BREAKING NEWS

Cayelah!! Masuk Ikut Pintu,Keluar Ikut Tingkap!!



KUALA LUMPUR, 26 Sept – Keputusan inkues yang mendapati kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed sebagai satu ‘nahas’ tidak boleh diterima dan tidak boleh dipercayai, malah tidak konsisten dengan keseluruhan fakta kes, kata naib presiden Parti Keadilan Rakyat.
Oleh itu kata N Surendran, kerajaan sewajarnya mengadakan suruhanjaya diraja untuk menyiasat situasi sebenar yang membawa kepada kematian Sarbaini di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April lalu.
“Skop suruhanjaya diraja mesti merangkumi prosedur-prosedur operasi, pengambilan dan kaedah latihan SPRM, dan membuat syor-syor tentang pembaharuan yang diperlukan dengan segera,” kata beliau.
Terdahulu Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Sarbaini tiada unsur bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga.
Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam penghakimannya berkata pihaknya bersetuju dengan pandangan pakar terutama mengenai kecederaan yang dialami Sarbaini.
Kecederaan itu lebih membuktikan Sarbaini terjatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan tanpa disengajakan dan kematian disebabkan nahas, kata koroner.
Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane di sini 6 April lalu.
Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.
Mengenai teori Sarbaini mengambil nyawanya sendiri atau membunuh diri, Aizatul Akmal berkata beliau tidak percaya dengan teori bahawa Sarbaini berbuat demikian kerana ketiadaan bukti berlakunya perkara itu.
“Keterangan pakar patologi forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof Madya Dr Faridah Mohd Noor menunjukkan arwah tidak membunuh diri berdasarkan ketiadaan tanda-tanda yang biasanya wujud dalam kes sedemikian iaitu kelar di mana-mana bahagian anggota badan atau kandungan dadah atau racun di dalam badannya,” katanya dalam laporan Bernama Online.
Maziah Manap, balu Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed dan anggota keluarga keluar dari kawasan mahkamah selepas koroner mengumumkan keputusan inkues. — Foto oleh Choo Choy May
Aizatul Akmal yang membaca keputusan setebal 25 halaman berkata pakar perunding kanan patologi di Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Shahrom Abdul Wahid juga menolak kemungkinan bahawa Sarbaini akan membunuh diri kerana tiada kesan luka akibat cubaan membunuh diri yang dijumpai pada tubuh Sarbaini. “Tiada nota bunuh diri dijumpai di tempat kejadian dan tiada kesan dadah atau alkohol pada sampel darah si mati mahupun pada air kencing atau kandungan perut si mati, dan kedua-dua pakar itu menolak kemungkinan arwah mati disebabkan apa-apa penyakit,” katanya.
Aizatul Akmal mendapati teori bahawa Sarbaini telah dibunuh disangkal Dr Faridah dan Dr Shahrom dalam keterangan mereka.
“Dr Faridah berpandangan arwah tidak dibunuh berdasarkan ketiadaan sebarang kesan luka tangkis pada anggota badan si mati dan tiada kesan pergelutan berlaku di tempat kejadian.
“Dr Faridah berpendapat arwah berada dalam keadaan sedar diri kerana kecederaan yang dialami menunjukkan arwah cuba melawan kejatuhannya sebelum terhempas ke lantai di tingkat satu bangunan itu,” katanya.
Aizatul Akmal berkata Dr Shahrom juga menolak kemungkinan kematian Sarbaini disebabkan homisid kerana hasil pemeriksaannya di tempat kejadian dan tubuh badan si mati menunjukkan tiada kesan pergelutan atau pergaduhan yang tidak berkaitan dengan kecederaan akibat jatuh.
“Dr Shahrom berpendapat sekiranya arwah dipaksa keluar dari tingkap pantri yang berada di tingkat tiga, bangunan SPRM, sudah pasti akan terdapat kecederaan akibat pergelutan atau pergaduhan dan ujian toksikologi juga adalah negatif untuk mencadangkan si mati telah diracun atau mengambil dadah,” katanya.
Aizatul Akmal berpendapat sekiranya Sarbaini dipukul, pengsan dan kemudiannya dibuang ke luar tingkap, pastinya tiada kesan beliau cuba melawan kejatuhannya.
“Jika arwah dipaksa, diikat dan ditolak ke luar tingkap dalam keadaan sedar, sudah tentu ada pergelutan dan kecederaan luka tangkis seperti di bawah lengan, namun ia tidak dijumpai langsung pada tubuh badan arwah,” kata Aizatul Akmal.
Menurutnya, tiada elemen khianat dalam kematian Sarbaini kerana tiada penglibatan pihak ketiga dan tiada apa-apa keterangan yang dapat menunjukkan mana-mana orang yang terlibat secara jenayah dalam sebab-sebab kematian Sarbaini.
Selain itu, beliau berkata keadaan minda si mati sebelum kematiannya turut dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.
Katanya, berdasarkan keterangan kesemua saksi, beliau berpendapat arwah telah datang ke pejabat SPRM pada 6 April secara sukarela kerana tiada siapa yang menjemput atau mengarahkannya supaya datang.
“Tiada siapapun pegawai SPRM yang mengetahui bahawa arwah akan datang ke pejabat mereka pada hari berkenaan, dan hanya mengetahuinya ketika saat arwah telahpun sampai,” katanya.
Adalah tidak dipertikaikan bahawa Allahyarham adalah seorang pegawai Kastam yang berperwatakan baik dan dihormati oleh rakan-rakannya dan merupakan suami serta ayah yang baik dalam keluarganya.
Namun, Aizatul Akmal berkata perbuatan Sarbaini yang membuat pengakuan menerima wang ehsan daripada dua ejen, seorang daripadanya Wan Zainal Abidin Wan Zaki daripada syarikat Schenker pada 4 April lepas, telah menjejaskan pemikirannya.
“Ini dapat dilihat daripada perbuatan arwah yang menelefon Wan Zainal untuk menyatakan kesilapannya kerana mengaitkan nama Wan Zainal dan menurut rakan-rakan arwah, arwah ada menceritakan bahawa beliau membuat pengakuan dalam keadaan terdesak dan tekanan itu mendorong arwah membuat keputusan untuk menarik balik pengakuannya pada hari kejadian,” katanya.
Selain itu, kekhuatiran Sarbaini dapat dikesan apabila pengawal keselamatan SPRM melihat Allahyarham dalam keadaan resah dan mengetuk kepalanya berkali-kali semasa menunggu untuk bertemu dengan Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad ketika Sarbaini ingin menukar pengakuannya.
“Kebimbangan arwah bertambah apabila dimaklumkan beliau tidak boleh menukar pengakuan sebaliknya perlu membuat surat kepada SPRM dan keadaan menjadi parah apabila Sheikh Niza telah merampas telefonnya dan diarahkan menelefon Zainal supaya datang ke pejabat itu pada 6 April.
“Arwah dilihat memegang kepalanya, tunduk serta menggeleng-gelengkan kepalanya,” kata Aizatul Akmal.
Keadaan bermalam di lokap polis Bukit Jalil pada 1 April merupakan trauma yang dihadapi oleh Sarbaini kerana Allahyarham menceritakan kepada rakannya bahawa bermalam di lokap dianggap sebagai “neraka dunia” dan pengalaman yang dialami membuatkannya bimbang akan berada sekali lagi di tempat itu.
“Didorong dengan kebimbangan itu, arwah nekad untuk keluar daripada pejabat SPRM dengan apa cara sekalipun, apatah lagi telefonnya telah dirampas dan beliau tidak dapat menghubungi sesiapapun,” jelas Aizatul Akmal.
Selain itu, beliau berkata keadaan menjadi bertambah parah apabila arwah diminta untuk menunggu di bilik saksi sementara pihak SPRM menunggu kehadiran Wan Zainal dan arwah yang ditemani Penolong Penguasa SPRM Kamal Awang Besar di bilik saksi telah ditinggalkan sendirian.
“Saya berpendapat perbuatan Kamal meninggalkan arwah bersendirian menunjukkan Kamal telah cuai dalam menjalankan tugas dan mengingkari arahan pegawai atasan untuk menjaga arwah di bilik saksi,” katanya.
Aizatul Akmal berkata Ahmad Sarbaini yang berada di pejabat SPRM itu pada 1, 2 dan 4 April mengetahui kedudukan pintu, sistem akses dan kewujudan bilik pantri di pejabat itu.
Beliau berpendapat Sarbaini tidak menggunakan tangga atau lif kerana mungkin akan dihalang oleh mana-mana pegawai SPRM yang berada di situ dan memandangkan arwah berada bersendirian di bilik saksi, satu-satunya jalan supaya dia tidak ditahan adalah keluar menerusi tingkap di bilik pantri itu.
“Saya telah membuat lawatan ke tempat kejadian dan bersetuju bahawa apabila kita berdiri berhampiran tingkap pantri itu, kelihatan bumbung yang terletak di sebelah kiri tingkap nampak dekat.
“Saya percaya arwah pada masa itu mengalami ilusi optikal bahawa beliau boleh mendarat ke bumbung yang kelihatan dekat dan seterusnya keluar dari pejabat SPRM itu bagi mengelak dirinya ditahan sekali lagi di neraka dunia,” jelas Aizatul Akmal.
Beliau berkata Sarbaini, yang meninggal dunia antara 10 pagi hingga 10.30 pagi, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala berpunca daripada jatuh dari tingkat tiga, bangunan SPRM dan bukannya di tempat lain.
Aizatul Akmal berkata beliau bersetuju dengan teori yang dikemukakan oleh Dr Shahrom bahawa arwah keluar dengan sendirinya melalui tingkap pantri secara perlahan, berpijak di tebing sambil kedua-dua tangan memegang pemegang tingkap.
“Arwah cuba melihat ke bumbung berhampiran yang berada di sebelah kanan tetapi mengubah fikiran selepas mengetahui jarak sebenar untuk ke situ agak jauh dan memerlukan lompatan dan ketika ingin masuk semula ke pantri, kemungkinan dia terdengar sesuatu yang membuatkan fokusnya terganggu.
“Langkah kakinya diteruskan ke kanan tanpa menyedari tebing kecil yang dipijaknya telah sampai ke penghujung menyebabkan badannya hilang keseimbangan lalu terjatuh ke tingkat satu bangunan itu,” katanya.
Teori yang dikemukakan oleh Dr Shahrom disokong dengan kesan cat putih yang melekat hanya pada bahagian paling atas kepala tali pinggang Allahyarham, dan ini secara logik menunjukkan cat melekat ketika dia cuba naik semula melalui tingkap dan bukannya ketika dia mula-mula turun.
“Kesan cat putih yang ditemui pada kepala tali pinggang, bahagian depan seluar arwah, tapak tangan kiri arwah dan tapak kasut kiri yang dipakai arwah menunjukkan arwah terjatuh dari tingkat tiga, bangunan SPRM dengan tidak disengajakan,” katanya.
Inkues yang bermula pada 4 Julai dan berakhir 4 Ogos lepas menyaksikan 34 saksi memberi keterangan termasuk beberapa pegawai SPRM Wilayah Persekutuan, dua pakar patologi, pegawai forensik dan beberapa pegawai Kastam Diraja Malaysia.
SUMBER

1 comment :

  1. masuk naik lif,keluar dipaksa terbang tanpa sayap.verdict koronek...nang..pak..tujune...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails