) tidak dihargai oleh mereka," katanya.-mkini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails