BREAKING NEWS

Politik Perkauman Adalah Barah Assabiyah Yang Kronik


Sifat perkauman adalah parut paling hodoh yang mencacatkan ‘wajah’ sebuah masyarakat sivil. Perkauman juga merupakan racun paling berbisa yang akan melumpuhkan ‘tubuh’ masyarakat itu sendiri, ‘tubuh’ - dalam konteks ini ialah sistem kemasyarakatan yang menjadi penggerak kepada semua bentuk pembangunan yang relevan untuk sesebuah masyarakat itu. Sifat perkauman yang jelik ini juga bisa meletakkan masyarakat dalam sebuah daerah kebodohan yang penuh dengan prejudis dan buruk sangka antara satu sama lain, biarpun sudah 54 tahun berkongsi langit yang sama.

Saya juga musykil dengan persekitaran yang kita sedang hadapi. Apakah yang membuatkan kita terlalu sukar untuk meruntuhkan tembok perkauman ini? Mengapa masih kedengaran dari mulut-mulut kita bahawa bangsa itu dan ini adalah pendatang? Mengapa masih terdengar celuparnya perkataan kita bangsa selain Melayu harus dihantar pulang ke negara asal mereka? Mengapa ada yang biadab mengaku bangsa mereka menjadi tuan kepada satu bangsa yang lain? Apakah ini yang kita cerminkan selaku sebuah masyarakat yang mengaku melalui proses tamadun yang ulung?

Tidak salah untuk kita mengakui dan berbangga dengan kehebatan bangsa masing-masing.  Saya seorang Melayu, secara peribadi saya berbangga sebagai Melayu. Cuma, yang menjadi masalah kepada negara ini ialah apabila segelintir daripada kita mendokong ideologi yang berorientasikan ekstrem dan taksub kepada bangsa. Ideologi sampah beginilah yang akhirnya membenihkan barah assabiyah yang kronik.

Ideologi sampah berteraskan ketaksuban kepada bangsa telah membuatkan kita lupa bahawa Malaysia ialah tanah milik anak semua bangsa. Isu bangsa itu dan ini sebagai pendatang tidak pernah timbul. Setengah abad telah berlalu dan kita semua tahu, semua bangsa yang lahir di tanah ini, adalah warganegara dan mereka yang terus memainkan isu pendatang ini nyata defisit ilmu serta berfikiran tumpul. Tidak ada walau seorang pun daripada mereka yang bergelar warganegara Malaysia perlu dihantar pulang atau dihalang dari menetap di sini. Ini adalah rumah mereka. Rumah yang kita kongsi tanpa mengira jenis baka atau keturunan.

Selain itu, lahir juga sebahagian pelampau yang tanpa segan silu mengaku bangsa mereka sebagai tuan di bumi bertuah ini. Ketahuilah, tidak ada satu pun bangsa di dunia ini layak mengangkat diri mereka menjadi tuan kepada bangsa yang lain. Tuhan yang Maha Menciptakan telah menjadikan kita semua setaraf dan sedarjat. Tidak seorang pun daripada kita mempunyai kelebihan ke atas seorang yang lainnya. Justeru, sesiapa yang  masih tegar memperjuangkan Ketuanan Bangsa, nyata telah melawan ketetapan yang ditetapkan Allah. Jelaslah bahawa, konsep Ketuanan Bangsa  yang digembar-gemburkan kepada kita selama ini adalah jijik dan sangat terhina di sisi agama yang dibawa oleh utusan-Nya yang benar.

Saya nukilkan artikel ini setelah melihat elemen perkauman yang semakin membarah dalam negara kita. Ya, mungkin saya dilabel pengkhianat bangsa tetapi saya percaya kepada prinsip kesaksamaan dan berdiri teguh di belakang prinsip tersebut.

Jadi, tugas yang terpikul di atas bahu kita sekarang ialah untuk memecahkan tembok kedinginan yang telah lama meletakkan kita dalam keadaan berpecah dan saling merasa prejudis antara satu sama lain. Saya tekankan, Malaysia ialah tanah milik anak semua bangsa. Inilah masa untuk kita bersatu tanpa mengira bangsa mempertahankan bumi bertuah ini daripada petualang-petualang sebenar yang telah sekian lama berselindung di sebalik topeng pejuang.

Malaysia perlukan nafas perubahan yang segar. Nafas perubahan segar itu hanya dapat ditiup jika kita sebagai rakyat dan anak semua bangsa bersatu dan menjadikan ia satu realiti.
Pergi jahanam dengan perkauman!

Oleh: Syad Adzman   
 SUMBER

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails