BREAKING NEWS

Kenapa Perletakan Jawatan 16 Pesuruhjaya SUHAKAM Belum Berganti?


KUALA LUMPUR, 12 Mei — Suhakam yang berusia lebih satu dekad, berada dalam keadaan dilema kerana berhadapan dengan situasi ketiadaan anggota panel pesuruhanjaya yang melepaskan jawatan mereka, dipercayai kali pertama dalam sejarah suruhanjaya hak asasi manusia ini.
Kesemua 16 anggota panel telah meletakkan jawatan masing-masing pada 23 April bagi membolehkan barisan pesuruhjaya baru dilantik.
Bakal pelantikan kali ini merupakan yang pertama selepas Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai perdana menteri April 2009.
Najib sendiri, ketika itu beliau timbalan perdana menteri, mengumumkan pelantikan barisan 16 pesuruhjaya Suhakam pada April 2008.
The Malaysian Insider difahamkan ketiadaan kepimpinan bagi menerajui operasi Suhakam sejak lebih tiga minggu lalu menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin-pemimpin politik tentang matlamat penubuhan badan ini.
Perkembangan ini menjadi fokus apabila Pemuda Pakatan Rakyat menyokong saranan supaya Suhakam sama-sama menyiasat kes remaja mati ditembak polis di Shah Alam, 26 April lalu — tiga hari selepas kesemua anggota panel Suhakam mengosongkan kedudukan masing-masing.
Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum kepada Suhakam berhubung kes tembakan Allahyarham Aminulrasyid Amzah.
Tiga bekas pesuruhjaya Suhakam menganggotai panel khas dibentuk untuk memantau siasatan polis berhubung insiden itu.
Mengulas perkembangan terbaru ini, bekas pesuruhjaya Suhakam, Tan Sri Ramon Navaratnam berpendapat “adalah sesuatu yang malang” apabila kesemua pesuruhjaya melepaskkan jawatan serentak untuk membolehkan pelantikan baru dibuat.

“Sepatutnya ada kesinambungan dalam kepimpinan Suhakam. Saya berpendapat pelantikan seharusnya dibuat secara berperingkat-peringkat, bukannya semua meletakkan jawatan hanya kerana tempoh mereka berakhir,” kata beliau yang merupakan bekas pesuruhjaya Suhakam selama dua penggal sehingga 2008.
Katanya, langkah itu bukan sahaja mengelakkan vakum kepimpinan Suhakam, malah membolehkan anggota baru belajar daripada pesuruhjaya-pesuruhjaya yang ‘senior’.
Difahamkan kesemua pesuruhjaya meletakkan jawatan selari dengan peruntukan Akta Suhakam yang baru dipinda.
Seorang bekas pesuruhjaya yang melepaskan kedudukannya pada bulan lalu juga berpendapat peruntukan memerlukan kesemua anggota panel meletakkan jawatan pada masa yang sama.
“Ini keperluan baru,” katanya.
Menurut bekas pesuruhjaya itu, langkah melepaskan jawatan sekali gus adalah mengikut peruntukkan baru dalam Akta Suhakam.
“Bagaimanapun nampaknya ia tidak praktikal... kita perlu kembali kepada amalan asal di mana pelantikan dibuat secara berperingkat-peringkat, bukannya diamalkan sekarang,” katanya.
Oleh itu, Ramon juga berpendapat pelantikan seseorang pesuruhjaya seharusnya dihadkan kepada dua penggal empat tahun ataupun paling tinggi tiga penggal.
“Tempoh pelantikan perlu dihadkan,” katanya.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan “ketiadaan pengisian anggota panel ini, walaupun tiga minggu, ia adalah satu kemalangan (kepada kemajuan hak asasi).”
“Ia sesuatu malang bagi negara kerana gagal memenuhi tujuan penubuhan Suhakam,” kata beliau sambil menambah, bagi mengelakkan masalah ini berulang soal pelantikan seharusnya diuruskan oleh jawatankausa Parlimen.
“Saya menggesa Perdana Menteri membawa soal pelantikan ini kepada jawatankuasa Parlimen untuk mengesyorkan nama-nama calon yang sesuai kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diberikan perkenan,” katanya.
Pokoknya, tegas Ahli Parlimen Pokok Sena ini, tidak harus ada kelewatan sama sekali dalam soal pemilihan anggota Suhakam.
Prof Madya Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia melihat, oleh kerana Suhakam merupakan satu badan yang penting kerajaan harus membuat pelantikan lebih awal atau membiarkan barisan pesuruhjaya kekal sebagai “caretaker” bagi membolehkan urusannya berjalan secara berterusan.
“Adalah penting kita membuat pelantikan lebih awal sebelum barisan semasa mengakhiri tempoh khidmat mereka.
“Ia penting untuk menguruskan isu-isu yang diadu kepada Suhakam, contohnya kes remaja ditembak mati,” katanya.
Pelantikan pesuruhjaya Suhakam dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Difahamkan ini kali pertama kesemua pesuruhjaya meletakkan jawatan masing-masing.
Pelantikan tersebut dibuat mengikut peruntukan subseksyen 5 (1) Akta Suhakam 1999.
Mereka yang dilantik pada April 2008 ialah Tan Sri Abu Talib Othman selaku pengerusinya, Tan Sri Simon Sipaun, Dr Chiam Heng Keng, Dr Mohammad Hirman Ritom, Tan Sri Asiah Abu Samah, Datuk Dr Raj Abdul Karim, Datuk Dr Abdul Monir Yaacob, Datuk N. Siva Subramaniam, Datuk  Choo Siew Kioh, Tunku Datuk Nazihah Tunku Mohamed Rus, Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim, Datin Paduka Zaitoon Othman, Datuk Dr Denison Jayasooria, Datuk Dr Michael Yeoh; Datuk Khalid Ibrahim dan Datuk Muhammad Shafee.
Abu Talib merupakan Pengerusi Suhakam sejak 2002.
Mengikut Subseksyen 5 (3) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, “anggota-anggota suruhanjaya hendaklah dilantik dari kalangan tokoh terkenal termasuk mereka yang datang daripada berbagai latar belakang agama dan kaum”.-The Malaysian Insider

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails