BREAKING NEWS

Bekas Peguamcara Negara II Tidak Ingin Terlibat Dalam “Kekotoran” Kerajaan


KUALA LUMPUR, 22 Mei-Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggelar penyertaan bekas pendakwaraya kanan, yang sebelum ini gagal mendakwanya dalam kes liwat, ke pasukan peguamnya sebagai kemenangan simbolik kerana beliau tidak ingin terlibat dalam “kekotoran” kerajaan.

Anwar telah berkata bahawa tuduhan terbaru ke atasnya adalah disebabkan dorongan politik, dan berkata bahawa penyertaan bekas Peguamcara Negara II Datuk Yusof Zainal Abiden ke kumpulan peguamnya adalah “bermakna” dan “perkembangan positif”.

“Saya menerima maklumat bahawa beliau rela menyertai pasukan pembelaan saya, jadi saya sebagai tertuduh telah menghubunginya untuk bantuan,” Anwar memberitahu para wartawan.

“Ini adalah suatu perkembangan positif...saya fikir ada lebih banyak lagi peguam yang menunggu masa untuk menyertai saya juga,” beliau berkata.
“Kehadiran Yusof adalah sangat bermakna kepada saya. Ini menunjukkan bahawa ada seorang dalam kerajaan yang sedar akan ‘kekotoran’ (dalam kerajaan) dan tidak ingin menjadi sebahagian (kekotoran itu).”

Anwar juga berkata jika Yusof betul-betul menganggap Anwar bersalah, bekas peguamcara negara itu tidak akan bersetuju menyertai kumpulan peguamnya.

“Yusof datang dengan komitmen penuh dan prestasinya hari ini adalah bukti bahawa beliau hanya mahu lihat keadilan dilaksanakan,” katanya lagi.

Yusof menyertai kumpulan peguam Anwar, pemimpin pembangkang yang hari ini didakwa menyertai demonstrasi jalanan haram.

Ini merupakan perkembangan yang mengejutkan kerana Yusof telah mengetuai pendakwaan kes Liwat II terhadap Anwar, di mana Anwar telah dibebaskan awal tahun ini.

Yusof telah bersara sebagai bekas peguamcara negara II dari Jabatan Peguam Negara.

“Anwar memanggil saya semalam dan saya tidak teragak-agak,” Yusof memberitahu The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider memahami bahawa hubungan Yusof dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail telah dingin buat suatu masa dan beliau juga telah tidak bersetuju dengan cara pengendalian beberapa kes profil tinggi.

Beliau telah dilihat bergaul dengan peguam lain Anwar pagi tadi.

Pemimpin PKR Sivarasa Rasiah, yang juga seorang peguam, telah mengesahkan dalam satu mesej teks kepada The Malaysian Insider apabila ditanya jika bekas peguam kerajaan itu berada dalam kumpulan peguam ketua de facto PKR itu.

“Sivarasa berkata Yusof sedang membantu peguam utama Anwar, Karpal Singh. Peguam lain yang berada dalam kumpulan Anwar ialah anak Karpal, Ram Karpal Singh Deo dan Sankara Nair.

Anwar, timbalan presiden PKR Azmin Ali dan ketua bahagian PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin telah didakwa hari ini dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April di bawah seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman, kurang dari sebulan selepas akta baru ini yang bertujuan untuk membenarkan perhimpunan awam “selari dengan norma antarabangsa” dilaksanakan.

Kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman boleh mendatangkan saman maksimum RM10,000.

Ketiga-tiga mengaku tidak bersalah ke atas tuduhan melanggar perintah larangan memasuki kawasan Dataran Merdeka ketika Bersih 3.0.

Hakim Mahkamah Sesyen Mahmud Abdullah telah menetapkan 2 Julai sebagai tarikh sebut kes ini.

Oleh Anisah Shukry

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails