KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Salah seorang daripada 12 hadirin beragama Islam pada majlis makan malam di sebuah gereja yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal bulan ini menegaskan, dia tidak pernah murtad.
Sebaliknya, dia seorang janda mendapatkan bantuan dihulurkan dengan ikhlas oleh gereja ekoran “desakan hidup.”
Gereja Methodist Damansara Utara diserbu Jais pada malam 3 Ogos lalu ketika mengadakan majlis makan malam muhibah anjuran pertubuhan bukan kerajaan Harapan Komuniti.
Dalam pengakuan kepada bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, wanita tersebut dipetik berkata semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan pada 3 Ogos lalu, dia berada bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya.
Katanya, walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad.
“Cuma ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad,” katanya dipetik Asri dalam tulisannya dihantar kepada media hari ini.
Kata Asri lagi, “alhamdulillah dia masih kekal dengan keIslamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup.”
Asri menambah, terus-terang dia sebut “semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya.”
Dia mempunyai tiga orang anak.
“Semasa saya menziarahinya — tanpa notis awal — dia baru sahaja selesai menunaikan solat tarawih.
“Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru Muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit Aids dan juga Muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan,” kata beliau lagi.
Beliau mengadakan pertemuan dengan salah seorang daripada 12 hadirin itu, yang telah disoal siasat oleh Jais baru-baru ini dan diberikan kaunseling, minggu lalu. Tetapi nama wanita itu tidak diberikan.
Sambil berkata apa yang hendak dipelikkan, Asri menulis lagi, “begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan.”
“Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam.
“Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai PhD dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam,” kata ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia ini.
Malah dalam tulisannya, Asri berkata, menurut wanita tersebut lagi dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya.
“Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup.
“Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja,” katanya.
Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja, kata Asri lagi sambi berkata, menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja.
“Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi,” kata beliau lagi.
Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, kata Asri, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar.
“Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat.
“Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu.
“Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi. Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu,” katanya.
Akhirnya menurut Asri lagi, maklumat yang diperoleh daripadanya menunjukkan pihak gereja juga yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut.
“Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang.
“Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini,” katanya lagi.
Kata Asri lagi, wanita tersebut pernah mengunjungi pusat zakat dan Jabatan Kebajikan untuk mendapatkan bantuan sebaik ditinggalkan suaminya.“Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.
“Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama Kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan.
“Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan,” kata Asri sambil menambah, “pihak gereja membantu keperluan hidupnya.”
Katanya, diberikan wang dan menziarahi keluarganya, malah mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan “mesra dan sayang”.
“Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya,” tulis beliau lagi.
SUMBER
Inilah akibatnya Pusat Zakat,susah sangat nak beri bantuan kepada yang hak.Terlalu banyak biokrasi.Nak simpan duit zakat banyak-banyak tu buat apa? Patut kutipan tahun ini wajar diagihkan semua kepada yang hak sebab boleh kutip lagi tahun depan.Keadaan sama dengan Baitulmal,susah sangat nak keluar duit bantu orang miskin.Tabung Haji lagi teruk,tidak langsung memenafaatkan yang naik haji.Belanja pengurusan begitu besar,tambang haji tetap naik saban tahun.Teringat pepatah Melayu lama: Dimana lagi kutu nak makan kalau tidak diatas kepala".
ReplyDeletenak besarkan bangunan, tambah aircon, tukar/tambah kereta ppz. ini semua supaya senang pegawai2 dapat laksanakan tugas dengan lebih selesa dan berkesan. bayar tuntutan perjalanan, makan. kerajaan tanggung ke depa2 ni? kalau tidak, mana datang lagi duit pengurusan? entahlah kot ppz juga termasuk dalam asnaf 8? wallahu'alam
ReplyDeletehussin
JAIS sepatutnya malu dengan apa yang telah berlaku.... janji x ditunaikan. kalau setakat hangat-hangat TAHI AYAM nak membantu... tak payahlah kecoh-kecoh... sudah terhantuk baru tergadah... duit zakat yang kumpul banyak2 buat pa.. simpan dalam peti ja ke?
ReplyDelete