BREAKING NEWS

Teriakan “Hancur Umno, Tumbang BN” Gegar Stadium Sultan Mohammad Ke IV

Lautan manusia memenuhi setiap ruang di Stadium Sultan Mohammad Ke IV,Kota Bharu,Kelantan.



KOTA BHARU: “Hancur Umno, Tumbang BN” bergema dalam suasana Stadium Sultan Mohammad Ke IV sendat dengan lautan manusia. Tiada siapa sangka wakil Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat mampu mengetuai teriakan sambil berdoa selepas solat hajat.

Kenyaringan suara itu menerjah ke awan dalam suasana langit di pagar bintang-bintang, dengan membawa satu mesej menumbangkan kerajaan Umno dan BN.

Baginya, rakyat negara ini tidak sanggup lagi membiarkan jenayah rogol, bunuh, buang anak dan pelbagai lagi terus menghantui masyarakat.

“Apa lagi yang mampu diharapkan kepada Umno. Jadi kita perlu bekerja keras bagi menukar kerajaan yang ada sekarang,” katanya dengan nada yang sekali sekala ada sedunya.

Puluhan ribu menunaikan solat hajat menghantar mesej yang sangat jelas kepada empunya langit dan bumi, mendengar keluhan dan rintihan puluhan ribu rakyat. Mereka mengharap sesuatu kejutan berlaku pada pilihan raya umum ke-13.

Kata beliau tiada sesuatu yang mustahil berlaku seperti pernah terjadi di Kelantan pada 1990, tiada siapa sangka boleh bertukar kerajaan ketika itu.

Himpunan Kebangkitan Rakyat siri II menyaksikan limpahan manusia di Stadium Sultan Mohammad Ke IV, jauh mengatasi kehadiran peminat taksub Red Warriors memenuhi gelanggang sukan itu ketika Kelantan merangkak mendaki juara Piala Malaysia kali kedua.

Gimik berlainan disaksikan pada perhimpunan itu dengan menyaksikan empat wakil NGO muncul dengan agenda masing-masing. Lynas diwakili Clement Chin yang tampil membawa pengharapan supaya kilang nadir bumi di Kuantan gagal menjadi kenyataan.

Kata beliau pihak anti Lynas telah berusaha bermacam-macam cara sehingga membawa ke Mahkamah Rayuan, namun gagal.

“Oleh itu langkah akhir kita akan pastikan kapal yang bakal membawa nadir bumi dari Australia ke Kuantan nanti tidak dapat mendaratkan bahan radio aktif tersebut. Ini semata-mata menyelamatkan generasi anak cucu kita,” katanya, yang kadang-kadang tersekat dengan kelancaran berbahasa Melayu.

Beliau juga mengharap sokongan padu rakyat Malaysia bagi memperjuangkan kehijauan lestari di Malaysia.

Manakala 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Solidariti Hijau tampil dengan diwakili Pengerusnya, Zulkifli Omar mengajak rakyat bebas daripada pencemaran bagi mengelakkan ia memudaratkan rakyat pada masa akan datang.

“Kita hendaklah menyingkirkan kerajaan yang ada hari ini kerana terus membiarkan pencemaran persekitaran berlaku dalam negara,” katana.

Lim Kit Siang pula tampil mengajak rakyat menukar kerajaan yang ada sekarang kerana sudah dipenuhi dengan pelbagai penyakit terutamanya rasuah yang semakin tidak terkawal.

Katanya, indeks rasuah meletakkan Malaysia semakin merudum di mana pada tahun ini berada pada kedudukan ke-60.

Bukan sahaja di sekitar Putik di Pengkalan Chepa hangat dengan suasana muktamar, sebaliknya Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV petang semalam juga dilimpahi kehadiran ramai anak muda.

Lebih 10,000 anak muda yang datang dari seluruh pelusuk negara  menghadiri program berkenaan, bermula solat asar diimamkan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Sebelum itu diadakan perarakan motosikal anak muda yang memakai baju berlogo “R”. Selain itu diseri pula pertunjukkan tarian naga dikendalikan Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan.

Himpunan tambah meriah dengan kehadiran selebriti hijrah Abby Abadi dan Syam Kamikazie. Turut dimeriahkan lagi kehadiran anak-anak muda Orang Asal dari Gua Musang.
 
Himpunan Kebangkitan Rakyat juga dikejutkan dengan kehadiran Presiden Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar menyerah lebih 700 borang bekas-bekas tentera menyertai PAS.

2 comments :

  1. Salam Bro,mudah-mudahan doa yang dibacakan itu akan berbalik kepada orang membacakan dan mengaminkan doa itu.Allah itu Maha Mengetahui !

    ReplyDelete
  2. Ilmu agama mu masih cetek. Baik diam dari memberi komen.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails