BREAKING NEWS

Apakah Umno Menjadi Pembela Atau Pengkhianat Melayu??


KUALA LUMPUR, 11 Dis: Umno yang melaungkan ketuanan Melayu dan mendakwa sebagai pembela bangsa dipersoal kenapa tidak mempedulikan nasib orang Melayu di Sarawak yang tercicir dari pelbagai aspek.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu, Saimon Kila @ Nor Huzaifah Zainon berkata, walaupun  Umno tidak ada di Serawak tetapi sebagai parti yang mengetuai kerajaan Pusat mereka masih boleh membantu memperbaiki taraf hidup serta meyelesaikan masalah-masalah orang Melayu.
"Sebenarnya tiada alasan (untuk tidak membantu Melayu Serawak), melainkan slogan ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan itu sendiwara, hanya untuk meraih sokongan (undi) dalam pilihan raya untuk mengekalkan kuasa.
"Kerana di Serawak mereka tidak bertanding jadi orang Melayu di sana tidak dipedulikan sangat," kata beliau.
Bagaimanapun beliau percaya, Umno tidak mampu membela nasib orang Melayu di Serawak kerana di semenanjung pun masalah orang Melayu tidak dapat mereka selesaikan.
"Felda yang menjadi antara agensi utama untuk menaikkan taraf hidup orang Melayu pun kami dengar banyak kepincangan serta penyelewengannya.
"Sedangkan agensi itu ditadbir orang Melayu yang juga pemimpin Umno," kata beliau kepada Harakahdaily ketika ditemui sebelum pulang ke Serawak selepas menyertai rombongan rakyat tertindas daripada Sabah dan Serawak ke Kuala Lumpur dan Kelantan bermula Isnin lalu.
Rombongan tersebut datang atas undangan Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Antara program yang diadakan sepanjang lawatan rombongan daripada dua negeri itu ialah pertemuan dengan ahli parlimen Pakatan Rakyat, serahan memorandum isu rampasan tanah dan penindasan rakyat Sabah dan Serawak kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), jamuan makan malam rakyat marhaen di Kajang serta bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Sebahagian besar rombongan itu turut disertai wakil kaum Penan dan masyarakat bukan Islam.
Menurut Huzaifah, sebahagian besar orang Melayu di Serawak mengalami nasib hampir sama dengan kaum-kaum bumiputra lain khususnya kemiskinan serta menghadapi masalah tanah melibatkan pampasan tidak adil dan rampasan.
Orang Melayu Serawak juga katanya, sukar merebut peluang-peluang ekonomi di negeri itu ekoran amalan pentadbiran kerajaan negeri tidak membuka persaingan yang adil khususnya untuk rakyat biasa yang kekurangan modal dan tidak mempunyai status tinggi dalam masyarakat.
"Sebab itu orang selalu menyebut kekayaan di Serawak hanya berlegar dikalangan orang sama sahaja, orang yang menjadi kroni pemimpin utamanya.
"Dikalangan orang Serawak ketika ini sudah popular dengan ungkapan pemerintahan 'rambut putih' lebih teruk dari orang putih", ujar beliau dipercayai merujuk kepada Ketua Menteri Serawak Tan Sri Taib Mahmud.
Kata beliau juga, dikawasan-kawasan tertentu dalam negeri Serawak ada penduduk Melayunya lebih teruk nasib mereka berbanding kaum-kaum lain.
Katanya, jika Umno ikhlas bercakap tentang mengangkat martabat Melayu mereka mesti datang melihat nasib orang Melayu di Serawak yang sebahagian besarnya tinggal di Kuching, Miri, Sarikei dan daerah-daerah kecil seperti Kabong dan Kota Samarahan.
"Jangan hanya jumpa segelintir Melayu negeri ini yang senang lenang, ada ramai lagi yang daif, dianianya dan keciciran,' kata beliau.
Selain itu Huzaifah berkata aspek pendidikan dikalangan orang Melayu juga sangat menyedihkan khususnya pendidikan agama.
Soal beliau, kenapa Umno yang mendakwa sebagai pembela Melayu tidak menitik beratkan perkara ini sedangkan pendidikan agama merupakan elemen penting dalam usaha mengangkat martabat bangsa, malah diakui ramai cerdik pandai orang Melayu akan lesu tanpa agama dalam diri mereka.
"Dengan kelebihan pada mereka (Umno) sebagai parti yang mengetuai kerajaan pusat kenapa tidak perkasakan pendidikan agama di Serawak, kenapa biarkan sebahagian besar orang Melayu Serawak dalam keadaan terus jahil dan sukar mendapat pendidikan agama," soal beliau lagi.
Kata Huzaifah sekiranya diberi pilihan dan pendedahan yang betul beliau percaya ramai orang-orang Melayu Serawak akan memilih pendidikan agama untuk anak-anak mereka.
'Mereka ada hak untuk mendapat pilihan itu (pendidikan agama), ini lah yang perlu dilakukan oleh pemimpin Umno," kata beliau.
Menurut Huzaifah, peluang untuk mendapatkan pendidikan agama yang baik untuk anak-anak di Serawak amat terbatas kerana kemampuan kewangan, kekurangan pusat pengajian agama dan sebagainya.
Bagi orang Melayu yang ada kemampuan katanya, mereka akan menghantar anak-anak mereka ke semenanjung seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk mendapat pendidikan agama di negeri - negeri tersebut.
"Ini (pendidikan agama) adalah persoalan besar, lebih-lebih lagi sudah samakin ramai anak-anak Melayu Serawak terlibat dengan gejala-gejala sosial.
"Sekarang saya mau soal Umno, kamu bercakap tentang membela Melayu itu ikhlas atau sekadar maukan undi. Kalau kamu ikhlas beri perhatian kepada masalah orang Melayu di Serawak walaupun kamu tidak bertanding pilihan raya di sini," tegas beliau.-harakahdaily

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails