Perdana Menteri Flip-Flop
Posted by Unknown on 10:20 PM in AirAsia Korupsi Mas Najib | Comments : 0
KUALA LUMPUR- Lapan bulan lepas, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja meluluskan malah mempertahankan habis-habisan penggabungan MAS-AirAsia walaupun dikritik hebat kerana mempunyai elemen anti-persaingan.
Dalam penggabungan tersebut, saham MAS-AirAsia bertukar tangan di mana pemilik AirAsia mengambil 20 peratus ekuiti di MAS dan Khazanah Nasional mengambil 10 peratus saham di AirAsia.
Perjanjian tersebut disebut-sebut sebagai cara terakhir untuk menyelamatkan MAS, namun ia tidak terjadi, malah prestasi syarikat penerbangan negara itu terus menjunam.
“Sehingga sekarang masih tidak kelihatan jalan keluar,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam satu kenyataannya.
Pada awalnya, pengkritik menyatakan bahawa penggabungan MAS-AirAsia bersifat anti-persaingan di bawah peruntukan Akta Persaingan 2011 sama ada menerusi Kerangka Kolaboratif Komprehensif (CCF) atau sebaliknya kerana ia akan menyebabkan pengurangan penerbangan dan peningkatan harga tiket terbang.
Kerugian MAS pada Disember 2011 sebanyak RM2.52 bilion selepas empat bulan penggabungan telah mengejutkan para pemimpin Barisan Nasional dan Najib.
“Kerugian teruk tersebut kata pengkritik dalaman BN membuktikan kegagalan penstrukturan dan misi menyelamatkan MAS dan tekanan diberikan terhadap Najib untuk membatalkan penggabungan tersebut.
"Sekarang spekulasi hangat bahawa Najib sememangnya serius untuk membatalkan penggabungan tersebut yang dimeterai pada Ogos 2011,” kata Pua.
Berdasarkan laporan The Malaysian Insider, Putrajaya sedang menimbangkan satu entiti khas untuk mengambil alih MAS daripada pemegang saham tersebarnya, Khazanah Nasional Berhad dan Tune Air Sdn Bhd jika Najib tunduk kepada tuntutan Kesatuan Pekerja M (Maseu) untuk membatalkan penggabungan MAS-AirAsia.
“Sikap ambil mudah dan tanpa melakukan penelitian di dalam pentadbiran Najib sebelum apa-apa keputusan sebenarnya adalah lagi mengejutkan daripada kerugian yang ditanggung MAS,” kata Pua.
Pua bertanya samada Najib berfikiran bahawa pengurusan baru yang mula bekerja secara serius semenjak September 2011 mempunyai kuasa sakti untuk membawa MAS ke era keuntungan semula pada masa 3 bulan.
“Realitinya, dari RM1.28 bilion kerugian yang dicatatkan pada suku keempat 2011, RM1.09 bilion adalah hasil daripada peruntukan kewangan yang dibuat untuk barangan seperti stok lapuk dan kemerosotan fret.
"Peruntukan ini adalah legasi yang ditinggalkan oleh pengurusan lepas, dan mesti ditangani dengan kadar segera. MAS tidak mungkin ada hidup yang baru tanpa menyahkan semua ini daripada akaunnya,” kata Pua.
Sikap Najib yang bertukar arah kurang daripada 8 bulan daripada sesuatu keputusan, kata Pua adalah bersamaan dengan pemilik Liga Perdana Inggeris yang menggaji dan memecat seseorang pengurus hanya kerana satu siri kekalahan, kerana mengganggap pengurus tersebut boleh mengubah nasib pasukannya serta merta dengan pemain dan cara yang sama.
“Hakikatnya ialah MAS telah berada dalam keadaan teruk, yang tidak pernah dipulihkan sehingga kini sejak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk menswastakan syarikat penerbangan tersebut kepada Tan Sri Tajuddin Ramli,” kata Pua.
Keputusan tiba-tiba untuk melaksanakan pertukaran saham pada Ogos 2011 dan sekarang secara serius pula untuk membatalkannya sebelum pihak pengurusan dapat melaksanakan apa yang dihajatnya menonjolkan sifat Najib yang suka membuat keputusan terburu-buru.
“Sifat terburu-buru ini memang menjadi ciri-ciri pentadbiran Najib yang terkenal dengan beberapa U-turn dalam polisi beliau, termasuk pemansuhan kuota mengikut kaum dalam Model Ekonomi Baru, U-turn dalam slogan Malaysian First dan janji beliau melaksanakan tender terbuka.
"Akibat daripada ini, ramai pelabur dari dalam dan luar negara telah hilang kepercayaan pada kebolehan beliau dalam melaksanakan reformasi yang boleh mengubah politik dan ekonomi negara.
"Sekarang mereka menganggap Najib sebagai kemungkinan perdana menteri yang paling hebat bertukar fikiran dalam sejarah negara,” sindir Pua.
-Harakahdaily
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment