TERINGAT saya satu peribahasa Melayu – biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Memang orang kita dulu-dulu begitu ketat menyimpan rahsia. Walaupun perut terburai @ mati, mulut tetap tertutup rapat, rahsia tidak terbongkar. Agaknya ramai orang sekarang tidak tahu pun wujud peribahasa seperti itu, sebab itu mereka tidak pandai menyimpan rahsia. Benda-benda pelik dalam kelambu pun boleh diketahui umum. Perkara ini menjadi keprihatinan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin. Beliau kesal hal-hal parti yang diputuskan dalam mesyuarat tertutup boleh bocor sebaik sahaja mesyuarat selesai. Katanya, walaupun UMNO mengamalkan konsep keterbukaan dan ketelusan, budaya kerahsiaan perlu dihormati dan dipatuhi demi kebaikan dan kepentingan parti. “Kita ada pengalaman... lepas mesyuarat bukan sahaja dedahkan melalui Facebook dan Twitter tetapi terus SMS,” katanya. Agaknya era ICT serba canggih ini menjadikan orang kita lupa pada etika simpan rahsia. Lebih-lebih lagi dengan internet, Facebook, Twitter dan lain-lain, rahsia sebesar mana pun boleh disebarkan sekelip mata hanya dengan menekan hujung jari. Maka, jangan terkejut sekiranya rahsia-rahsia besar Pemuda UMNO nanti tersebar di seluruh dunia menerusi ‘WikiLeaks’. Rahsia sekarang tidak pecah di mulut, tetapi tersebar di maya. KERANA kecanggihan ICT jugalah benda yang ada dalam peti besi polis boleh tersebar kepada umum. Itulah video seks milik ‘Datuk T’ yang diserah dan disimpan polis, tetapi kini sudah menjadi milik umum. Ada desakan supaya polis mendedahkan identiti pelaku dalam video tersebut, tetapi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, polis berpegang kepada peruntukan undang-undang dan tidak akan dedahkan hero dalam video tersebut. Khalid berkata, tiada keperluan dari segi undang-undang bagi polis mendedahkan perkara itu. “Banyak kali saya dah beritahu mengenai perkara ini, saya pun tak faham kenapa orang ini tak faham-faham,” katanya. Sebenarnya dia orang saja buat-buat tidak faham. Ramai sudah tengok video paling kontroversi itu. Tak perlu tanya polis pun orang boleh tahu siapa pelakon handalan dalam video 21 minit itu. Baik kita tamatkan sahaja isu pelaku dalam video itu. Apa patut kita tunggu sekarang ialah bila tindakan akan diambil ke atas ‘Datuk T’ yang telah terang-terang melanggar perkara 292 Kanun Keseksaan itu. Apakah ini juga tidak ada keperluan undang-undang? DIA orang kata, ini era siber, era maya. Apa-apa pun sekarang semua boleh berhubung dalam maya. Dulu-dulu sebelum ada sistem pos, orang hantar surat cinta guna burung. Atau Kak Long nak tulis surat pada Abang Uda boleh guna adik bongsu sebagai posmen. Kemudian ada perkhidmatan pos. Orang di Baling, Kedah boleh berhubung dengan pakwe di Pontian, Johor guna pos. Dalam masa seminggu sudah sampai. Kemudian ada pos laju. Hantar pagi ini, petang esok boleh sampai. Bukan sahaja boleh hantar surat, malah rendang tok, sambal petai dan martabak segera. Kemudian lebih canggih lagi, ada faks. Sekarang semua itu tidak relevan lagi! Era siber dan maya, semua serba cepat. Apa sahaja maklumat, gambar, filem, video semua boleh dihantar menerusi maya. Ada internet, ‘broadband’, Facebook, Twitter, Google, Yahoo. Nampak sangat saya tertinggal jauh dalam kecanggihan ini. Saya tidak berapa faham – kadang-kadang bingung – dengan era siber, era maya. Saya cuma tahu Erra Fazira dan Maya Karin! AKHIR kalam, sehebat-hebat Dominique Strauss-Kahn akhirnya dia melepaskan juga jawatan hebat Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), setelah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan amat mengaibkan. Warga Perancis melepasi usia emas, dikenali juga sebagai ‘DSK’ itu dituduh melakukan serangan seksual dan cubaan merogol seorang wanita kulit hitam berusia 31 tahun yang menjadi tukang kemas bilik di hotel Sofitel New York tempat beliau menginap. Ini kesalahan serius yang jika sabit boleh membawa hukuman penjara 25 tahun. Mahkamah Jenayah menolak wang jaminan RM3 juta, dan menempatkan DSK di penjara New York. Dari tilam lembut di hotel RM3,000 semalam beliau meringkuk di bilik sempit dalam penjara. “Saya dengan tegas menafikan semua dakwaan yang dikemukakan terhadap saya,” katanya dalam sepucuk surat peletakan jawatan yang dikeluarkan IMF. Demikianlah, di negara lain orang yang menghadapi tuduhan berat sedia melepaskan jawatan. Itulah maruah namanya. Di tempat kita lain pula ceritanya! - TOK PERAK |
Biar pecah di perut, jangan pecah di ‘WikiLeaks’
Posted by Unknown on 12:17 PM in | Comments : 0
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment