BREAKING NEWS

SPR telah memindahkan lokasi mengundi13,000 pengundi di Hulu Selangor secara tidak sah.

KUALA LUMPUR, 20 April — Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh menggesa panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar meletakkan jawatan ekoran isu pemindahan lokasi mengundi membabitkan lebih 13,000 pengundi di Hulu Selangor.
PKR mendakwa SPR mengubah pusat pengundian yang dikhuatiri akan menjejaskan 13,488 pengundi di bahagian Hulu Selangor yang dimenangi calon PKR dengan majoriti tipis dua tahun lalu.
PKR percaya tindakan mengubah tempat mengundi bertujuan mencetuskan suasana kelam-kabut pada hari pengundian 25 April ini.
Ahli Parlimen Kuantan ini berkata tindakan SPR itu sebagai “tidak bijak dan tidak bertanggungjawab” kerana menyebabkan kekeliruan.
“Setakat ini SPR memberikan kenyataan mengelirukan. Pengerusi memberitahu bahawa ‘kami perlu mengubah demi keselesaan pengundi’ manakala timbalan pengerusi pula berkata dakwaan saya tidak masuk akal,” katanya.
“SPR perlu bertanggungjawab. Bagaimana SPR akan memaklumkan kepada pengundi? Sehingga kini, mereka hanya menyiarkan di laman web.
“Atau mereka menghantar surat kepada pengundi sebab SPR tidak melakukan apa-apa. Malah mereka menafikan perkara ini berlaku,” kata Fuziah kepada pemberita di lobi Parlimen.
Hari ini Fuziah membawa salinan daftar pemilih dari daftar pemilih 2008 dan 2010 dan menunjukkan bahawa pusat pengundian yang diubah ini melibatkan lebih 13,000 pengundi.
Sambil menyifatkan perubahan pusat mengundi melibatkan lebih 13,000 pengundi didakwa PKR sebagai tidak masuk akal, SPR menafikan pihaknya sengaja memindahkan lokasi pengundian pengundi-pengundi berkenaan.
“Tidak mungkin berlaku. Kalau berlaku pun angka 13,000 adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Wan Ahmad mempertahankan bahawa jika pun perubahan itu berlaku ia semestinya melibatkan proses permohonan oleh pengundi-pengundi terbabit.
“SPR ataupun pegawai suruhanjaya dengan sengaja tidak boleh mengubah tempat mengundi seseorang pengundi. Ia mesti berdasarkan permohonan daripada pengundi sendiri, di mana pengundi sendiri kena muncul (hadir di kaunter) untuk membuat permohonan perubahan tempat mengundi,” kata beliau lagi.
“Seratus peratus SPR tidak terlibat, pegawai SPR pun tidak boleh sesuka hati memindahkan seseorang,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau meminta PKR membuktikan dakwaan bahawa lebih 13,000 pengundi telah ditukarkan tempat mengundi sepanjang dua tahun lalu.
PKR mendakwa pemindahan melibatkan ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor.
Di DUN Hulu Bernam, ia melibatkan pengundi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Bernama ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Hulu Bernam (35 pengundi), dari Sungai Selisik ke SK Gesir Tengah (331), dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalumpang ke SRA Kalumpang (235) dan SRA Hulu Bernam ke SK Hulu Bernam (Ladang Ascot) melibatkan 1,085 pengundi.
Dalam DUN Kuala Kubu Baru pula, pemindahan melibatkan dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Kuala Kubu Baru ke SMK Dato’ Haji Kamaruddin (2,824) dan SRA Kuala Kubu Baru ke SMK Kuala Kubu Baru Jalan Kolam Air (1,801).
Di DUN Batang Kali pula, dari SK Serendah ke SRJK Cina Serendah (751), SRJK Cina Serendah ke SRA Serendah (1,898), SRJK Cina Serendah ke SK Serendah (906) dan SMK Syed Mashor ke SK Bandar Baru Batang Kali (2,270).
Selain itu, pusat mengundi baru di SRA Taman Bunga Rakyat melibatkan pemindahan dari daerah mengundi Bukit Beruntung ke SRA Taman Bunga Raya (5,501), Taman Bunga Raya ke SRA Taman Bunga Raya (302) dan kawasan sekitar melibatskan 498 pengundi.
Kawasan pilihan raya Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.
PKR menggesa SPR memastikan proses pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Ahad ini berjalan lancar berikutan pemindahan pusat pengundian lebih 14,000 pemilih di kawasan itu oleh SPR.
Fuziah berkata tindakan SPR memindahkan pengundi terbabit ke pusat pengundian yang baru berbanding ketika pilihan raya umum 2008 tanpa memaklumkan kepada pengundi, boleh menimbulkan kekecohan pada hari pengundian.
“Kita mendapat tahu perkara ini (pertukaran pusat pengundian) selepas menerima senarai daftar pemilih pada 8 April lepas dan jumlah ini adalah besar.
“Jika tidak dimaklumkan kepada pengundi dalam tempoh terdekat kita yakin banyak masalah akan timbul (pada hari pengundian),” katanya.-Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani/themalaysianinsider

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails