BREAKING NEWS

SIAPA SEBENARNYA PEMECAH PERPADUAN MELAYU?

Sejak akhir-akhir ini, media cetak dan elektronik yang didokongi oleh Umno/BN memainkan isu perpaduan dengan menggambarkan bahawa PAS bertanggungjawab terhadap perpecahan di kalangan orang Melayu. Sebaliknya pula, Dr Mahathir dan Umno diberi publisiti seluas-luasnya oleh media massa, seolah-olah merekalah yang hanya berjuang ke arah perpaduan bangsa Melayu.

Serentak itu, media massa yang sama, turut memaparkan bahawa tindakan Dr Mahathir dan Umno itu seolah-olah mendapat sokongan daripada Raja-Raja Melayu. Malah Dr Mahathir sendiri pernah mendakwa, yang kemudiannya dinafikan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz, bahawa kononnya Raja-Raja Melayu di dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja bersetuju mengambil tindakan tertentu bagi menangani masalah perpecahan umat Islam.

Dalam hal ini seolah-olah digambarkan Umno telah bersama Raja-Raja Melayu menjuarai perpaduan sedangkan PAS menjadi petualang. Sedangkan jika dirujuk kepada berita-berita lama ketika isu Pindaan Perlembagaan Persekutuan 1993, Umno telah meletakkan Institusi Raja-Raja sebagai bebanan bangsa. Berbalik kepada isu perpecahan dan perpaduan Melayu, benarkah Umno dan Dr Mahathir juara perpaduan seperti yang dicanangkan media itu dan PAS punca perpecahan?

Menyingkap kembali lipatan sejarah, kita akan dapati faktor Dr Mahathir sendiri yang banyak menyumbang kepada berlakunya perpecahan di kalangan orang Melayu, khususnya kepada parti Umno itu sendiri. Berikut adalah kronologi peristiwa-peristiwa menyebabkan berlakunya perpecahan berulang kali di kalangan orang Melayu. Lawan Tunku Tunku Abdul Rahman pernah menyingkirkan Dr Mahathir daripada Umno selepas peristiwa penyebaran "surat terbuka".

Selepas disingkirkan, Dr Mahathir semakin lantang mengkritik Tunku dan kerajaan dari luar. Krisis Dr Mahathir - Tunku itu menyemai bibit perpecahan di kalangan ahli Umno dan orang Melayu buat pertama kali sejak mencapai kemerdekaan. Pandangan Dr Mahathir yang "ultra - Nationalist" dianggap Tunku dan kebanyakan pemimpin masyarakat sebagai mengancam kestabilan dan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Umno Diharamkan Pada pemilihan pucuk pimpinan parti Umno pada tahun 1987, Dr Mahathir dicabar sengit oleh Team B yang diketuai oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Team Dr Mahathir hampir kalah dan cuma mampu akhirnya menang dengan hanya 43 undi. Selepas kegawatan pemilihan itu, kepimpinan beliau didakwa membiarkan sahaja Umno diharamkan dengan tujuan membendung pengaruh Tengku Razaleigh.

Akibat peristiwa Umno diharamkan itu, Ku Li dan pengikutnya telah bertindak menubuhkan Parti Melayu S46. Dengan itu orang Melayu yang menganggotai Umno sebelum itu kini berpecah dua kepada Umno Baru dan S46. Pindaan Perlembagaan Selepas peristiwa Umno berpecah, tercetus pula polemik antara Dr. Mahathir dan Umno dengan Raja-Raja Melayu berhubung tindakan untuk meminda Perlembagaan yang menghadkan kuasa Raja-Raja. Tindakan ini dilihat sebagai cubaan menghakis kuasa Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

Polemik berkenaan meletakkan orang Melayu dalam suasana gelisah dan serba salah berhubung masa depan di negara sendiri. Apa yang menarik ialah, seperti sekarang juga, media massa pada masa itu dipergunakan sepenuhnya untuk menyiarkan liputan meluas berita-berita yang begitu negatif terhadap Raja-Raja Melayu. Penyingkiran DSAI Pada 1998, apabila konspirasi peringkat tertinggi dicetuskan untuk menyingkirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap ancaman kepada kedudukan Dr Mahathir, ini sekali lagi menyebabkan berlakunya perpecahan.

"History revisited" - sejarah berulang kembali. Akibat tindakan zalim terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu berlakunya pergerakan keluar tokoh-tokoh, terutamanya golongan muda, dari Umno/BN. Ramai juga penyokong DSAI di pelbagai peringkat, sama ada di dalam atau di luar parti, kerajaan mahupun swasta yang disingkirkan. Maka orang Melayu berpecah sekali lagi. Kebanyakan pemerhati politik mengatakan bahawa perpecahan yang dicetuskan akibat dari penyingkiran DSAI dari politik dan kerajaan adalah perpecahan yang paling serius dihadapi oleh orang Melayu.

Tidak pernah berlaku perpecahan bangsa Melayu sedemikian rupa semenjak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. UMNO Tidak Berdaya Daripada kronologi peristiwa di atas, jelaslah perpecahan yang berlaku berulang kali kepada UMNO dan orang Melayu khususnya, boleh disimpulkan berpunca daripada tindakan Dr Mahathir mempertahankan kuasa dan pengaruhnya. Ini berlaku pada tahun 1987 dan berulang sepuluh tahun kemudian dalam kes DSAI. Oleh sebab perpecahan demi perpecahan yang melanda itu UMNO telah kehilangan daya hayatnya.

Ini jelas terbukti pada pilihan raya lalu, apabila hampir 70% orang Melayu memberi undi mereka kepada Barisan Alternatif, terutama PAS. UMNO kini tidak berdaya kerana mereka tidak boleh melawan hujah kebenaran yang dibawa oleh PAS dan Barisan Alternatif. Keadaan ini samalah seperti peristiwa yang berlaku antara Namrud dengan Nabi Ibrahim dan Firaun dengan Nabi Musa a.s. Namrud dan Firaun tetap tidak menerima kata-kata kebenaran itu sehinggalah ke saat kehancuran mereka.

Dalam usaha menyembunyikan kelemahan diri sendiri, kekuasaan digunakan untuk melakukan ketidakadilan, termasuk melemparkan fitnah seperti pembangkang membawa unsur keganasan. Selepas isu perpecahan Melayu, kini, nampaknya isu semasa yang "ditiupkan" telah bertukar arah kepada menggambarkan bahawa parti pembangkang ini seolah-olah "menaja" keganasan. Peristiwa Ketua cawangan dan Setiausaha UMNO sebuah cawangan di Sanggang dipukul diberikan liputan media massa yang meluas.

Sekali lagi PAS dijadikan "kambing hitam" tanpa siasatan yang terperinci. Namun, peristiwa hitam termasuk pembunuhan Samad Gol, Peristiwa Lubuk Merbau dan Memali adalah antara contoh konkrit keganasan politik yang pastinya tidak dilakukan oleh PAS atau mana-mana parti pembangkang. PAS pupuk perpaduan Dalam isu perpaduan Melayu ini, sejarah juga telah membuktikan bahawa PAS telah 'participate' dalam mengekalkan perpaduan bangsa dan kesejahteraan negara.

Selepas berlakunya peristiwa 13 Mei yang menggugatkan kedudukan kaum Melayu, PAS telah mengambil langkah drastik dengan bersetuju menganggotai kerajaan campuran dengan Umno. Di sini PAS telah berkorban dengan tidak mengendahkan kemahuan para penyokongnya yang menentang tindakan itu.

Namun kepimpinan PAS masa itu yang memikirkan kepada perpaduan Melayu dan kepentingan nasional telah bersetuju menganggotai Kabinet Allahyarham Tun Abdul Razak. Hakikatnya, PAS pernah menyumbang kepada perpaduan Melayu serta berjasa kepada bangsa dan negara. Ketika institusi Di Raja dikritik hebat ketika memuncaknya krisis perlembagaan dahulu, PAS berdiri teguh di belakang Raja-Raja Melayu. Oleh itu, jangan berterusan menghukum PAS di atas pelbagai dakwaan dan fitnah tanpa merujuk dahulu kepada sejarah negara ini.

Berdasarkan situasi politik masa kini, dengan menguasai dua negeri dan beberapa kerusi di negeri-negeri lain, tidak dapat dinafikan PAS adalah komponen penting kepada kestabilan di negara ini. Realiti sejarah juga membuktikan bahawa selepas 10 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, masyarakatnya menjadi model keharmonian penghidupan masyarakat berbilang kaum tanpa prejudis kepada mana-mana bangsa mahupun agama.

By:Annual Bakhri Haron

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails