BREAKING NEWS

“Ubah, Sekarang”..Suara Rakyat,Suara Keramat!!


BATU KAWAN, 19 Dis — Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat mengulangi sokongan Mac 2008 dengan memberikan mandat lebih besar, di kedua-dua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum ke-13 bagi membawa perubahan menyeluruh. Mesej ucapan Anwar malam tadi itu dilihat selari dengan tema konvensyen PR yang berlangsung hari ini - “Ubah, Sekarang”.
Ketika berucap di hadapan penyokong-penyokong PR di Perkampungan Juru dekat sini malam tadi, yang majoritinya masyarakat Cina, Anwar yang Khamis lalu digantung dari Parlimen selama enam bulan berkata, ikatan DAP-PKR-PAS itu memerlukan sokongan penuh di peringkat negeri dan juga pusat berbanding tahap sokongan dua tahun lalu.
“Kita kena tukar... Parlimen dan negeri mesti kena kuat kalau mahu perubahan,” kata Anwar pada majlis makan malam - “Majlis Keadilan”, malam tadi. Ia persinggahan pertama sebelum beliau meneruskan ceramahnya di kawasan Parlimen Balik Pulau.
Ketua Pembangkang itu mendakwa rakyat sudah tidak boleh mengharapkan perubahan di bawah pemerintahan Umno-BN kerana mereka hanya boleh mengubah gaya dan penampilan mereka semata-mata, bukannya membawa dasar-dasar yang lebih baik.
“Umno tidak akan berubah... berubah cuma gaya mereka, bukan polisi, makin sombong, kita cakap dia buang kita (dari Parlimen),” kata Anwar yang semalam dilantik semula sebagai Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan pemilihan partinya bulan lalu.
“Oleh kerana tidak mahu kita bercakap, dia buang saya (kenakan hukuman gantung hadir sidang Parlimen),” kata Anwar lagi sambil menegaskan, PR memerlukan sokongan yang besar membabitkan seluruh negara.
Katanya, PR tiada pilihan lain kecuali memperoleh kemenangan lebih besar berbanding pencapaian pada 8 Mac 2008.
“Apa gunanya saya jadi Ketua Pembangkang kalau tidak mahu bercakap di Parlimen,” kata Anwar.
Selain Anwar, turut mengalami nasib yang sama ialah Azmin Ali, Karpal Singh dan R Sivarasa. “Bagi saya tiada jalan lain, tiada jalan (melainkan mendapatkan majoriti besar di Parlimen),” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Sejak dikenakan hukuman gantung selama enam bulan, Anwar telah menyentuh isu itu ketika berceramah di ibu negara, Melaka dan  Negeri Sembilan, yang banyak menyentuh mengenai hukuman yang dikenakan ekoran tindakan beliau membangkitkan isu APCO-konsep 1 Malaysia. PR mengadakan konvensyen keduanya di Kepala Batas di sini dengan tema “Ubah, Sekarang”. Konvensyen pertama diadakan pada 19 Disember 2009 di Shah Alam. Pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, gandingan DAP-PAS-PKR menguasai pentadbiran lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.
Dalam ucapannya Anwar juga meminta supaya PR mempertingkatkan usaha untuk menerokai kawasan-kawasan orang Melayu untuk mendapatkan sokongan besar dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.
Katanya, parti-parti komponen perlu menyampaikan mesej dan menjelaskan isu kepada orang-orang Melayu. Kira-kira 2,000 perwakilan dari PAS, PKR dan DAP dijangka akan berhimpun di Dewan Milllenium, Kepala Batas pagi ini untuk menjayakan konvensyen kali kedua ini.
Pengarah konvensyen Dr Mujahid Yusof ketika ditemui baru-baru ini konvensyen kali ini yang bertemakan “Ubah, Sekarang” akan meminta rakyat membuat perubahan mutlak untuk menggembleng muafakat semua pihak bagi membebaskan institusi-institusi penting negara dari pemerintahan yang tidak telus dan adil.
“Kami akan meminta rakyat agar memberikan kami mandat besar untuk kami membawa perubahan kepada mereka, rakyat dan negara.
“Kami hendak bergerak dari peringkat sekarang ke peringkat lebih menyeluruh, oleh itu kami memerlukan mandat dan sokongan menyeluruh di semua peringkat. Ini mesej yang kami hendak sampai menerusi konvensyen ini,” kata beliau yang juga ahli jawatankausa kerja PAS pusat.
Ahli Parlimen Parit Buntar ini berkata, di bawah tema itu agenda perubahan yang hendak dibawa ialah jawapan kepada krisis kepercayaan dan keyakinan yang berpanjangan di negara ini.
Selain itu kata beliau, konvensyen kali ini juga dijangka mempersiapkan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan akan dijadikan asas kepada penggubalan manifesto kelak. Katanya, fokus akan diberikan kepada dua perkara utama iaitu cerita tentang kejayaan negeri-negeri PR dan juga usaha persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Untuk mencapai tujuan itu, kata Mujahid, klip video cerita kejayaan kerajaan negeri PR akan dipersembahkan kepada perwakilan semasa konvensyen dan kerajaan-kerajaan negeri PR juga akan mempamerkan kejayaan mereka melalui pameran masing-masing.
Selain Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, turut akan membuat pameran adalah kerajaan negeri Perak dan Terengganu yang masing-masing diperintah antara 2008 dan 2009 dan dari 1999 hingga 2004.
Perak jatuh ke tangan BN awal tahun lepas. Menurut Mujahid, konvensyen kali ini juga akan mengeluarkan “Buku Jingga” iaitu catatan yang menggariskan dasar PR dalam bentuk perincian dari Dasar Bersama yang telah diluluskan dalam konvensyen pertama tahun lepas.
Pelancaran “Buku Jingga” menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita PR membina sebuah negara yang makmur dan adil.
Malah menurut beliau, buku itu juga manifestasi kepada konsep umum yang digariskan oleh Dasar Bersama. Antara lain lain kandungan “Buku Jingga” dibahagikan kepada bab di bawah tajuk Negara Dalam Krisis, Kemakmuran, Keadilan Sosial dan Persaudaraan Rakyat Bersama Pakatan Rakyat, Dasar Bersama Pakatan Rakyat.-mi

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails