BREAKING NEWS

Rakyat hanya mahukan keadilan dan ketelusan


  
Sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah kerajaan yang tidak berupaya untuk berdepan dengan rakyat melalui hujah dan fakta akan menggunakan kuasa dan kekerasan untuk mempertahankan kuasa mereka.

Banyak kerajaan melakukan skrip yang sama bila rakyat bangkit mempersoalkan kezaliman, ketidakadilan, ketidaktelusan dan sebagainya yang dilakukan oleh kerajaan.

Sesebuah kerajaan yang zalim dan tidak adil, tentu tidak mempunyai hujah untuk menjawab isu yang disuarakan rakyat.

Itulah yang berlaku kepada BN pada hari ini yang menggunakan kekuasaan yang mereka ada untuk menghalang program-program PR seperti ceramah, dialog, jamuan dan sebagainya.

Sejak akhir-akhir ini ceramah dihalang dan diganggu atas alasan tiada permit sedangkan ianya diadakan dalam premis persendirian.

Walaupun sudah banyak kes mahkamah memihak kepada penganjur ceramah tetapi pihak berkuasa terus juga melakukan gangguan dan menyekat ceramah seumpama itu.

Terbaru program menyambut ulang tahun pemerintahan PR kali kedua disekat dan dihalang walaupun ianya di adakan di premis kerajaan negeri Selangor.

Selain itu semalam AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman ditangkap atas alasan menceroboh kawasan Felda sedangkan beliau diundang untuk berdialog oleh peneroka Felda terbabit di dalam rumah persendirian.

Ini semua adalah rentetan menghalang rakyat mendapatkan maklumat dan ilmu dari sumber alternatif kerana rakyat sudah muak dan mual dengan media arus perdana yang berat sebelah dan tidak telus.

Saya mengharapkan pihak berkuasa bersikap profesional semasa menjalankan tugas bukannya bertindak tanpa berpegang kepada undang-undang yang ada serta budi bicara yang ikhlas.

Rakyat bukannya ingin berlawan dengan sesiapa, apa yang rakyat mahukan ialah keadilan dan ketelusan serta kesejahteraan. -Sofi Wahab/mkini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails