BREAKING NEWS

Drama Hasan Ali Sudah Tamat




SHAH ALAM Pas pusat memecat pemimpin kontroversi Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebagai ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta - kira-kira sebulan selepas beliau mempertikaikan dasar perjuangan parti Islam itu.
Perkara itu diputuskan oleh parti itu yang mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat hari ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dalam mesyuarat yang diadakan hari ini, pihaknya telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat "keahlian Hasan sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta merta."

"Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Datuk Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas," kata parti itu lagi.
Keputusan ini juga diambil tiga hari selepas Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor, sekali lagi dilihat memberi pandangan membelakangi parti dengan meminta penyokong dan pengikut Pakatan Rakyat tidak menyertai perhimpunan 901 di ibu negara, esok.

Semalam, pemimpin-pemimpin kanan Pas memberitahu Sinar Harian Online bahaw pihaknya akan melihat semula kes melibatkan Hasan pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat parti hari ini ekoran kenyataan terbaru Exco Kerajaan Negeri Selangor itu Khamis lalu.

Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dilihat telah mengeluarkan kenyataan 'melawan arus' apabila meminta pengikut dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) tidak menyertai perhimpunan 901.
Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya berpendirian bahawa isu melibatkan Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia sudah selesai selepas mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lalu.

"Kami beranggapan bahawa isu sebelum ini sudah selesai selepas pertemuan dengan Mursyidul Am dan Presiden (di Kota Bahru) baru-baru ini.
"Sebaliknya, beliau terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan parti. Jadi, kami akan membincangkan isu ini esok," kata beliau.

Kelmarin, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendesak Pas mengambil tindakan sewajarnya terhadap Hasan  ekoran kenyataanya meminta orang ramai khususnya pengikut dan penyokong PR tidak menyertai perhimpunan 901.
Azmin berkata, kenyataan Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam PR dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

Ketika mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan, terdapat dua pilihan sama ada jawatankuasa kerja pusat sendiri memutuskan sesuatu tindakan ataupun merujuk Hasan kepada lembaga tatatertib.
"Jadi, kami ada pilihan-pilihan ini. Mesyuarat akan putuskan salah satu pilihan," katanya lagi.
Jelas beliau, mesyuarat esok hanya akan memfokus ke atas kenyataan-kenyataan dibuat Hasan dan tidak membabitkan bekas Timbalan Presiden Nasharudi Mat Isa.

"Selepas pertemuan (28 Disember lalu), Nasharudin bertindak proaktif, tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Jadi, fokus esok adalah isu melibatkan Datuk Hasan Ali," kata Tuan Ibrahim lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut Hasan dan Nasharudin telah mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din pada 28 Disember lalu untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti.

Pertemuan itu berlangsung di JKR 10 dan perkara itu disahkan sendiri oleh Nik Abdul Aziz, dan menurutnya, Hasan turut memohon maaf daripada pimpinan PAS.
“Saya melahirkan kesyukuran di atas rasa rendah diri Datuk Hasan Ali yang bersedia membuat permohonan maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.
“Bukan mudah orang nak mengaku salah selepas melakukannya, jadi tindakan beliau itu mengharukan saya. Saya juga berharap orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Hasan,” kata Nik Abdul Aziz.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails