BREAKING NEWS

Pemimpin Umno hanya seronok cipta slogan

KUALA KRAI- Pemimpin Umno dianggap tidak pernah puas mencipta slogan baru bagi menarik sokongan rakyat, biar pun ia tersasar jauh daripada matlamat diharapkan.


Ini terbukti slogan Bersih, Cekap Amanah pada era Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mencapai sasaran, begitu juga Bekerja Bersama Saya dicipta Tun Abdullah Ahmad Badawi juga tersasar.

Dan lebih malang lagi apabila hanya 100 hari pertama di bawah Dato' Seri Najib Razak slogan diciptanya Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan sudah dipersendakan rakyat.

Anggota parlimen Shah Alam, Ir Abdul Khalid Samad berkata, sejak awal pemerintahan kerajaan BN sehingga sekarang sudah berpuluh kali bertukar slogan.

"Begitu juga dengan slogan Manek Urai Diutamakan pada kempen pilihan raya kecil 14 Julai lalu tidak lebih sebagai satu sandiwara sahaja," katanya pada satu program di sini, baru-baru ini.

Abdul Khalid pernah bertanding di Parlimen Kuala Krai pada 1978, di mana ketika itu Allahyarham Ismail Yaacob bertanding di Dun Manek Urai buat kali pertamanya.

Katanya, ketika itu Umno sudah pun menabur pelbagai berjanji untuk membangunkan Kelantan sebagai mainan politik mereka sahaja.

Menurut beliau perkara itu dapat dibuktikan apabila BN tewas di Kelantan pada 1990, kerajaan BN telah mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan dengan menafikan hak yang sepatutnya diberi terus kepada kerajaan negeri.

"Kalau beriya sangat mengutamakan slogan Manek Urai Diutamakan, pulangkan duit royalti minyak kepada rakyat di negeri ini memandangkan pelantar carigali minyak terdapat di perairan Kelantan," katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menter, Dato' Zaid Ibrahim berkata, beliau rela dipecat daripada Umno kerana mahu memperjuangkan kebenaran bersama rakyat.

"Saya dipecat kerana berpegang kepada prinsip yang salah patut ditegur. Misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dihapuskan.

"Saya bersyukur kerana perjuangan saya masih dapat digerakkan bersama KeADILan dan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat ," katanya.

Sementara itu di majlis lain anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali berkata, rakyat di Manek Urai telah membuat keputusan menolak BN biar pun mereka bekerja keras merampas semula Dun berkenaan.

Katanya, rakyat mulai sedar Umno hanya bercakap membela Melayu di mulut sahaja sedangkan dari segi tindakan mereka sendiri menghancurkan bangsa Melayu.

"Pemimipin Umno tidak ikhlas memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam. Ini dapat dilihat apabila mereka sanggup bertindak membunuh tulisan jawi sedangkan ia menjadi identiti bangsa kita.

"Tidak cukup dengan tindakan itu kerajaan BN melaksanakan pula dasar pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris," ujarnya.

Selain itu katanya, bantuan kepada sekolah agama rakyat telah dihentikan semasa di bawah era Dr Mahathir sehingga menyebabkan ada sekolah terpaksa ditutup.

"Kalau nak kata pejuang Islam, tapi geran sekolah agama rakyat ditarik. Rakyat Kelantan mesti tidak lupa isu tersebut," katanya.

Beliau turut mendedahkan kerajaan BN masih membiarkan hampir 2,000 hotel bertaraf lima bintang beroperasi tanpa membuat permohonan sijil halal. - mj

Sumber:harakahdaily




Post a Comment

Related Posts with Thumbnails