BREAKING NEWS

"Tragedi 13 Mei" Melanda Negeri Terengganu



Hanya beberapa jam selepas majlis mengangkat sumpah Menteri Besar baru Terengganu, bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar Umno.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta.

Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Kijal," katanya dalam surat yang diemelkan kepada AstroAWANI lewat malam tadi.

Langkah Ahmad Said dituruti seorang lagi Adun Umno, Ghazali Taib. Surat perletakan jawatan Adun Ajil itu dari semua jawatan parti dan seterusnya keluar Umno dialamatkan kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan turut diemelkan kepada AstroAWANI.

Salinan surat Ahmad dan Ghazali turut ditujukan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

Ahmad Said telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa Isnin bagi membuka ruang kepada Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai Menteri Besar baru.

Ahmad Razif mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu malam tadi.
Dengan perkembangan terbaru ini, BN dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu dengan PAS menguasai 14 kerusi dan PKR (1).

Baki dua lagi kerusi disandang Ahmad dan Ghazali yang mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber memaklumkan Adun Kemasik dan Adun Bukit Besi juga gagal dihubungi mengakibatkan desas desus bertiup kencang bahawa mereka juga mungkin mengikuti jejak Ahmad dan Ghazali.

Perkembangan terbaru ini meletakkan kerajaan BN negeri seperti di hujung tanduk.

Jika dua Adun Bebas Terengganu ini menjadi ‘mesra Pakatan Rakyat’, besar kemungkinan episod yang  berlaku di Perak pada Februari 2009 berulang di Terengganu.

Dengan kes duluan yang berlaku di Perak yang mengakibatkan kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri apabila dua Adun PKR dan satu Adun DAP  menjadi ‘mesra BN’, apakah kita akan melihat perubahan kerajaan negeri dalam masa terdekat?

Ramai yang terkejut dengan keputusan bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said bertindak keluar dari parti keramat UMNO disaat seluruh negara tertumpu kepada majlis angkat sumpah perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru iaitu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman malam tadi.

Apa tidaknya, Mat Said yang dilihat tidak muncul ketika majlis angkat sumpah Ahmad Razif dihadapan Sultan Mizan Zainal Abdidin di Istana Syarqiyyah, Chendering tiba-tiba umum keluar UMNO. Turut bersama beliau ialah ADUN Ajil, Ghazali Taib.

Tindakan Mat Said dan Ghazali ini memberi tamparan yang cukup hebat kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Dikala UMNO sedang menyambut perayaan ulangtahunnya yang ke-68 semalam, tiba-tiba "Tragedi 13 Mei" melanda negeri Terengganu.

Kedudukan kerusi DUN kini sama iaitu 15-15 akibat tindakan Mat Said menjadi ADUN Bebas. Malah, seandainya mereka berdua bertindak serupa seperti dua ADUN PKR yang lompat parti dan menjadi ADUN Bebas di Perak dulu iaitu Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi.

Jika dulu, Menteri Besar Perak, Ir.Nizar Jamaluddin digulingkan dan Dr.Zambry Kadir diangkat menjadi Menteri Besar yang baru dalam satu krisis politik yang paling dasyat di Malaysia kini apakah ia mungkin berlaku pula di Terengganu?.

Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Nizar dijatuhkan dengan taktik "lompat parti" dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP.

Kini, di Terengganu tragedi yang sama mungkin berlaku bila dua ADUN BN tiba-tiba mengisytiharkan diri mereka ADUN Bebas. Sesuatu yang menakutkan buat PM Najib Tun Razak sebenarnya.

Di Perak dulu, Najib adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang dikatakan terlibat dengan konspirasi itu. Kini, Najib juga yang memperkenankan pertukaran MB Mat Said kepada Ahmad Razif.

Tindakan ini akhirnya memakan diri, bila Mat Said begitu bijak mengambil peluang keemasan untuk mengajar pihak yang menganiaya dirinya. Sesuatu yang memang sudah dijangka, Mat Said pasti akan bersama Pakatan Rakyat dalam masa terdekat ini.

Jika ini berlaku maka Ahmad Razif mungkin akan bergelar Menteri Besar yang paling pendek memegang jawatan tersebut di Malaysia sejak sekian lama.

Jika dulu, rakyat Perak merasai keperitan kuasa kerajaan negeri bertukar daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional. Kini, ia seolah-olah berbalik kepada UMNO pabila Kerajaan Negeri Terengganu pula kemungkinan besar akan bertukar dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Apapun, kesilapan pertukaran Menteri Besar ini harus dijadikan ikhtibar kepada pemimpin UMNO.

Dikala rakyat mahu melihat perubahan jawatan peringkat kabinet tiba-tiba MB Terengganu ditukarkan. Kini, "nasi sudah menjadi bubur" dan apakah Mat Said akan berundur dengan tawaran lumayan atau meneruskan hasratnya. Sama-sama kita nantikan episod seterusnya adegan panas ini.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails