BREAKING NEWS

Tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran cubaan membakar setakat ini.



MAFIABOSS ONLINE:
Tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran cubaan membakar setakat ini, bagaimanapun keadaan adalah terkawal, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

Beliau berkata selain gereja di Miri, kes terbaru turut membabitkan gereja All Saints dan pos pengawal Sekolah Menengah Convent di Taiping, Perak.

"Keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir dan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan laporan-laporan di internet serta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program motivasi pendidikan di bawah program Juara Rakyat di tapak ekspo Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dekat Rawang hari ini.

Ditanya sama ada rentetan kejadian itu ada kaitan dengan pihak ketiga, beliau berkata memang ada pihak tertentu yang cuba melakukannya, tetapi "sama ada ia berkisar kepada masyarakat setempat, itu akan saya maklumkan kemudian."

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima secara total laporan media asing dan internet mengenai insiden membakar gereja kerana menurutnya, berita yang dilaporkan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Hishammuddin berkata terdapat segelintir media asing yang memberi gambaran kurang tepat, malah menggembar-gemburkan kejadian itu seolah-olah keadaan di negara ini tidak terkawal.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan taklimat kepada para perwakilan kedutaan asing di negara ini bagi menerangkan kedudukan sebenar isu tersebut.

"Kita kena beri penjelasan kepada masyarakat luar negara kerana ada warga kita di luar sana yang mahu tahu perkembangan sebenar kerana isu ini sering digembar-gemburkan pihak-pihak tertentu, termasuklah apa yang diambil daripada internet.

"Saya bimbang gambaran yang diberikan itu tidak tepat. Jadi KDN telah memanggil wakil daripada kedutaan dan saya sendiri akan berjumpa dengan duta-duta untuk menerangkan apa yang sebenarnya berlaku.

"Memandangkan mereka perlu memberi gambaran sebenar kejadian itu kepada kerajaan masing-masing, mereka perlu mendapat maklumat yang sahih daripada kerajaan," katanya.

Hishammuddin juga memberi ingatan kepada pihak yang cuba melibatkan Umno dan kerajaan dalam isu tersebut supaya menghentikan perbuatan itu, dan memikirkan sebaik-baiknya kerana mereka akan dipertanggungjawabkan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.

"Tuduhan mengatakan Umno sebenarnya di belakang semua kejadian ini merupakan satu fitnah yang amat dahsyat dan akhirnya orang akan tahu kerana kita telah mempunyai maklumat-maklumat tertentu berhubung siapa yang terlibat," katanya.

Sementara itu, upacara sembahyang bagi penganut agama Kristian yang diadakan setiap Ahad di kesemua gereja di ibu kota hari ini berjalan dengan aman dan terkawal.

Ketua Paderi Gereja St John's Cathedral Bukit Nenas, yang merupakan antara gereja terbesar di Kuala Lumpur, Monsighor James Gnanapirasagam berkata walaupun terdapat beberapa insiden cubaan membakar gereja di beberapa tempat di negara ini sejak Jumaat, upacara "mass" hari ini berjalan seperti biasa.

Beliau berkata dengan adanya beberapa aggota polis yang ditempatkan di sekitar kawasan itu telah mewujudkan keadaan yang lebih aman dan terkawal.

"Kami amat berterima kasih kepada polis, dan menghargai tangggungjawab mereka dalam menjamin keselamatan semasa mass pagi ini.

"Sudah tentu kami merasa bimbang selepas beberapa gereja diserang sejak beberapa hari lepas.Bagaimanapun orang ramai tetap datang ke gereja," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berharap rakyat Malaysia akan terus saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan kepercayaan, dan memastikan negara sentiasa aman dan selamat.

Beliau berkata setiap Ahad, gereja itu mengadakan tiga sesi "mass" iaitu pada pukul 8 pagi, 10.30 pagi dan 6 petang.

Sementara itu, Micheal Joseph, 32, yang ditemui selepas bersembahyang di gereja itu berkata pada awalnya beliau takut untuk berkunjung ke gereja itu sehingga melihat beberapa anggota polis ditempatkan di kawasan tersebut.

"Bagi saya protes sebegini perlu dielakkan kerana ia boleh dibincang secara baik oleh pihak-pihak tertentu. Apa yang penting ialah minda yang lebih terbuka perlu diamalkan oleh rakyat Malaysia," katanya.

Bagi Charlene Clarisse, 33, berkata: "Sudah lama kita hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang kaum dan agama dan janganlah disebabkan hanya mengikut perasaan ada orang lain yang cedera.

"Sebagai orang awam, kita tidak sepatutnya menimbulkan provokasi serta menilai siapa yang betul dan siapa yang salah dalam kes ini," katanya.

Solomon Pagar, 45, pula mengakui beliau risau dengan keadaan yang berlaku kerana ia melibatkan ketenteraman awam yang selama ini dapat dikekalkan oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Walaupun perasaan bimbang menghantui diri saya terutama apabila mahu pergi ke gereja tetapi saya percaya pada undang-undang yang telah diperuntukkan untuk mengatasi masalah ini," katanya -mkini

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails