BREAKING NEWS

Ummi mengaku bahawa dialah dalang di sebalik dakwaan liwat terhadap Anwar yang merupakan tuduhan palsu semata-mata.



MAFIABOSS ONLINE:
THE CORRIDORS OF POWER

Raja Petra Kamarudin


Semasa perbicaraan sebelum ini, keterangan-keterangan yang diberikan menunjukkan bahawa Cawangan Khas cuba meyakinkan Anwar untuk "mengambil tindakan". Tetapi Anwar enggan, hinggalah Pengarah (Cawangan Khas) mendesaknya, atas alasan "demi keselamatan negara". Selepas itu, barulah Anwar bersetuju agar tindakan diambil.....

Tali konspirasi terungkai satu persatu, yang mana ia kini meletakkan Ummi Hafilda Ali sebagai dalang di sebalik dakwaan bahawa Anwar meliwat Azizan Abu Bakar. Ekoran itu, bapanya sendiri tidak mengakunya sebagai anak. Ini berlaku beberapa bulan sebelum ayahnya meninggal disebabkan patah hati.

Christopher Fernando memberitahu Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur bahawa Pengarah Cawangan Khas, Said Awang, menemui Azmin Ali, (abang Ummi dan juga Ketua Setiausaha Sulit Anwar pada masa itu) bagi meminta Azmin memujuk Ummi supaya menarik balik tuduhannya bahawa Anwar telah meliwat Azizan.

Apa yang menarik berkenaan dengan perkara ini adalah:

1. Said Awang menemui Azmin SEBELUM dia bertemu dengan Anwar. Jadi, tuduhan bahawa Anwar menyalahgunakan jawatannya bagi memanggil Cawangan Khas, dan bahawa beliau menyuruh mereka memaksa Ummi dan Azizan untuk menarik balik tuduhan liwat terhadapnya adalah suatu salah anggapan. Sebaliknya, bukan Anwar yang memanggil Said Awang untuk menemuinya, tetapi Pengarah Cawangan Khas itulah yang mengambil inisiatif untuk bertemu dengan Anwar.

2. Idea untuk memujuk Ummi dan Azizan untuk menarik balik tuduhan liwat datang daripada pihak Cawangan Khas dan bukannya Anwar. Semasa perbicaraan sebelum ini, keterangan-keterangan yang diberikan menunjukkan bahawa Cawangan Khas cuba meyakinkan Anwar untuk "mengambil tindakan". Tetapi Anwar enggan, hinggalah Pengarah (Cawangan Khas) mendesaknya, atas alasan "demi keselamatan negara". Selepas itu, barulah Anwar bersetuju agar tindakan diambil.

3. Cawangan Khas menyedari bahawa Ummi adalah dalang di sebalik dakwaan liwat itu, manakala Azizan hanyalah kuda tunggangannya. Itulah sebabnya mereka ingin abang Ummi, Azmin, untuk memujuk Ummi supaya menarik balik tuduhan itu.

Ini konsisten dengan prosiding pada hari sebelumnya, di mana Fernando mendedahkan bahawa Azizan memberi keterangan bersumpah sebanyak tiga kali, yakni bahawa Anwar tidak pernah meliwatnya - pengakuan yang turut memeranjatkan hakim perbicaraan.

Fernando menyatakan bahawa Said menemui Azmin untuk bertemu dengan Anwar Ibrahim. Dalam pertemuannya dengan Azmin, Said meminta pengesahan Azmin bahawa Ummi adalah adiknya. Azmin mengesahkannya.

Kemudian, Said Awang bertanya kepada Azmin sama ada beliau bersetuju untuk cuba memujuk adiknya untuk menarik balik tuduhan liwat terhadap Anwar ataupun tidak. Tetapi menurut Azmin, itu mustahil dilakukannya kerana semenjak dakwaan tersebut timbul, dia tidak lagi bertegur sapa dengan Ummi.

Cawangan Khas sedar bahawa Ummi adalah dalang di sebalik dakwaan tersebut. Ketika perbincangan antara pihak Cawangan Khas dan Azmin berlangsung, Cawangan Khas belum lagi berjumpa dengan Anwar.

Azmin kemudiannya memanggil perjumpaan keluarga bagi membincangkan isu itu. Secara keseluruhannya, tiga pertemuan diadakan, yang mana Ummi juga menghadirinya.

Pada mulanya, Ummi menafikan bahawa dia telah menulis surat kepada Perdana Menteri, yang mana surat itu memuatkan tuduhan liwat terhadap Anwar. Selepas itu, Azmin menasihatkan adiknya supaya tidak terlibat dalam konspirasi itu. Pada masa itulah Ummi mengatakan adalah mustahil baginya berbuat demikian kerana dia dijanjikan dengan wang dan kontrak bagi peranannya itu. Malah wang sudah pun bertukar tangan.

Ummi kemudiannya mengaku kepada ayahnya bahawa dia terlibat dalam konspirasi itu, yang mana dialah yang telah menulis surat tersebut kepada Perdana Menteri. Ayahnya yang juga seorang guru agama kemudiannya tidak lagi menganggapnya sebagai anak. Tidak lama kemudian, ayahnya meninggal dunia kerana patah hati, dan tidak pernah memaafkan Ummi atas apa yang telah dilakukannya.

Melalui keterangan yang diberikan di mahkamah, jelaslah bahawa surat Azizan kepada Perdana Menteri itu sebenarnya ditulis oleh Ummi. Ummi mengakui akan hakikat ini. Azizan pula mengaku bahawa Anwar tidak meliwatnya.

Namun begitu, ketika Pembelaan cuba untuk membentangkan bukti yang sangat penting ini semasa perbicaraan, hakim perbicaraan tidak membenarkannya. Beliau enggan membenarkan surat itu untuk diterima sebagai bukti. Beliau juga tidak membenarkan Ummi dipanggil untuk memberi keterangan.

Peranan Ummi dalam konspirasi itu sudah terang, lagi bersuluh. Adalah jelas bahawa tuduhan liwat terhadap Anwar adalah palsu semata-mata. Sejurus sebelum dia meninggal dunia, ayah Ummi menulis surat terbuka kepada Harakah, yakni sebuah akhbar pembangkang. Dalam surat itu, dia menjelaskan mengenai isu ini dan dengan tegas menuduh bahawa Ummi terlibat dalam konspirasi untuk menjerat Anwar, dan dialah orang yang menulis surat kepada Perdana Menteri.

Sekiranya hakim perbicaraan menerima bukti yang penting ini, maka Fernando berhujah bahawa ia pasti mengubah seluruh corak kes dan hakim berkenaan akan menghadapi kesukaran bagi memutuskan bahawa Anwar bersalah.

Usaha demi usaha dilakukan bagi membabitkan Anwar dalam salah laku seksual, bahkan Pak Lah juga turut terlibat.

"Terdapat rancangan jahat bagi mendapatkan sabitan melalui cara-cara yang licik," kata Christopher Fernando pada hari kedua sidang dengar rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur.

Fernando kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa usaha demi usaha dilakukan bagi membabitkan Anwar dalam salah laku seksual.

Contohnya adalah insiden yang berlaku kepada Dr. Munawar Ahmad Anees, iaitu salah seorang penulis ucapan Anwar. Bagi memaksanya mengaku bahawa beliau mempunyai hubungan homoseksual dengan Anwar, beliau ditahan dan diseksa secara fizikal dan mental.

Selepas itu, Fernando menjelaskan kepada mahkamah tentang afidavit panjang yang ditandatangani oleh Dr. Munawar pada 7 November 1998. Afidavit itu mengandungi butiran mengenai pengalaman yang dilaluinya semasa ditahan oleh polis Malaysia.

Disebabkan penyeksaan yang dahsyat, dia akhirnya mengaku melakukan ‘jenayah’ (yang membabitkan Anwar). Namun dia kemudiannya menarik balik pengakuan itu dalam afidavitnya.

Seterusnya, Fernando meminta mahkamah merujuk kembali kepada isu berkenaan dengan Manjeet Singh Dhillon yang dibangkitkan di mahkamah pada hari sebelumnya. Ini dilakukan bagi menegaskan hujahnya, iaitu berhubung dengan usaha-usaha yang dilakukan bagi memerangkap Anwar.

Fernando lantas meminta mahkamah untuk mengesyorkan supaya Suruhanjaya Diraja bagi Penyiasatan dibentuk untuk menyiasat tuduhan serius Manjit Singh Dhillon terhadap Abdul Gani Patail dan Azhar Mohamad. Ini kerana ia adalah perkara yang amat serius, yang menjejaskan pentadbiran keadilan dan kedaulatan undang-undang.

"Kalau mereka ternyata tidak terlibat dalam memeras ugut bagi memalsukan bukti, maka nama mereka akan dibersihkan," kata Fernando. "Ini menguntungkan mereka."

"Kalau mereka terlibat, maka mereka perlu didakwa. Itulah satu-satunya cara bagi menyelesaikan masalah yang mendesak ini dan juga bagi memulihkan kepercayaan rakyat."

Adalah jelas bahawa terdapat usaha terancang bagi menjerat Anwar. Namun usaha ini tidak hanya terhad di Malaysia. Malah ia melibatkan usaha yang dilakukan di Amerika Syarikat, kata Fernando. Misalnya adalah insiden yang melibatkan Jamal Abder Rahman.

"Kami sedang cuba untuk menunjukkan corak, yakni bagaimana saksi didatangi bagi memberikan keterangan palsu, dan konspirasi ini menjangkau hingga ke Amerika Syarikat," kata Fernando.

Jamal adalah warganegara Amerika dari keturunan Arab yang mengendalikan perkhidmatan limusin di Washington DC. Dia mendapat kontrak bagi menyediakan perkhidmatan limusin kepada Kedutaan Malaysia di Washington.

Pada September 1998, iaitu tidak lama selepas pemecatan Anwar dan penangkapannya, seorang diplomat Malaysia, Mustapha Ong, meminta Jamal mengaku bahawa dia telah mendapatkan perempuan dan budak lelaki untuk Anwar.

Sumber Asal: http://malaysia-today.net


Post a Comment

Related Posts with Thumbnails