BREAKING NEWS

Umno/BN Telah Merampas Kemerdekaan Rakyat Malaysia...

KUALA LUMPUR : Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan kemerdekaan sebenar bukanlah ditafsirkan sebagai bebas dari tekanan dan cengkaman penjajah tetapi merangkumi segala aspek kehidupan, politik, ekonomi, moral dan masyarakat.

Mengambil berat masalah rakyat yang semakin terbeban dengan kehidupan masa kini, Wan Azizah menyatakan PKR dan Pakatan Rakyat akan terus berjuang bagi memastikan rakyat tanpa mengira bangsa terus dibela agar erti sebenar kemerdekaan dirasai.

“Rakyat terus ditindas dengan desakan dan tekanan sara hidup yang membebankan, sedangkan pemimpin yang ada duduk gah di atas dengan sewenangnya membelanjakan hasil negara untuk kepentingan tertentu.

“Saban hari kita dipinta untuk “berkorban” dan ubah gaya hidup dalam menampung sara hidup seharian. Tetapi jutaan ringgit terus dibelanjakan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat, “ kata Wan Azizah dalam satu perutusan sempena Hari merdeka hari ini.

Wan Azizah mengulas mengenai kenaikan harga barang yang menekan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan pertengahan dan menghilangkan pendapatan boleh guna atau 'disposable income' mereka.

Hal itu lebih meruncing apabila rakyat diminta berkorban, bersabar dan hanya merungut sedangkan pembaziran dan ketirisan di peringkat atasan dan pentadbiran terus berlaku saban tahun seperti yang dilaporkan jabatan audit dan media.

Menurut Wan Azizah kemerdekaan yang diburu adalah kebebasan hati, bukan kemerdekaan yang hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan rakyat mesti dipupuk untuk melahirkan jiwa merdeka.

Beliau turut menyatakan PKR akan terus memperjuangkan prinsip keadilan hak dan kebebasan rakyat serta membina nilai moral dan akhlak dalam pemerintahan yang telus dan efektif.

"Adalah menjadi satu prinsip KEADILAN untuk membina bangsa dan negara sejajar dengan gerakan rakyat yang berhak atas negara ini. Dengan landasan yang betul, jujur dan tanggungjawab maruah bangsa akan dapat dimartabatkan," tegas beliau.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails