Jangan Jadikan Karya Suami Saya 'Kambing Hitam'
Posted by Unknown on 10:27 AM in | Comments : 0
KUALA LUMPUR, 19 Mac — Sambil terus mempertahankan novel Interlok yang kontroversial, isteri Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain menggesa semua pihak tidak menjadikannya “kambing hitam” bagi memenuhi kepentingan peribadi masing-masing. Sebaliknya Datin Siti Saroja Basri berkata, novel karya suaminya itu tidak bertujuan mahu menghina mana-mana kaum termasuk masyarakat India yang banyak membantah penggunaannya sebagai teks komponen sastera di sekolah.
“Bacalah dulu novel ini, ia adalah untuk perpaduan bukan untuk menghina sesiapa pun, suami saya (Abdullah) tidak berniat untuk menghina orang Melayu, orang Cina atau orang India.
“Kalau baca baru akan tahu apa maksud novel ini tapi jangan baca kalau ada agenda lain... jangan jadikan novel ini ‘kambing hitam’, nanti yang jadi mangsa adalah suami saya,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Tegas beliau, novel Interlok dijadikan sebagai buku teks pelajar Tingkatan Lima kerana ia mempunyai banyak elemen yang memupuk ke arah perpaduan kaum bukan perpecahan.
“Tidak menghina mana-mana kaum baik orang Melayu, Cina dan India, novel ini dipilih sebab ia memupuk perpaduan bukanya nak menghina sesiapa pun.
“Jadi mesti ada fikiran waras, kalau ada agenda lain ia tidak patut. Saya rasa kalau ia difahami orang India akan terima novel ini,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India dalam panel bebas mengkaji novel Interlok, Siti Saroja berkata Kementerian Pelajaran perlu mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin belum beri kata putus lagi, bagi saya cadangan pindaan itu tiada masalah terserah kepada Kementerian Pelajaran untuk buat keputusan.
“Saya harap Kementerian Pelajaran dapat buat keputusan terbaik supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, saya percaya kepada kerajaan untuk menyelesaikannya,” katanya.
Seroja bagaimanapun tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung keputusan tiga wakil kaum India yang menarik diri dari panel bebas itu.
Siti Saroja juga merupakan salah seorang panel bebas itu. Rabu lalu, wakil kaum India mengambil untuk menarik diri dari panel bebas itu selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.
Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian selepas pertemuan khas yang diadakan di bangunan Parlimen yang sebahagiannya dipengerusikan oleh Muhyiddin sendiri, meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan “paria” sahaja.
Mereka terdiri daripada penulis bebas Uthaya Sankar, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.
Wakil kaum India juga mahu segala pindaan yang bakal dilakukan Kementerian Pelajaran mesti mengikut keputusan yang telah dipersetujui pada 4 Mac lalu.
Malah kata mereka, jika pindaan itu tidak dibuat sebagaimana diputuskan, lebih baik novel tersebut “dikeluarkan terus” daripada dijadikan sukatan teks sastera.
Panel itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang sekarang berada di luar negara.
Selain Siti Saroja, ahli panel lain adalah, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Datuk Zainal Abidin Borhan.
Bagaimanapun menurut Presiden MIC Datuk G Palanivel semalam, ketiga-tiga anggota panel itu bersetuju untuk bekerjasama menyelesaikan isu tersebut, kata Presiden MIC Datuk G. Palanivel hari ini.
Katanya beliau telah bertemu dengan dua daripada mereka bersama-sama dengan Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Ravin Ponniah.
“Anggota panel dari kaum India telah meminta saya mengatur pertemuan khas dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.
“Mereka juga memberitahu saya yang mereka telah mengenal pasti semua bahagian sensitif dalam novel itu dan akan membentangkannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Palanivel.
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
Post a Comment